Pandemik menyaksikan masyarakat dunia mula mempelajari tentang perubahan yang boleh berlaku kepada virus, sehingga terhasil varian baru berbeza.
Varian ini pula dinamakan secara rasmi mengikut kod tertentu dengan varian Alpha, Beta, Gamma, Delta dan yang terbaru Omicron direkodkan, bagi memudahkan pengenalannya.
Dari mana datangnya istilah-istilah ini?
BESARKAN TEKS A- A+
Sejarah huruf-huruf Yunani/Greece
Istilah alpha, beta, gamma, delta dan seterusnya - dipinjam daripada istilah huruf Yunani/Greece lama atau 'Greek alphabet.'
Dibentuk daripada 24 huruf berbeza, setiap satu huruf mempunyai kod nama sendiri di samping simbol yang membezakan huruf besar dan huruf kecil. Sistem ini sebenarnya telah dicipta lebih 2,000 tahun dahulu berdasarkan huruf-huruf Tamadun Phoenicia, kini di Cyprus sekarang.
Kesemua 24 huruf diberikan susunan secara formal sekitar tahun ke 4SM/BC bermula dengan huruf 'Alpha' dan berakhir dengan 'Omega'.
Format susunan serta tulisan yang dibentuk berjaya dikekalkan sehingga ke hari ini, menjadi asas kepada beberapa sistem tulisan moden seperti Itali Kuno, Latin, Georgia dan juga Armenia.
Pengaruh sistem tulisan ini ke dalam masyarakat Kristian seluruh dunia juga besar. Kitab Perjanjian Baru atau New Testament menggunakan susunan huruf-huruf ini sebagai salah satu simbol elemen utama. Penggunaan frasa 'Alpha and Omega' digunakan khas bagi merujuk Tuhan - melambangkan sifat Tuhan sebagai 'Yang Pertama dan juga Yang Terakhir.'
Penggunaan huruf Yunani dalam era moden
Seperti yang diterangkan di atas, penggunaan huruf-huruf Yunani ini dalam dunia moden masih lagi meluas. Penggunaannya dapat ditemui secara meluas khasnya dalam bidang astronomi, matematik dan sains.
Sistem pengkelasan bintang diasaskan oleh seorang ahli astronomi Jerman bernama Johann Bayer, menggunakan kesemua 24 huruf Yunani bagi memudahkan proses penamaan lebih 1,500 bintang yang berjaya dikompilasi dalam kompilasi atlas angkasa beliau Uranometria.
Uranometria menjadi atlas angkasa pertama dunia bersifat lengkap merangkumi keseluruhan kawasan langit. Atlas tersebut menjadi asas kepada ilmu kaji bintang.
Sistem yang digunapaki Bayer diperkembangkan lagi, untuk digunakan dalam sistem penamaan bukan sahaja bintang malahan penamaan kesemua objek di angkasa seperti galaksi, andromeda dan pelbagai lagi objek di luar sana yang ditemui.
Kita juga sebenarnya sudah mengenali beberapa huruf dengan dekat.
Simbol 'pi' atau π yang kita gunakan dalam matematik juga dipinjam daripada huruf Yunani, digunakan kali pertama untuk mewakili formula kiraan bulatan pada tahun 1706 oleh seorang ahli matematik bernama William Jones.
Simbol 'omega' atau Ω dijumpai mewakili unit Ohm dalam ilmu berkaitan litar dan elektrik, berkait kiraan rintangan arus. Apa yang sedikit lucu, unit Ohm yang diguna pakai dinamakan sempena individu yang menemui kaedah mengira rintangan elektrik yang ada bernama Georg Ohm.
Disebabkan nama beliau mirip dengan sebutan 'Omega', bermula tahun 1867 sebagai penghormatan atas sumbangan beliau simbol 'omega' mula digunakan sebagai simbol unit rintangan dalam litar elektrik.
23 huruf Yunani mempunyai kegunaan yang pelbagai dalam bidang yang kami sebutkan di atas, kecuali huruf 'Omicron'.
