Kehadiran pekerja asing dari Vietnam satu masa dulu dalam bilangan yang cukup besar di negara kita, mula berkurangan seiring peningkatan sektor ekonomi Vietnam membuka lebih banyak peluang di tanahair sendiri.
Orang Vietnam terkenal dengan kerajinan mereka bekerja, walaupun ada ketikanya banyak masalah sosial melibatkan kes pergaduhan berlaku dilaporkan sering terjadi di negara kita. Apabila membaca laporan media tentang orang Vietnam, pasti ramai individu bernama Nguyen disebutkan.
BESARKAN TEKS A- A+
Jika anda lihat senarai atlit Olimpik mereka juga, cukup ramai bernama Nguyen. Pasukan bola sepak mereka? Lebih separuh daripada pemain adalah Nguyen. Kenapa situasi ini berlaku?
Apakah 'Nguyen' dalam sejarah orang Vietnam?
Untuk bercerita kenapa ramai orang Vietnam menggunakan nama 'Nguyen' sebagai nama keluarga, kita perlu melihat ke belakang beberapa ratus tahun dahulu.
Dinasti Nguyen merupakan dinasti terakhir memerintah masyarakat Vietnam ditubuhkan oleh sebuah keluarga bernama Nguyen, wujud sekitar abad ke 16 semasa Vietnam di bawah pemerintahan Dinasti Le.
Kisah kebangkitan Dinasti Nguyen bermula dengan kejatuhan Dinasti Le.
Keluarga Nguyen sebelum naik menubuhkan kerajaan sendiri, terkenal sangat setia kepada Dinasti Le yang memerintah. Kesetiaan mereka teruji selepas kehilangan kuasa ke tangan Mac Dung Dung yang menubuhkan Dinasti Mac, seterusnya menguasai bahagian utara Vietnam.
Semakin dilemahkan, Dinasti Le terus disokong keluarga Nguyen yang setia, sehinggalah keluarga Nguyen mula terlibat secara langsung membantu seterusnya mengambil alih tampuk pemerintahan selatan Vietnam secara tidak rasmi.
Tindakan itu kurang disenangi sebuah lagi keluarga bernama Trinh.
Perebutan kuasa diantara keluarga Nguyen dan Trinh bagi mewarisi tampuk pemerintahan Dinasti Le berlangsung selama beberapa dekad.
Putera Nguyen Anh dari keluarga Ngui akhirnya berjaya menyatukan keseluruhan tanah Vietnam di utara dan selatan melalui siri kempen peperangan pada abad ke 18, yang dibantu kuasa militari Perancis.
Kemenangan itu membolehkan keluarga Nguyen naik sebagai pemegang takhta Vietnam yang sah.
Penjajah menuntut balasan bantuan yang diberikan
Kemenangan itu melayakkan Putera Nguyen Anh ditabalkan sebagai Maharaja Vietnam baru dengan memakai gelaran Maharaja Gia Long, memulakan Dinasti Nguyen.
Banyak terhutang budi dengan Perancis, Gia Long berjaya meredakan pengaruh Perancis di tanahairnya dengan mewujudkan beberapa kerjasama yang bersifat tolak ansur dengan orang Perancis, bagi melindungi kedudukan dan masyarakat Vietnam.
Mubaligh Kristian dari Perancis dibenarkan untuk berdakwah di Vietnam sebagai bayaran bantuan yang diterimanya namun perjanjian yang dimeterai Dinasti Nguyen dan orang Perancis mula terlerai, selepas kematian Maharaja Gia Long.
Dasar kerajaan di bawah pemerintahan Maharaja selepas beliau mula memperkenalkan polisi yang kurang digemari Perancis. Keengganan kerajaan Vietnam bekerjasama dan menghormati perjanjian awal, memberikan alasan untuk Perancis mula menjajah Vietnam pada tahun 1858.
Perancis menguasai majoriti tanah Vietnam tetapi membenarkan Dinasti Nguyen terus memegang kuasa, sehinggalah gerakan nasionalis kebangsaan tempatan memulakan tuntutan gerakan kemerdekaan.
Atas desakan itu, Dinasti Nguyen menyaksikan Maharaja Bao Dai menjadi maharaja terakhir dinasti tersebut, selepas bersetuju untuk melepaskan kuasa seterusnya membolehkan sebuah kerajaan republik ditubuhkan di negara yang bakal ditubuhkan.
Begitulah serba sedikit sejarah Dinasti Nguyen di Vietnam. Jadi kembali kita kepada persoalan utama kita.
Kenapa majoriti penduduk Vietnam bernama Nguyen?
Populasi Vietnam ketika ini dianggarkan berada pada kadar 98.2 juta orang.
Daripada keseluran jumlah tersebut, lebih 40% daripada rakyat Vietnam memegang nama keluarga 'Nguyen.' Ini bermakna seramai 39 juta orang Vietnam mempunyai nama keluarga yang serupa walaupun tidak berkait antara satu sama lain!
Sejarah kenapa situasi ini wujud bermula semasa kebangkitan Dinasti Nguyen, apabila ramai penduduk Vietnam memilih untuk menukarkan nama keluarga mereka kepada Nguyen disebabkan bimbang keselamatan mereka terancam.
Apatah lagi sekiranya mereka memegang nama keluarga yang terkenal berseteru dengan pihak keluarga Nguyen seperti Mac, Le, Trinh dan sebagainya. Dengan menyamar sebagai pewaris nama Nguyen, ramai individu berjaya menyelamatkan diri daripada dibunuh pemerintah yang mahu menstabilkan kuasa mereka daripada pemberontakan.
Selepas kedatangan Perancis yang menjadikan Vietnam sebahagian daripada koloni mereka, usaha untuk mendaftarkan status pendaftaran orang ramai berdepan masalah besar ekoran ketiadaan sistem penamaan individu yang konsisten di kalangan masyarakat.
Penjajah Perancis memperkenalkan sistem di mana semua individu yang akan didaftarkan perlulah mempunyai nama keluarga beserta nama peribadi, untuk direkodkan secara rasmi. Siapa sangka syarat itu membawa kepada satu masalah lebih besar.
Nama orang Vietnam yang cukup popular di Australia
Pada tempoh pendaftaran inilah, masyarakat Vietnam mula berebut-rebut untuk menukarkan nama keluarga mereka - mengakibatkan lebih banyak 'ahli keluarga Nguyen' didaftarkan sempena memperingati dinasti terakhir pemerintahan beraja masyarakat mereka.
Tidak banyak nama keluarga berbeza berjaya dikekalkan di Vietnam. Hampir separuh warga Vietnam menggunakan nama 'Nguyen' dengan 'Tran' menjadi nama keluarga kedua popular pada kadar 13%.
Nama 'Le' yang pernah ditakuti pemakai namanya berjaya bertahan pada 11% populasi mereka. Nama selebihnya yang kekal diamalkan adalah nama yang jarang didengari seperti Huyn, Phan, Vu, Dang, Dang, Bui dan Hoang.
Majoriti orang Vietnam mempunyai tiga patah nama yang disusun mengikut urutan iaitu 'nama keluarga' - 'nama tengah' dan 'nama yang diberikan', contohnya 'Nguyen Van Nam' atau 'Le Thi Lam.'
Ada juga yang hanya sekadar mempunyai nama keluarga dan nama diberikan, seperti Nguyen Trai atau Le Anh.
Di antara semua nama, populariti nama Nguyen cukup luar biasa. Nama tersebut bukan sahaja popular di negara asalnya, bahkan cukup popular di Australia sehinggakan diramalkan akan menjadi nama paling ramai penggunanya beberapa tahun akan datang di negara itu.
Boleh disebut dalam bermacam cara bergantung kepada dialeknya, 'Nguyen' walaupun dieja sebegitu sebenarnya disebut 'Wen' di bahagian selatan Vietnam atau 'Nuwin' di bahagian utara.
Tahukah anda apakah makna istilah 'Nguyen'?
Istilah itu datang daripada sejenis alat muzik bertali China yang dinamakan 'ruan,' sebelum masyarakat Vietnam menukarkan ejaan dan sebutannya agar lebih serasi dengan kaedah mereka.