Kredit foto: Instagram Astro Gempak
Program Dansa Dan Sing diteruskan ke minggu yang kedua dalam persaingan yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, malam tadi.
Sepuluh peserta bersama skuad masing-masing tampil dengan persembahan bertenaga menerusi pertandingan yang dihoskan oleh pasangan Sherry Alhadad dan Hady Mirza.
Bagaimanapun nasib tidak berpihak kepada penyanyi kelahiran Singapura, Harris Baba yang diumumkan sebagai peserta sulung meninggalkan pentas.
Harris yang diiringi Unique selaku 'troopers' mempersembahkan lagu Belaian Jiwa, dendangan asal kumpulan Innuendo.
Format pemarkahan dibahagikan kepada dua iaitu markah daripada juri profesional dan undian peminat menerusi dalam talian.
Penilaian juri profesional meletakkan 70% untuk aspek tarian, manakala 30% lagi berdasarkan aspek nyanyian.
Juri terdiri daripada Linda Jasmine dan Datuk Rizalman selaku juri tetap, bersama Yusry Abdul Halim sebagai juri undangan mingguan.
Berikut kedudukan dan pemarkahan diberikan juri untuk persembahan malam tadi.
Kredit foto: Instagram Astro Gempak
Keputusan Markah Dan Carta Kedudukan Konsert Dansa Dan Sing Minggu 2
1. Shiha Zikir & Squad - 94.93%
2. Chubb-E & Zeppo Youngsterz Crew - 94.03%
3. Sophia Liana & Budak Ngam - 88%
4. Waris & Alamak - 84.2%
5. Raja Syahiran & 2Twenty2 Squad - 80.33%
6. Wani Kayrie & Delitz - 76.27%
7. Arja & The Pirates - 69.87%
8. Atilia, Yasmin Hani & The Lola - 58.87%
9. Nik Qistina & DP Fam - 58.77%
10. Harris Baba & Unique - 49.67%
Arja Lee dan Atilia turut berada di paras 'bottom three' namun terselamat bersama para peserta lain iaitu Waris, Raja Syahiran, Sophia Liana, Chubb-E, Shiha Zikir, Wani Kayrie dan Nik Qistina.
Konsert mingguan Dansa Dan Sing yang bersiaran selama lapan minggu, menemui penonton secara langsung pada setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria, dibawakan dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).