Semua manusia zaman moden melakukan kesilapan. Mungkin ada situasi anda yang tersilap. Dalam situasi lain, orang berbeza pula yang melakukannya menyebabkan orang sekeliling perlu merasai kesan kesilapan mereka.
Persoalannya d sini adalah kenapa reaksi kita apabila berhadapan orang lain yang melakukan kesilapan atau kesalahan, berbeza-beza serta tidak sama bergantung kepada pelakunya; walaupun apa yang mereka lakukan mungkin serupa?
BESARKAN TEKS A- A+
Dalam bidang psikologi sosial, salah satu teori yang cuba menjelaskan fenomena ini ialah "Pratfall Effect" atau kesan 'pratfall'; merujuk kepada situasi bagaimana sekiranya seseorang itu melakukan kesilapan kecil atau menunjukkan kekurangan diri, boleh menyebabkan kita semakin suka kepada mereka dan kita tidak peduli kesilapan yang telah berlaku.
Bagaimana dengan hanya menampakkan kelemahan anda, orang lain rasa anda lebih baik berbanding orang lain?
Apa itu kesan pratfall?
Kesan Pratfall merupakan teori yang diperkenalkan Elliot Aronson, seorang ahli psikologi sosial pada tahun 1966.
Aronson melalui kajian yang telah beliau jalankan mendapati wujud kecenderungan bila seseorang yang mempunyai reputasi baik dan diketahui mahir dalam bidangnya, akan menjadi lebih disukai orang sekeliling apabila dia melakukan kesilapan berbentuk kecil atau 'pratfall' yang menampakkan dia tidak sehebat mana.
Istilah "pratfall" yang dirujuk dalam bahasa pasar kita sebagai kesilapan bodoh, menurut Aronson mampu menonjolkan sifat manusiawi seseorang yang akan menjadikan mereka dilihat bukan saja mudah didekati malahan seorang yang rendah diri.
Sebelum kajian ini dibentangkan Aronson, pandangan umum ketika zaman tersebut lebih gemar melihat bahawa bahawa seseorang harus berusaha sebaik mungkin untuk cuba membentuk imej sempurna, agar menjadikan dia dihargai dan disukai.
Aronson mencabar tanggapan ini dengan menunjukkan bahawa sedikit kelemahan atau kekurangan yang ada pada diri kita dapat meningkatkan daya tarikan, terutamanya kepada mereka yang sudah ada reputasi baik, sedia dianggap cekap dan berkaliber tinggi.
Bagaimana kajian ini dijalankan?
Kajian Aronson yang dijalankan dalam tahun 1966, menggunakan kaedah eksperimen melibatkan dua kumpulan peserta kajian. Mereka diminta menonton rakaman beberapa individu yang diminta menjawab soalan yang menguji pengetahuan am.
Dalam satu rakaman, peserta ujian ditunjukkan berjaya menjawab hampir semua soalan dengan betul tetapi melakukan kesilapan bodoh pada saat akhir; tertumpahkan air kopi ke atas diri sendiri. Dalam rakaman berbeza, peserta ujian direkodkan mampu menjawab dengan cemerlang tanpa sebarang kesilapan serta tidak melakukan kesilapan bodoh.
Apabila ditanya kepada peserta yang melihat rakaman individu manakah yang mereka andaikan lebih mesra untuk didekati, majoriti peserta memilih individu yang tertumpahkan kopi berbanding mereka yang menjawab tanpa ada kekurangan.
Kajian Aronson juga mendapati pengaruh ini tidak berlaku sekiranya individu dalam rakaman diketahui tidak cekap sejak awal. Apabila peserta ujian melihat rakaman individu berbeza yang kurang pandai menjawab soalan ujian dan kemudian melakukan kesilapan seperti tertumpahkan air, persepsi mereka menurun terhadap tarikan individu.
