Kredit foto: Instagram @nelydiasenrose
Drama adaptasi novel terus mendominasi jiwa penonton naskhah drama cinta, tayangan slot waktu perdana di kaca televisyen.
Usaha mengangkat karya bermutu penulis tempatan ke layar kaca, diteruskan lagi menerusi drama Lelakimu Yang Dulu hasil adaptasi novel dengan judul sama, tulisan Farah Darianna.
Sinopsis
Kisah perkahwinan Hazrul dan Daliya yang sama seperti perkongsian hidup pasangan lain - tak lekang daripada musibah.
Sedang bahagia dikecapi, Hazrul harus akur dilanda dugaan getir.
"Tolong beritahu Liya, bukan abang yang lakukan semua tu?" - Daliya
Bagaimanapun si suami yang hanya membisu, membuatkan Daliya kecewa, lalu membawa hati dan melangkah pergi.
Pertemuan semula selepas dua tahun membuka rahsia bahawa mereka sebenarnya ada cahaya mata yang disembunyikan daripada pengetahuan Hazrul.
Lantas, Hazrul menggunakan anak kecil bernama 'Heidi Isyraf bin Hazrul Izzuddin' itu sebagai ruang untuknya memperbaiki semula hubungan dengan Daliya.
Kredit foto: Instagram @sharnaazahmad
Pelakon
Menggandingkan Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose sebagai tunjang utama, bersama barisan pelakon pembantu seperti Redza Rosli, Nadia Brian, Ungku Hariz, Reen Rahim, Ezzaty Abdullah, Afiq Muiz, Dato' Jalaluddin Hassan, Dian P. Ramlee, Rosnah Johari dan Azizah Mahzan.
Pengarah Dan Syarikat Produksi
Drama inspirasi novel dengan judul sama, karya Farah Darianna ini merupakan terbitan syarikat produksi Mache All Star United Sdn Bhd. Arahan sutradara drama bersiri fenomena, Pujaan Hati Kanda iaitu Eoon Shuhaini yang sebelum ini pernah menggarap beberapa drama rantaian popular lain seperti Tiada Arah Jodoh Kita, Cinta Masam Manis, Jika Itu Takdirku dan Love You Mr. Arrogant.
Kredit foto: Instagram @sharnaazahmad
Lagu Tema (OST)
'Takdir Tercipta' dipilih sebagai lagu runut bunyi, hasil paduan suara Hafiz Suip dan Adira yang pernah menyumbangkan suara dalam lagu hits 'Ombak Rindu'.
Waktu Siaran
Mengisi slot Akasia di saluran TV3. Ke udara mulai September 2019, setiap Isnin hingga Jumaat , jam 7 malam.
Sumber:
1. Wikipedia
2. Goodreads