"Something is rotten in the state of Denmark." Begitulah salah satu baris dialog dalam pementasan Hamlet oleh karyawan agung Shakespeare suatu ketika dahulu. 'Rotten' dalam konteks ini membawa makna korupsi atau sesuatu situasi yang tidak tidak kena.
Mundar laju empat abad ke hadapan, Denmark berubah menjadi negara paling seimbang dan bahagia berbanding negara-negara lain dalam laporan Better Life yang disediakan oleh Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
BESARKAN TEKS A- A+
Hanya 2% pekerja di negara itu bekerja lebih masa berbanding purata OECD iaitu 13%. Malah, rakyat Denmark mempunyai keseimbangan budaya kerja kerana menghabiskan dua pertiga hari mereka (16 jam) untuk tidur, makan dan bersuka-ria.
Selain keseimbangan budaya kerja, Denmark juga unggul dalam aspek lain seperti kualiti persekitaran, penglibatan sivik, pendidikan, kemahiran, pekerjaan, pendapatan, kesihatan, keselamatan peribadi dan hubungan sosial. Aspek terakhir iaitu rangkaian sokongan sosial juga adalah kunci utama : 96% warga Denmark mempunyai keluarga dan rakan yang mereka sentiasa boleh harapkan jika berada dalam kesusahan berbanding 88% nilai purata di negara-negara OECD yang lain.
Kualiti udara di sana juga lebih baik daripada purata negara OECD iaitu 11.1 mikrogram dalam setiap meter padu udara berbanding purata negara OECD sebanyak 14.05.
Rakyat di negara itu majoritinya terlibat dalam proses pilihan raya dengan catatan 86% rakyat yang keluar mengundi - antara bacaan tertinggi dalam negara OECD. Di samping itu, rata-rata warga Denmark adalah berpendidikan. 80% orang dewasa antara 25-64 tahun telah menamatkan pengajian di sekolah menengah. Jumlah itu adalah empat peratus lebih tinggi daripada putara OECD.
Keseimbangan budaya kerja
Menurut orang Denmark sendiri, kunci kebahagiaan mereka terletak pada sikap yang lebih mementingkan kehidupan berbanding kerja. Apabila di tempat kerja pula, mereka diberikan kefleksibelan dalam pelbagai aspek. Misalnya mereka boleh memilih untuk mula bekerja pada jam berapa dan juga mempunyai pilihan untuk bekerja dari rumah. Adapun begitu, waktu makan tengah hari telah ditetapkan pada masa yang tertentu untuk membolehkan kakitangan berinteraksi sambil makan bersama-sama. Kesemupa pekerja di negara itu menikmati faedah cuti tahunan berbayar selama sekurang-kurangnya lima minggu.
Walaupun tidak bekerja dalam tempoh yang panjang seperti pekerja di negara lain, ia tidak bermakna mereka tidak tahu membuat kerja. Para penyelidik OECD mendapati waktu kerja harian yang panjang sebenarnya mengurangkan produktiviti.
Menurut laporan OECD, pilihan gaya hidup orang Denmark sudah boleh dilihat melalui sikap mereka. Keutamaan lebih banyak diberikan kepada kesihatan, pendidikan, persekitaran dan keseimbangan budaya kerja. Pekerjaan dan pendapatan tidak banyak dititikberatkan.
Seorang Profesor Ekonomi dari Aarhus Business School, Christian Bjørnskov, bagi warga Denmark, wang adalah tidak sepenting kehidupan bersosial mereka, tidak seperti di Britain ataupun Amerika Syarikat. Mereka lebih banyak menghabiskan wang dengan bersosial bersama orang lain dan tidak berkeinginan membeli rumah atau kereta besar.
Bloomberg pernah melaporkan, walaupun rakyat di negara itu terpaksa membayar cukai yang tinggi, mereka sedikitpun tidak kisah kerana semua cukai yang dikutip digunakan untuk kebajikan rakyat dan negara. Itu adalah sesuatu yang mereka sangat hargai. Maka, tidak hairanlah warga Denmark dilaporkan mempunyai tahap kepuasan hidup yang paling tinggi berbanding mana-mana negara lain.
Denmark juga telah menduduki tempat pertama dalam Laporan Kebahagiaan Sedunia 2013, tempat ketiga pada tahun 2015 dan lagi sekali mengungguli carta pada tahun 2016.
Bunyinya seperti sebuah negara utopia. Adakah semuanya memang manis belaka di Denmark?
Tidak ada negara yang sempurna dalam dunia ini. Fakta ini mungkin agak mengejutkan, namun warga Denmark mengambil ubatan anti kolestrol dan farmaseutikal lain - termasuk antidepresan - lebih banyak berbanding purata negara OECD.
Menurut OECD, kerajaan Denmark juga boleh cuba untuk lebih banyak membantu rakyat yang berpendapatan dan berkemahiran rendah. Ini disebabkan jurang antara orang kaya dan miskin adalah sangat tinggi. 20% penduduk teratas berpendapatan empat kali ganda lebih banyak daripada 20% penduduk terbawah.
Sumber:
1. Denmark.dk
3. OECD
6. Bloomberg