Oleh pada 21 Jun 2019 kategori

Watak-watak adiwira banyak mengambil idea menggabungkan konsep binatang dengan manusia, menjadikan kemampuan binatang itu sebagai kemampuan baru yang meningkatkan kapasiti dan kebolehan individu-individu terpilih itu.

Kisah fiksyen Spiderman, Ant-Man dan sudah pastilah Batman memaparkan identiti adiwira yang sudah lama bertapak sehingga sangat mudah dikenali dalam zaman moden. Batman menjadikan kelawar sebagai inspirasinya, memilih untuk mengambil sifat-sifat yang ada pada kelawar bukan saja untuk dijadikan kostum malahan cara Batman bertindak juga mirip kelawar sebenar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

batman kaum mayan

Walaupun Batman bolehlah dikatakan antara watak adiwira terawal yang dicipta menggabungkan kelawar dengan manusia dalam zaman moden, sebenarnya sudah wujud satu watak lain beribu tahun lamanya di mana masyarakat zaman dahulu melakukan perkara yang serupa - namanya Camazotz.

Tuhan kelawar yang dahagakan darah

camazotz legenda orang maya

Nama Camazotz mula dicatatkan dalam sejarah orang Mesoamerika zaman dahulu, sebagai lembaga berbahaya yang tinggal di dalam gua. Makna namanya 'Kelawar Kematian.' Camazotz dikatakan tinggal di dalam gua yang digelarkan Zotzilaha, yang bermakna 'rumah kelawar.'

Pemujaan Camazotz mula popular sekitar tahun 200BC, apabila suku kaum Zapotec yang tinggal di kawasan sekitar Oaxaca, Mexico menyembah makhluk tersebut sebagai Tuhan mereka. Orang Zapotec percaya Camazotz yang menggerunkan, merupakan jelmaan Tuhan yang mewakili malam, kematian dan pengorbanan.

Zotzilaha pula dipercayai sebagai pintu masuk kepada dunia lain, mampu menjadi penghubung semangat atau lembaga kegelapan masuk ke dunia ini bagi menjalankan kerja jahat mereka. Lukisan-lukisan awal Camazotz seringkali memaparkan lembaga itu memegang pisau penyembahan di sebelah tangan sementara jantung manusia dalam tangan satu lagi.

Tradisi menyembah Camazotz akhirnya diwarisi sebuah suku kaum lain bernama Quiche, suku Maya yang tinggal di kawasan sekitar Guatemala hari ini namun digabungkan dengan satu lagi Tuhan bernama Chamalcan.

Waris-waris orang Maya percaya dengan kewujudan entiti bernama Zotzilaha Chamalcan, nama Camazotz yang kekal sehinga ke hari ini.

Kisah makhluk ghaib Camazotz dalam legenda orang Maya

hero twins orang maya

Ciri-ciri Camazotz berdasarkan kepada kepercayaan orang Maya, adalah seorang/seekor lembaga yang mempunyai badan manusia tetapi kepalanya pula berbentuk sama seperti kelawar. Telinganya pula tajam meruncing ke atas.

Terdapat satu kisah yang dicatatkan dalam buku lama orang Maya bernama Popol Vuh, mengisahkan tentang dua adik beradik kembar yang dianggap wira masyarakat Maya zaman dulu bernama Hunahpu dan Xbalnque.

Dalam ujian yang perlu dilalui mereka, Hunahpu dan Xbalanque diminta untuk menginap di Zotzilaha bagi menguji keberanian mereka dan hanya dibenarkan keluar selepas matahari terbit. Hunahpu yang kurang berhati-hati, menjengukkan kepalanya bagi melihat adakah hari sudah siang tanpa menyedari Camazotz sedang memerhatikannya.

Camazotz terus terbang menerkam Hunahpu mencengkam kepalanya, lalu menariknya hingga putus seterusnya meletakkan kepala Hunahpu di tengah-tengah gelanggang majlis. Melihat kepala Hunahpu yang putus di tengah laman, musuh kedua beradik kembar itu meraikan kegagalan mereka berdua.

Bagaimanapun, Xbalanque yang selamat berjaya menemui seekor kura-kura sebagai ganti kepala abangnya lalu mereka berdua berjaya keluar dari Zotzilaha. Tiba di gelanggang majlis, orang ramai terkejut melihat apa yang berlaku sebelum Xbalanque berjaya mencuri kembali kepala abangnya membolehkannya disambungkan semula.

Adakah Dewa Camazotz menginspirasikan Batman?

camazotz tuhan oran maya

Sekiranya ditanya pada pereka asal watak Batman iaitu Bob Kane, nama Camazotz tidak disebut sebagai salah satu inspirasi asal watak popular tersebut. Batman diasaskan daripada rekaan watak fiksyen Sherlock Holmes dan Zorro, dibantu oleh rekaan mekanikal hasil karya Leonardo da Vinci.

Malahan dalam siri adiwira DC Comics yang menerbitkan komik Batman, tidak ada sebarang watak menyerupai Camazotz walaupun Batman dikatakan diolah daripada watak itu.

Watak Camazotz banyak dipaparkan dalam permainan video, dengan paparan paling terkenal adalah dalam siri permainan MOBA berjudu SMITE - di mana Camazotz dipaparkan dalam rupa asalnya yang telah dimodenkan.

Syarikat Marvel mengambil kesempatan memperkenalkan dua watak bernama Camazotz dalam siri adiwira mereka, dengan kedua-duanya diinspirasikan daripada legenda Tuhan orang Maya itu.

Gambar di atas yang memaparkan arca Batman dengan motif Aztec pula dibuat oleh seorang pengukir, yang mahu memvisualkan rupa Batman versi orang Maya zaman dahulu. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)