Bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya terutamanya di simpang-simpang besar dan sibuk, biasanya lampu isyarat akan digunakan. Ianya sangat efektif bagi mengawal laluan kenderaan yang ingin keluar masuk daripada simpang yang berlainan.

Secara umumnya, terdapat 3 warna pada lampu isyarat iaitu merah yang bermaksud "berhenti", kuning bermaksud "sedia untuk berhenti" dan hijau pula bermaksud "teruskan jalan". Tidak kira di negara mana sekalipun, maksudnya tetap sama.

BESARKAN TEKS     A-  A+

lampu trafik di jepun

Walau bagaimanapun, di Jepun anda akan dapati sesetengah lampu isyaratnya tidak menggunakan warna hijau sebaliknya biru. Sekiranya anda baru pertama kali menjejakkan kaki ke Jepun, anda mungkin akan keliru dengan perbezaan ini.

Persoalannya, mengapakah Jepun menggunakan warna biru pada lampu isyarat mereka dan tidak menggunakan lampu berwarna hijau seperti yang digunakan di negara-negara lain di seluruh dunia? Adakah warna biru ini mempunyai maksud yang sama dengan warna hijau?

Keunikan bahasa Jepun

pensil warna 307

Jawapan bagi persoalan ini adalah kerana keunikan bahasa Jepun itu sendiri. Ratusan tahun dahulu, bahasa Jepun hanya mempunyai perkataan untuk merujuk kepada 4 warna asas iaitu hitam, putih, merah dan biru.

Sebagai contoh, sekiranya anda hendak merujuk sesuatu benda yang berwarna hijau, anda akan memanggilnya "ao", iaitu biru dalam bahasa Jepun. Walaupun begitu, secara umumnya semua orang akan faham ia sebenarnya merujuk kepada warna hijau.

Tidak lama kemudian, perkataan "midori" yang bermaksud "tumbuhan yang bercambah" mula digunakan secara luas dalam penulisan untuk merujuk kepada warna hijau. Walau bagaimanapun, warna hijau yang digelar "midori" ini masih dianggap sebagai salah satu warna derivatif yang berasal daripada biru (atau "ao").

Malangnya, walaupun perkataan "midori" ini telah wujud dan lebih tepat untuk merujuk kepada warna hijau, rata-rata orang Jepun sendiri lebih selesa memanggilnya sebagai "ao".

Perubahan warna hijau kepada biru di lampu isyarat

lampu isyarat biru

Ketika lampu isyarat baru diperkenalkan di Jepun, warna hijau telah digunakan sama seperti lampu isyarat di negara-negara lain. Walau bagaimanapun, dalam dokumen rasmi yang digunakan kerajaan, warna hijau ini seringkali dipanggil "ao" dan bukannya "midori".

Para pejuang bahasa telah membantah keputusan kerajaan meneruskan penggunaan perkataan "ao" bagi merujuk warma hijau sebaliknya kerajaan haruslah memanggilnya "midori". Oleh itu, kerajaan akhirnya telah bersetuju untuk berkompromi berkaitan perkara ini.

Pada tahun 1973, kerajaan telah mengumumkan tentang kewajipan penggunaan penggunaan hijau seakan-akan biru pada lampu isyarat. Secara teknikalnya, ianya berwarna hijau tetapi sekali pandang, anda akan melihatnya seperti warna biru dan ini membolehkan kerajaan memanggilnya "ao".

Ia mungkin kedengaran agak pelik tapi bagi kerajaan, penggunaan hijau seakan-akan biru ini membolehkan mereka patuh kepada undang-undang jalan raya antarabangsa yang mewajibkan penggunaan warna hijau tetapi pada masa yang sama memanggilnya "ao" kerana ia masih seakan-akan biru.

Kekeliruan bukan hanya terhad pada warna lampu isyarat

epal hijau 68

Benar, penggunaan perkataan "ao" bagi merujuk kepada warna hijau bukan saja menimbulkan kekeliruan pada warna lampu isyarat sahaja, sebaliknya perkara-perkara lain juga seperti buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan.

Sebagai contoh, di kedai buah-buahan anda mungkin akan melihat epal hijau dilabel sebagai "ao-ringo". Jika diterjemahkan, anda akan menyangka ianya bermaksud epal biru. Walau bagaimanapun, ianya bukanlah epal biru sebaliknya hanyalah epal hijau biasa seperti yang anda mudah dapati di pasar raya di Malaysia.

Contoh lain adalah buluh hijau. Dalam bahasa Jepun, ia dipanggil "aodake" dan jika diterjemah secara literal, ianya bermaksud buluh biru. Realitinya, ia hanyalah buluh hijau yang biasa kita lihat. 

Kredit:

  1. Atlas Obscura
  2. Japan Times
  3. Readers Digest



Hakcipta iluminasi.com (2017)