Dalam tempoh 15 tahun, Korea Selatan menjadi semakin popular di kalangan rakyat Malaysia. Ini adalah disebabkan oleh industri hiburan mereka yang menjadi kegilaan remaja-remaja kita. Drama Korea dan K-Pop antara penyumbang terbesar kepada situasi ini dan membuka mata kita mengenali dan mengetahui mengenai negara yang terkenal dengan ginseng ini.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun bukan itu yang ingin dibicarakan mengenai Korea Selatan. Baru-baru ini, kemunculan seorang gadis cantik manis dari Korea Selatan yang bertudung litup dan berjubah sering kelihatan di media sosial Facebook dan Instagram. Beliau juga menjadi perbincangan hangat dikalangan gadis-gadis dan jejaka-jejaka Malaysia terutama di Instagram. Tertarik dengan kecomelan dan caranya yang tak kekok dalam menggayakan hijab membuatkan kami ingin tahu siapakah sebenarnya gadis ini. Biasanya kita akan dapat melihat gadis-gadis dan selebriti Korea Selatan dengan pakaian yang agak terdedah dan seksi.
Setelah menyelidik dengan mendalam, kami mendapat jawapan mengenai gadis ini. Beliau yang diberi nama Ayana Moon Jihye ini berumur 22 tahun dan berasal dari Seoul, Korea Selatan. Sekali pandang, persis gadis melayu. Ayana merupakan seorang saudara baru dalam Islam setelah memeluk Islam beberapa tahun yang lalu. Beliau yang kini kerap berada di Malaysia kerana kerjayanga sebagai seorang model muslimah bagi sebuah jenama pakaian muslimah di Malaysia.
Gadis yang bermata bulat ini merupakan satu-satunya yang memeluk agama Islam dalam kalangan ahli keluarga dan rakannya. Setelah sekian lama menjadi saudara baru, beliau kini tampil menceritakan pengalaman bagaimana dan apa yang membuatkan beliau tertarik dan memeluk Islam. Walaupun sebelum ini sering disoal bagaimana beliau boleh memeluk Islam, Ayana yang agak segan dan malu untuk berkongsi pengalaman beliau sebelum ini memberikan beberapa sebab mengapa sehingga kini baru dirinya lebih terbuka untuk berkongsi di dalam videonya.
"Pertamanya, kerana saya merupakan seorang yang masih baru dan mentah dalam agama Islam. Sebenarnya ada juga beberapa orang yang memeluk agama Islam, dan kemudiannya menukar kepada agama lain. Keduanya, ramai yang salah anggap yang saya melakukan segalanya untuk perniagaan halal (model muslimah), dan sesetengah mungkin akan menyalahkan dan menghentam mereka yang sentiasa membantu saya mempelajari mengenai Islam, jadi tak terlintas dalam fikiran saya untuk membuat video seperti ini," kata Ayana.
Tambahnya lagi, sesetengah orang mungkin akan prejudis dengan Islam kerananya, yang membuatkan beliau lebih takut dan ragu untuk berkongsi. Dan sebab terakhir adalah agak peribadi iaitu beliau risau dan takut ia akan memberi kesan buruk kepada keluarga dan rakan-rakannya kerana mereka bukan muslim. "Jadi, terus terang, ini merupakan sesuatu yang sangat mencabar untuk dilakukan," jelansnya.
"Video ini hanyalah pengalaman peribadi saya dan tidak mewakili agama Islam secara keseluruhannya.,"
- Ayana Jihye Moon
Ceritanya bermula ketika beliau berusia lebih kurang 8 atau 9 tahun. Pada ketika itu tercetusnya perang di antara Iraq dan Amerika Syarikat di Timur Tengah, dan ketika itu Ayana baru mula untuk mempelajari cara menggunakan internet. Oleh kerana Korea Selatan berkait rapat dengan Amerika Syarikat, beliau tidak ingin tahu mengenai Amerika Syarikat, tetapi lebih tertarik dengan Iraq kerana baru pertama kali terdengar mengenai negara itu. Beliau mendapati bahawa Islam adalah agama rasmi bagi Iraq.
