Adakah kehidupan yang dilalui sekarang penuh dengan masalah, tanggungan beban, kerunsingan, kebimbangan dan kerisauan?. Di tambah pula dengan masalah ekonomi yang sentiasa tidak menentu walaupun ada yang bergaji besar namun masih rasa tidak cukup dan tidak pernah merasa puas dengan apa yang telah ada.
Hal rumahtangga pula sentiasa bergolak disebabkan isteri yang tidak mematuhi suami, suami yang mengabaikan tanggung jawab dan anak-anak yang ingkar serta derhaka. Terjadinya pertelingkahan yang tidak berkesudahan bersama rakan sepejabat, kenalan, majikan, sahabat, jiran dan saudara disebabkan hal yang kecil sehingga perkara yang besar.
BESARKAN TEKS A- A+
Tanah air yang diduduki kini tidak berasa aman disebabkan masalah sosial yang membimbangkan dan juga kes jenayah yang sentiasa meningkat saban hari. Ini adalah sebahagian daripada rentetan dan duri ranjau yang berbisa dalam kehidupan.
Tidak dinafikan bahawa ramai dikalangan kita yang mengakui bahawa Islam adalah sebagai cara hidup. Ramai orang pastinya pernah memiliki atau sentiasa sedar bahawa kebanyakan masalah yang timbul dalam hidupnya ini sebenarnya terjadi adalah kerana sikap diri sendiri yang tidak baik mengakibatkan kesannya kepada semua aspek sehingga membabitkan anggota masyarakat yang lain.
Inilah merupakan penyakit yang berbisa dikalangan kita.
Ramai yang sedar bahawa masalah utama adalah kerana kebobrokan yang berpunca daripada kejahilan sebagaimana kepincangan dalam kehidupan masyarakat jahiliah di zaman Rasulullah. Oleh sebab masalah utama itulah yang membuatkan kita tidak mendapat keredhaan Allah SWT.
Penyakit ini juga mempunyai penawarnya iaitu al Quran sebagai ikhtiar yang utama untuk mengubatinya. Apabila masyarakat sudah keluar dari kejahilan dan dengan pastinya dapat mengubah hati serta sikap dalam menangani ranjau kehidupan masa kini.
Firman Allah : "Dan mereka yang berjihad (bersungguh-sungguh) pada (mendapat keredhaan) Kami, Kami pasti memberi hidayah (petunjuk) kepada mereka akan jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya pasti Allah tetap bersama para muhsinin." (Al ’Ankabut : 69)
Jadilah seorang muhsinin
Muhsinin merupakan kata jama’ dari perkataan muhsin yang bermaksud berbuat kebaikan. Makna muhsinin pula bermaksud hamba Allah yang derwaman yang sentiasa melakukan kebaikan. Muhsinin adalah orang-orang yang bertaqwa serta sentiasa menginfaqkan harta bendanya di jalan Allah meskipun berada dalam keadaan lapang mahupun ketika berada dalam keadaan sempit.
Bahkan mereka sentiasa menyediakan khusus dari hartanya untuk orang yang meminta-minta dan tidak berpunya. Muhsinin juga bermaksud mereka yang mampu menahan amarah serta sentiasa memaafkan kesalahan orang lain. Mereka sentiasa dalam sabar di dalam menghadapi semua keadaan. Mereka akan berjihad bersungguh_sungguh di jalan Allah dan sentiasa memperbaiki amalan mereka.
Golongan muhsinin akan sentiasa untuk mencapai redha Allah dalam melakukan segala yang di suruh dan meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah.
Apa sahaja perkara mesti diambil berat dari sekecil perkara seperti hukum bersuci sehingga perkara yang besar termasuklah dalam bab kempimpinan dan pentadbiran negara.
Perkara pertama untuk menjadikan seseorang itu insan yang muhsinin, mereka perlu memperbanyakkan bertaubat kepada Allah Swt. Ikhlas dalam melakukan segala amalan dan sentiasa memperbanyakkan sabar diikuti dengan bertawakal dalam setiap perkara adalah resepi untuk menjadikan seseorang itu muhsinin.
Kejujuran dalam kehidupan dan sentiasa memaafkan setiap insan merupakan satu kejayaan dalam kehidupan. Maka dengan usaha yang demikian pasti Allah akan melimpahkan rahmat dan keredhaanNya kepada mereka. Sesungguhnya Allah memandang tinggi kepada jihad yang mereka lakukan dan Allah sentiasa memberi petunjuk dan hidayah kepada mereka.
Orang yang bertaqwa itu sentiasa diredhai Allah disebabkan itu mereka sentiasa mempunyai jalan keluar daripada sebarang masalah yang dihadapinya. Malah dia pasti akan mendapat pelbagai kurniaan dan ganjaran yang tidak disangka serta tidak terhitung besarnya sebagaimana yang telah dijanjikan Allah di dalam al Quran.
Mulakan dengan memperbetulkan niat kerana Allah dan mulakan dengan sikap rajin belajar serta membaca terutamanya kitab Tafsir, Hadith dan lain-lain untuk mengetahui ajaran Islam yang sebenar serta mengamalkan isi kandungannya dengan bersungguh-sungguh untuk seseorang itu mencapai tahap muhsinin.
Alangkah bahagianya kita apabila berada dalam maqam muhsinin yang dijanjikan kepada mereka yang bersungguh-sungguh. Ilmu yang benar membuahkan amal yang bersungguh dan menghasilkan nikmat iman mereka yang muhsinin lagi muttaqin.