Mesti semua dah tak sabar nak beraya kan? Percayalah ramai antara kita dah ada baju raya dan kuih raya. Ada yang sudah membeli sejak awal tahun lagi. Semangat betul sebab tidak mahu rasa kelam-kabut nanti. Selalunya, pagi raya nanti mesti ada banyak makanan yang terhidang di atas meja termasuklah kuih raya. Ada yang menyediakan berbagai jenis kuih raya sampaikan tetamu pun rambang mata untuk makan. Ramai juga yang akan membuat rumah terbuka sebab raya kan sebulan. Jadi, sudah tentu kuih raya antara makanan yang wajib ada untuk lengkapkan hari raya anda.
BESARKAN TEKS A- A+
Kadang-kadang mesti rasa susah untuk simpan kuih raya anda kan? Kebanyakan kuih raya menjadi cepat lemau apabila tersimpan lama. Rugi dan membazir kalau tidak sempat habiskan.
Jadi, anda boleh amalkan 7 tips ini untuk elak kuih raya anda cepat menjadi lemau :
#1 Sebelum membuatnya, jemurkan tepung dan gula terlebih dahulu
Khusus untuk anda yang ingin membuat sendiri kuih raya ataupun ingin menjual, ini merupakan petua orang dahulu untuk menjadikan kuih raya anda ringan di samping dapat tahan lama. Rasa kuih tersebut pun akan lebih enak dan rangup.
#2 Jangan simpan kuih raya yang masih panas ke dalam bekas
Selepas keluarkan kuih raya anda dari oven, biarkan ia menjadi betul-betul sejuk dahulu. Jika anda terus simpan ke dalam bekas, ia akan menjadi cepat lembik. Ingat tau !
#3 Pilih bekas yang kedap udara
Terlalu sukar untuk mencari bekas yang sesuai untuk menyimpan kuih raya anda? Pilih bekas yang kedap udara atau balang yang berpenutup untuk menjadikan biskut anda kekal lama dan rangup.
#4 Keringkan bekas terlebih dahulu sebelum guna
Sebelum guna bekas atau balang tersebut, tolong keringkan terlebih dahulu ya jika anda sudah mencucinya. Ambilkan tuala yang bersih dan lap sehingga kering ataupun anda boleh juga menjemur di bawah cahaya matahari.
#5 Alas setiap lapisan dengan kertas kalis minyak
Ini disebabkan oleh ada kuih raya yang mengeluarkan minyak lebihan selepas dibakar. Untuk elakkan ia menjadi lemau dengan cepat, gunakan kertas kalis minyak untuk menyerap minyak tersebut dan pada yang sama dapat membuatkan kuih raya anda kekal rangup. Sekarang dah ada kertas minyak bersaiz bulat yang dijual untuk senangkan kita letak dalam balang kuih.
#6 Tabur sedikit gula pasir ke dalam bekas
Teragak-agak? Cara ini sangat berkesan sebenarnya kerana ia dapat elak kuih raya anda jadi lemau dan elak dari berbau.
#7 Masukkan bungkusan kecil yang berisi garam ke dalam balang
Anda boleh membungkus satu atau dua sudu teh garam dan masukkannya ke dalam balang. Garam ini bertujuan untuk kurangkan kelembapan udara di dalam balang.
Sekarang dah tahu kan cara untuk elak kuih raya anda jadi cepat lemau. Jadi, tak perlu risau lagi kalau nak buat rumah terbuka selama sebulan. Tak perlu pening nak mencari kuih raya baru. Selamat mencuba!