"Ia juga merupakan kali pertama saya dengar perkataan "Islam" dan saya rasa sebutan "Islam" adalah sangat comel dan bunyinya tidak seperti nama sebuah agama. Jadi saya pon cuba untuk mencari informasi mengenai Islam di internet,"
- Ayana Jihye Moon
Menurut gadis berkulit putih gebu ini, beliau mendapati bahawa wanita Islam memakai pakaian yang longgar, menutup muka dan memakai hijab seperti yang dipakainya sekarang. Oleh kerana ia 10 tahun yang lalu, ramai orang yang beranggapan buruk dan salah mengenai Islam. Begitu juga dengan Ayana yang mempunyai tanggapan negatif terhadap Islam pada mulanya. Apa yang ada di fikirannya ketika itu adalah Islam itu pengganas, Islam dan Al-Qaeda serta Taliban. Namun selepas mempelajari lebih dalam mengenai Islam dengan membaca pengalaman mereka yang tinggal di Timur Tengah, Ayana melihat Islam dengan pandangan yang baru.
Oleh kerana ketika itu beliau masih kecil dan tidak boleh memahami bahasa asing, Ayana hanya menonton dokumentari berbahasa Korea sahaja. Kata Ayana lagi, beliau sudah menonton hampir kesemua dokumentari dalam bahasa Korea yang ada.
Tahun demi tahun berlalu, dari sekolah rendah ke sekolah menengah, keiinginan untuk mengetahui tentang Islam menjadi semakin kuat sehinggakan setiap kali sesiapa sahaja yang bercakap mengenai Islam atau Timur Tengah, beliau akan menunjukkan minatnya tanpa beliau sedari. Perkara ini telah membuatkan cikgu-cikgu dan keluarganya menyedari tentang pengetahuan Islam yang diketahui Ayana.
Ketika berada di sekolah menengah, Ayana pernah menyertai kem Wamy (kem Islam) di Korea Selatan selama 3 hari 2 malam dikendalikan oleh orang Islam di Korea ketika musim panas untuk mendalami ilmu Islam. Walaupun beliau sudah mempunyai banyak informasi mengenai Islam dan Timur Tengah, beliau mengaku masih berasa takut dan bimbang kerana ketika itu imej Islam di Korea adalah sangat teruk. Ia bukan sahaja berkenaan dengan keganasan, tapi juga mengenai jenayah yang dilakukan oleh orang Islam di Korea dan tentang teruknya situasi kehidupan di negara-negara Islam. Ibu bapanya yang amat risaukan Ayana menyertai kem ini memberitahu beliau agar menelefon mereka dengan serta merta jika ada orang yang aneh dan pelik di kem tersebut.
Ketika di kem tersebut, gadis yang boleh berbahasa Melayu sedikit ini berpeluang mengunjungi masjid di Korea dan banyak yang dipelajarinya. Ayana sangat gembira dapat menyertai kem tersebut. Ketika itulah beliau tiba-tiba rasa dan berkata "Saya nak tahu lebih banyak mengenai Islam,". Jadi beliau menyertai program yang dikendalikan setiap minggu oleh Masjid Salam Nuri dan di situlah Ayana terjumpa dengan mentornya saudara Amin dan mempelajari lebih banyak daripada saudara Amin, sehinggalah beliau menjadi seorang muslim.
Setahun selepas memeluk Islam, Ayana belajar dengan lebih rajin mengenai Islam. Namun apa yang keluar daripada mulutnya adalah "Saya tak akan jadi muslim. Saya tak boleh jadi muslim! Macam mana saya nak pakai hijab setiap hari," ujarnya. Tetapi, lebih banyak beliau belajar tentang Islam, lebih dalam cintanya terhadap Islam dan kini menjadi muslimah sebenar.
"Walaupun jumlah umat Islam di Korea Selatan adalah sedikit, asalkan jumlahnya kian bertambah, saya berharap cerita saya dapat memberikan peluang kepada mereka untuk berkongsi cerita mereka juga. Saya tahu ramai yang ingin tahu. Bertahun lamanya saya hidup sebagai seorang bukan Muslim, keluarga saya dan rakan-rakan saya juga bukan muslim, jadi saya sangat faham persepsi dan salah faham rakyat Korea terhadap orang dan agama Islam," tambahnya yang sangat petah bercakap.
Tonton video di atas untuk cerita penuh.
Rujukan gambar : Instagram Ayana Jihye Moon