Oleh pada 24 May 2022 kategori

Anda mungkin pernah mendengar atau terbaca mengenai kes jenayah terkemuka seperti kisah raja dadah, pembunuh bersiri atau dalang rompakan besar-besaran. Lazimnya, kes-kes terkemuka ini didalangi oleh golongan lelaki.

Namun, ini tidak bermakna tiada penglibatan wanita dalam dunia jenayah berat. Tidak dinafikan, ada juga wanita yang menjadi raja dadah, pembunuh bersiri atau turut melakukan rompakan besar-besaran. Mungkin, ia terlalu sedikit berbanding lelaki.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walau bagaimanapun, terdapat kisah kekejaman empat orang wanita bersaudara dari Mexico yang pernah menggemparkan seluruh dunia pada suatu ketika dahulu. Berikut adalah kisah mengenai "The Gonzales Valenzuela Sisters".

Latar belakang Gonzalez Sisters

Berasal dari bandar El Salto di Jalisco, Mexico, empat beradik wanita bernama Carmen, Delfina, Maria de Jesus dan Luisa Eva dibesarkan dalam keadaan miskin dan penuh sejarah hitam. 

Ibu mereka, Bernardina, adalah seorang penganut Kristian yang taat manakala bapa mereka iaitu Isidro Torres pula adalah seorang kaki botol yang panas baran. Lebih teruk lagi, Isidro adalah seorang pegawai polis di daerahnya yang bebas melakukan apa sahaja.

delfina dan maria de jesus

Maria de Jesus dan Delfina Valenzuela Gonzales

Isidro sering menyalahgunakan kuasanya sebagai seorang anggota polis. Dia pernah memenjarakan anak perempuan sulungnya sendiri kerana tidak berpuas hati dengan cara gadis itu berpakaian dan bersolek.

Isidro juga sering menggunakan kekerasan terhadap anak-anak gadisnya yang lain. Bahkan, ibu mereka juga sering menggunakan kekerasan dalam membentuk anak-anak mereka supaya menjadi seorang penganut Kristian yang alim.

Sekitar tahun 1930-an, Isidro telah melarikan diri bersama isterinya apabila dia menembak mati seorang lelaki dalam satu perbalahan. 

Penglibatan Gonzales Sisters dalam dunia jenayah

Tidak lama selepas itu, anak sulung Isidro iaitu Carmen dan suaminya, Jesus, membuka sebuah bar di bandar kelahiran mereka. Malangnya, perniagaan mereka itu tidak begitu menguntungkan. Namun, adik kedua iaitu Delfina telah memberi cadangan baru untuk mereka menambahkan pendapatan.

pelacur gonzales sisters

Sebahagian pekerja seks di bawah Gonzales Sisters

Selain menjual minuman keras, mereka turut menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan. Perniagaan mereka menjadi semakin maju sehingga berjaya membuka beberapa cawangan lain di bandar berhampiran.

Keempat-empat beradik Gonzales memainkan peranan masing-masing dalam perniagaan haram itu. Delfina menguruskan perihal pekerja seks, Maria de Jesus mengutip bayaran daripada pelanggan, Luisa menguruskan bahagian makanan manakala Carmen pula menjahit pakaian dan merekodkan hutang para pekerjanya.

Gonzales Sisters turut merasuah pihak berkuasa tempatan yang kebanyakannya adalah pelanggan tetap pusat pelacuran mereka.

Diselubungi sifat tamak

Akibat tamak, Gonzales Sisters semakin rancak mengembangkan perniagaan mereka. Mereka mula menyasarkan gadis-gadis muda di kawasan pendalam dengan menawarkan pekerjaan palsu sebagai pelayan restoran atau pembantu rumah.

mangsa gonzales sisters

Mangsa melakonkan semula bagaimana mereka disuruh memegang bata sebagai hukuman

Tidak cukup dengan itu, Gonzales Sisters juga menjadi dalang penculikan gadis semuda 12 dan 13 tahun untuk dijadikan pelacur. Gadis-gadis malang ini kemudian terpaksa "berhutang" dengan pakaian dan makanan yang disediakan Gonzales Sisters. Satu-satunya cara untuk membayar hutang itu adalah dengan melacur.

Malah, mangsa culik mereka turut diberikan dadah seperti heroin atau kokain secara paksa supaya mereka ketagih dan patuh kepada segala arahan jika mahukan bekalan dadah.

Bagi pekerja seks yang melawan atau tidak mengikut arahan, mereka akan diseksa dan dirogol oleh orang suruhan Gonzales Sisters.

Pembunuh bersiri menggerunkan dalam sejarah Mexico

Tidak cukup dengan menjalankan perniagaan haram dan menculik, Gonzales Sisters juga terlibat dalam pembunuhan. Mereka tidak teragak-agak untuk membunuh pelacur yang cuba melarikan diri.

Lebih menyedihkan lagi, pelacur yang berusia lebih 25 tahun biasanya dianggap sudah tidak menarik lagi dan akan diseksa dan dibiarkan kebuluran sehingga mati.

gonzales sisters

Jika ada pelacur yang mengandung, mereka akan dipaksa menggugurkan kandungan itu. Ada kalanya, proses menggugurkan janin turut memakan nyawa mereka sendiri.

Gonzales Sisters bukan sahaja membunuh para pelacur di bawah kawalan mereka tetapi turut merompak dan membunuh pelanggan kaya yang datang dengan sejumlah wang yang banyak.

Kejatuhan Gonzales Sisters

Setelah hampir 30 tahun menjalankan perniagaan haram mereka, Gonzales Sisters akhirnya diberkas pada 1964 apabila salah seorang pelacur berjaya melarikan diri dan membuat laporan polis. Sebenarnya, sudah lama pihak berkuasa cuba menghentikan sindiket itu tetapi gagal.

Setelah serbuan dibuat di beberapa lokasi, pihak berkuasa menemui puluhan gadis dengan kesan diseksa dan kekurangan zat makanan. Siasatan lanjut turut menemui 91 mayat wanita, lelaki dan bayi yang ditanam di tempat kurungan pelacur.

perbicaraan gonzales sisters

Para mangsa membuat pengecaman ketika perbicaraan kes Gonzales Sisters

Pihak berkuasa turut menemui puluhan lagi rangka manusia yang tidak dapat dikenalpasti. Mengikut andaian, Gonzales Sisters mungkin telah melakukan lebih daripada 150 pembunuhan. 

Keempat-empat beradik Gonzales itu telah dibicarakan dan dijatuhkan hukuman penjara selama 40 tahun. Carmen dan Delfina meninggal dunia ketika berada di dalam penjara.

Pada 17 Oktober 1978, Maria de Jesus yang dikatakan sudah bertaubat dan menjadi seorang penganut Kristian yang alim telah dibebaskan lebih awal sementara Luisa pula dimasukkan ke hospital mental akibat gila.

Kisah Gonzales Sisters masih lagi menjadi salah satu kes jenayah yang digeruni di Mexico sehingga hari ini.




Hakcipta iluminasi.com (2017)