Omicron terhad digunakan hanya untuk penamaan sebuah konstelasi iaitu Omicron Herculis. Terpilih sebagai penamaan salah satu varian baru virus corona, kini penggunaan 'omicron' nampaknya telah diperkembangkan.
Kerana itulah ramai jarang sekali mendengar istilah 'omicron' sebelum ini.
Kenapa ada 'alfa, bravo, charlie, delta' pula?
Berbeza dengan sistem huruf Yunani yang terkenal dengan frasa 'Alpha, Beta, Gamma, Delta' terdapat satu lagi sistem huruf hampir serupa yang berbunyi 'Alfa, Bravo, Charlie, Delta'.
Ini sistem huruf fonetik NATO.
Diperkenalkan dalam versi pertama oleh International Telecommuncation Union pada dekad 1920-an, sistem ejaan ini pada awalnya menggunakan nama-nama tempat seperti 'Amsterdam, Baltimore, Casablanca, Denmark' dan seterusnya.
Pihak tentera Britain memperbaiki sistem ini dengan memperkenalkan sistem huruf Able Baker dengan penggunaan sebutan 'Able, Baker, Charlie, Dog'.
Kritikan terhadap perkataan yang digunakan terlalu berorientasikan Bahasa Inggeris memerlukan rombakan semula. International Civil Aviation Organization atau ICAO memperkenalkan sistem 'Alfa, Bravo, Coca, Delta' yang lebih mirip dengan apa yang ada sekarang.
Tidak lama selepas itu NATO memperkenalkan standard yang kekal sehingga kini.
'Alpha, Beta, Gamma, Delta' dan 'Alfa, Bravo, Charlie, Delta'
Bagi memperkemaskan lagi sistem serta meminimakan ralat, kesemua negara anggota NATO duduk bersidang pada bulan Mac 1956 membincangkan penambahbaikan sistem yang telah dibangunkan ICAO.
NATO memperkenalkan sistem 'Alfa, Bravo, Charlie, Delta', merangkumi 26 huruf membentuk sistem huruf dan sebutan NATO. Pertukaran yang diperkenalkan NATO itu menyebabkan sistem huruf mereka mempunyai sedikit persamaan dengan sistem huruf Yunani yang telah ada sekian lama.
26 huruf NATO berbunyi ALFA, BRAVO, CHARLIE, DELTA, ECHO, FOXTROT, GOLF, HOTEL, INDIA, JULIETT, KILO, LIMA, MIKE, NOVEMBER, OSCAR, PAPA, QUEBEC, ROMEO, SIERRA, TANGO, UNIFORM, VICTOR, WHISKEY, X-RAY, YANKEE, ZULU
Huruf Yunani pula kekal dengan susunan 24 huruf asal. Kesemua 24 huruf itu, maknanya serta cara sebutannya adalah :
Alfa (bintang) , vita (kedua), gamma (kucing), delta (kemenangan), epsilon (Dewa Hermes), zeta (Dewa Zeus), eta (Hero), theta (Dewi), iota (bayang-bayang), kappa (kosong), lambda (pedang), mi (madu), ni (kuil), xi (Maharaja), omikron (bau), pi (Peter), rho (raja), sigma (bijaksana), taf (harimau), ipsilon (gurindam), fi (wanita), chi (kebahagiaan), psi (nyawa) dan omega (yang terakhir).
Pasti anda perasan, universiti di negara kita gemar menggunakan istilah-istilah huruf Yunani dalam penamaan fakulti, fasiliti atau bangunan yang ada di kampus, bersesuaian dengan penggunaannya dalam bidang sains dan matematik moden.
Hendak tak hendak selepas membaca artikel ini, saranan kami - kita juga perlulah mengambil kira asal usul sebenar istilah-istilah Yunani ini agar mana yang tidak sesuai tidaklah dipadankan dengan kegunaan masyarakat kita di Malaysia.