Kita biasa melihat ikan koi diletakkan di kolam-kolam perhiasan yang terdapat diluar bangunan atau rumah. Dikenali dengan saiznya yang besar, ikan ini menjadi pilihan kerana corak dan warnya yang menarik. Malah, ianya juga tidak begitu sukar untuk dipelihara.
Bagi kebanyakan daripada kita, mungkin tiada yang begitu istimewa mengenai ikan ini. Namun, bagi masyarakat Jepun, ikan koi atau nama saintifiknya Cyprinus carpio dianggap sebagai ikan yang istimewa dan mempunyai nilai yang tinggi. Malah, harga tertinggi yang pernah dicatatkan untuk seekor ikan ini mencecah $1.8 juta!
BESARKAN TEKS A- A+
Ikan koi merupakan berasal daripada keluarga ikan kap. Ikan kap asalnya dapat ditemui di bahagian Tengah Eropah dan Asia. Pelbagai jenis ikan kap dapat ditemui di bahagian Asia Timur dimana ia biasanya dijadikan sebagai makanan.
Ikan ini merupakan ikan air sejuk dan kemampuannya untuk mengadaptasi dalam pelbagai iklim membolehkan ikan ini dieksport pula ke pelbagai negara termasuklah Jepun. Malah, mutasi warna badannya juga telah berlaku sejak sekian lamanya. Menurut sejarah, ikan ini telah dibela untuk tujuan mutasi warna badannya di China sejak beratus tahun tahun lamanya.
Permulaan industri penternakan ikan koi di Jepun
Tiada tarikh khusus yang mencatatkan tahun bilakah ikan koi mula dieksport ke Jepun. Ikan ini mula dipelihara di Jepun sekitar tahun 1700-an lagi orang para petani. Ikan ini menjadi pilihan kerana keunikan corak pada badannya.
Namun, ikan ini dipercayai mula dibela untuk tujuan mutasi warnanya sekitar tahun 1820 di bandar Ojiya di daerah Niigata yang terletak di pantai timur laut Pulau Honshu. Walau bagaimanapun, orang luar Jepun hanya mengetahui mengenai industri penternakan ikan ini sehinggalah pada tahun 1914. Pada tahun tersebut, ikan koi dari Niigata ini telah dipersembahkan dalam sebuah pameran tahunan yang diadakan di bandar Tokyo.
Bermula daripada saat itu, ikan koi mula mendapat permintaan daripada peminat ikan di seluruh Jepun. Bermula daripada hanya beberapa ekor ikan koi, ianya telah membiak dan menghasilkan pelbagai variasi ikan koi yang baru. Tidak lama kemudian, hobi membela ikan koi tersebar pula ke serata dunia.
Ikan ini biasanya dipelihara di dalam kolam kerana saiz ikan ini yang besar. Dari segi harga pula, ikan koi adalah antara ikan peliharaan yang termahal di dunia. Walaupun segelintir ikan koi mempunyai warna keemasan pada badannya, ikan koi sama sekali tiada kaitan dengan ikan emas.
Pertandingan memilih ikan koi terbaik
Bagi peminat ikan koi di Jepun, mereka sangat serius dalam penjagaan ikan ini untuk mendapatkan baka yang terbaik. Seperti juga anjing yang akan melalui proses persenyawaan terpilih untuk mendapatkan ciri atau sifat (trait) terbaik padanya, ikan koi juga begitu.
Malah, setiap tahun juga akan diadakan satu pertandingan untuk memilih ikan koi yang terbaik. Para juri dan bakal pembeli akan melihat kepada beberapa ciri pada ikan koi tersebut seperti bentuk tubuhnya, saiz, kesihatan kulitnya dan pergerakan ikan tersebut di dalam air. Namun, ciri paling penting yang akan dilihat adalah corak pada tubuhnya.
Ikan koi terbaik semestinya mempunyai imbangan antara warna dan juga corak pada tubuhnya. Sebagai contoh, terdapat ikan koi yang memmpunyai corak bintik-bintik biru, satu tompokan besar berwarna merah pada bahagian belakang badan, warna emas berkilauan dan sebagainya.
Walau bagaimana, bagi peminat ikan koi, ketiga-tiga variasi berikut biasanya yang akan menentukan menjadikan seekor ikan itu lebih bernilai tinggi dan terpilih untuk menjadi pemenang bagi sesuatu pertandingan:
- Kohaku - Kohaku bermaksud "merah dan putih". Ianya adalah ikan koi yang mempunyai warna kulit yang putih dan tompok merah pada bahagian atas
- Sanke - Sama seperti kohaku, tetapi mempunyai tanda hitam kecil pada tubuhnya yang dikenali sebagai "sumi"
- Showa - Ikan koi hitam dengan tanda merah dan putih pada badannya
Proses persenyawaan terpilih yang rumit
Sama seperti anjing, ikan koi juga disenyawakan melalui proses persenyawaan terpilih untuk mendapatkan baka koi yang terbaik. Biasanya, saiz dan warna tubuhnya akan menjadi pilihan utama sebelum dua ekor ikan koi akan disenyawakan.
Ikan koi mempunyai 6 jenis sel warna pada kulitnya iaitu merah, kuning, hitam, putih, biru dan metallic. Untuk menghasilkan warna merah-jingga seperti ikan yang berharga $1.8 juta di atas, anda perlu memilih seekor ikan yang mempunyai ikan berwarna putih dan ikan yang mempunyai sel kulit berwarna merah yang menghasilkan tompokan yang besar pada badan.
Warna merah dan putih merupakan dua warna penting bagi masyarakat Jepun. Malah, bendera negara ini juga terdiri daripada 2 warna ini. Kedua warna ini menggambarkan kegembiraan dan kesucian.
Jika dibandingkan dengan kucing dan anjing, untuk mendapatkan ikan koi yang mempunyai corak dan warna tertentu lebih sukar dan rumit. Hal ini kerana seekor ikan koi boleh menghasilkan beratus anak ikan sepanjang hayatnya. Oleh itu, seorang penternak ikan koi perlulah begitu teliti dalam proses ini.
Sebagai contohnya, seorang penternak bermula dengan 3 juta ekor anak ikan koi. Daripada jumlah ini, hanya 15,000 ekor ikan sahaja yang akan dibela sehingga mencapai umur satu tahun dan dikacukkan. Daripada jumlah ini pula, kemudian 1,000 ekor ikan sahaja akan dibela sehingga mencapai umur 2 tahun.
Sudah tentu proses ini sangat rumit dan perlu mengambil masa yang lama. Sebagai contoh, penternak ikan koi yang berjaya menjual ikan tersebut pada harga $1.8 juta terpaksa menunggu sehingga 9 tahun sebelum menjual ikan tersebut pada satu acara lelongan.
Kredit: