Kredit foto: Laman Big Stage
Penyanyi Baby Shima, 26, bakal menghadiahkan peminatnya dengan single terbaharu berjudul Sirna yang juga menjadi lagu pertaruhan beliau di konsert akhir program realiti Big Stage Ahad ini.
Sirna ciptaan Ronnie Hussein, Aico dan Adam AF, manakala senikata oleh Ronnie Hussein dan Aico itu telah didendangkan Shima buat pertama kalinya secara akustik dalam rancangan Big Stage Unplugged sebentar tadi.
Namun lagu ini hanya akan diperdengarkan secara eksklusif iaitu dalam versi penuh buat julung kalinya di konsert akhir Big Stage nanti, seterusnya diikuti dengan perkongsian video muzik dalam versi studio di laman Youtube.
Konsert penentuan hujung minggu ini mencabar para peserta untuk membawakan dua buah lagu iaitu lagu cover dan lagu single terkini mereka.
Ia tentu saja menjadi medan untuk lima finalis yang bertanding bagi memperkenalkan lagu 'buah tangan' terbaharu masing-masing di atas pentas berprestij yang menjadi tumpuan jutaan peminat program realiti ini.
Kebiasaannya mana-mana single terbaru finalis akhir bagi rancangan nyanyian di bawah terbitan Astro akan mendapat liputan meluas serta diputarkan di corong-corong radio naungan Astro khususnya Era FM.
Seterusnya ia menjadi peluang buat Shima bersama empat lagi peserta iaitu Syafiq Farhain, Sarah Suhairi, Wani Kayrie dan Afieq Shazwan untuk mencuri hati peminat muzik Malaysia khasnya.
Istimewa buat pembaca Iluminasi, berikut kami kongsikan lirik lagu Sirna yang dijangka bakal diputarkan di stesen radio mulai minggu hadapan, seterusnya menjadi antara karya hits menjelang lewat hujung tahun ini.
Kredit foto: Instagram Baby Shima
Lirik
Telah cukup lama aku diam
Di dalam kebekuan hatiku
Kerana cinta yang menguatkan aku
Diam-diam kau bermain hati
Di belakangku
Awalnya ku kagum kepadamu
Kerana masih tampak ketulusanmu
Kerana cinta yang menguatkan aku
Diam-diam kau bermain hati
Di belakangku
Sungguh tak semudah
Yang terbayang
Menyatukan indahnya cinta
Semua berakhir kerana dusta
Cinta kau akhiri begitu sahaja
Bila saja ku tahu
Sungguh rapuh kesetiaanmu
Takkan ku semai
Putik cinta di hatiku
Kerana kau sudahi cintaku