Hasil daripada eksperimen ini, Aronson menyimpulkan daya tarikan seseorang akan menjadi bertambah kuat sekiranya seseorang yang berprestasi tinggi tampak ada kelemahan berbanding seorang yang berprestasi tinggi tetapi kelihatan sempurna.
Manakala seseorang yang berprestasi rendah dan menampakkan kecenderungan untuk melakukan kesilapan bodoh, akan semakin dipandang hina oleh orang lain.
Bagaimana kesan pratfall dimanfaatkan dalam pentadbiran?
Teori Aronson berkenaan kesilapan bodoh mampu membentuk reputasi dan kepercayaan, kini telah diterima pakai dalam pelbagai bidang seperti pemasaran, kepimpinan dan hubungan sosial.
Kita dapat melihat bagaimana ramai ahli politik gemar memaparkan 'ketidak sempurnaan' mereka, yang membantu menaikkan reputasi serta mendekatkan mereka dengan ahli masyarakat.
Dalam konteks pengurusan, pentadbir yang sudah ada pangkat serta tidak takut mengakui kesilapan kecil atau kelemahan mereka, akan lebih dihargai pekerja bawahan kerana dikatakan tinggi nilai kejujuran dan keterbukaan mereka.
Taktik menampakkan kelemahan ini membantu membina kepercayaan dan hubungan yang lebih mesra dengan pekerja bawahan, kerana pengakuan sebegitu menunjukkan orang atasan mereka juga manusia yang tidak takut untuk mengaku salah dan memperbaiki diri....walaupun mereka berpura-pura atau berbohong.
Bagaimana nak manipulasi kesan ini untuk kepentingan diri?
Jika anda memahami kesan pratfall, kefahaman ini memberikan anda kelebihan dalam pelbagai situasi baik sosial mahupun profesional. Bagaimana kesan ini boleh anda manipulasi untuk kegunaan diri sendiri?
Dalam menghadiri temuduga kerja atau ketika sedang melakukan pembentangan, menonjolkan pencapaian dan kebolehan anda penting. Namun dengan menunjukkan satu atau dua kekurangan/kelemahan kecil yang ada pada anda, akan menjadikan anda kelihatan mudah didekati dan lebih dipercayai.
Dalam kerjaya, apabila anda secara tidak sengaja melakukan kesilapan kecil dalam situasi sosial yang memalukan anda, gunakan humor untuk meredakan keadaan. Pastikan orang tahu anda tidak takut untuk mentertawakan diri sendiri. Taktik ini sangat membantu membentuk persepsi positif orang lain terhadap anda.
Dengan tidak takut mentertawakan diri sendiri atau mengaku kesalahan sendiri, taktik ini membantu menguruskan pendapat orang sekeliling agar mereka tidak lagi fokus kepada kesilapan anda.
Dalam konteks lebih kecil seperti hubungan peribadi, jika anda mampu menunjukkan kelemahan kecil; kekurangan anda itu membantu membina hubungan yang lebih kuat. Pasangan cenderung untuk lebih dekat dengan individu yang mampu mengakui kelemahan mereka, kerana sifat itu jelas menandakan keterbukaan dan kepercayaan.
Bagaimanapun harus kami ingatkan! Walaupun kesan pratfall memberikan kelebihan, janganlah melampu sangat memanipulasinya.
Sangat penting untuk menyedari setiap kesilapan bodoh itu ada batasannya. Kesilapan bodoh yang berulang kali berlaku dengan sengaja kononnya kerana anda seorang yang cute dan clumsy akan menyebabkan kesan sebaliknya; mengurangkan kredibiliti serta menjejaskan daya tarikan anda.
Jadi, manipulasilah dengan bijak; jangan sampai orang naik menyampah dengan anda pula. Jangan lupa, kalau orang lain memang dah menyampah dengan anda, kesan psikologi ini tidak terpakai kepada anda. Anda buat-buat comel pun orang akan semakin jelik dengan anda.
Bina reputasi dulu, barulah mudah nak buat orang suka dengan kita bila mereka tahu kita ni ada kekurangannya.