Istiadat perkahwinan penuh gilang-gemilang Putera Diraja Pahang, YAM Tengku Arif Bendara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Yang Mulia Tengku Natasha Puteri binti Tengku Adnan, akan memeriahkan suasana di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang. Dirancang berlangsung selama tiga hari bermula 24 kemudian 25 dan 27 Oktober 2024, acara bersejarah ini pasti mencuri tumpuan ramai, apatah lagi bila melibatkan dua figura terkenal.

Selepas istiadat perkahwinan diraja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan FD Idzham FD Iskandar pada Ogos lalu, kini giliran Tengku Muhammad pula menyempurnakan majlis perkahwinannya yang dinanti-nantikan. Suasana istana bakal dipenuhi dengan adat dan tradisi diraja, lantas membangkitkan aura kemegahan serta kegembiraan di kalangan kerabat dan tetamu yang hadir.

Sebagai pembuka tirai, Al Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dengan penuh hormat telah bercemar duli berangkat ke Majlis Adat Midodareni, juga dikenali sebagai Majlis Suai Kenal, yang berlangsung di Taman Duta, Kuala Lumpur pada Ahad, 6 Oktober lalu.

Acara ini dimeriahkan dengan penuh adat resam, di mana Majlis Siraman menjadi salah satu elemen utama yang dijalankan pada hari yang sama. Selain itu, majlis ini semakin lengkap dengan penganjuran Majlis Khatam Al-Quran bagi Tengku Natasya Puteri, yang menandakan permulaan penuh berkat bagi peristiwa bersejarah ini.

Majlis istiadat itu turut diserikan dengan keberangkatan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah; Tengku Panglima Perang; Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah; Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah; Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Ilyana.

Majlis akad nikah pasangan diraja dijadualkan berlangsung pada malam Khamis, pukul 8 malam. Selepas itu, Istiadat Berinai akan mengambil tempat pada 25 Oktober, diikuti dengan acara gemilang, Istiadat Persandingan Diraja yang akan diadakan pada Ahad malam di Istana Abdulaziz. Pasangan pengantin ini bakal dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Datuk Seri Utama Dr Tengku Adnan Tengku Mansor.

Istiadat Perkahwinan Diraja akan diteruskan dengan susunan Adat Istiadat Pahang yang merangkumi Istiadat Santap Nasi Adap-Adapan, Istiadat Bersiram dan Istiadat Menutup Kerja yang akan dilangsungkan pada 28 Oktober. Istiadat Santap Nasi Adap-Adapan, yang dijadualkan bermula jam 4 petang, menyaksikan Tunku Azizah Aminah Maimunah akan memulakan acara dengan menzahirkan Istiadat Menyuap Nasi Semangat kepada pasangan pengantin. Upacara ini kemudiannya disambung dengan Istiadat Merenjis dan Bersiram.

Sebelum Istiadat Bersiram dilaksanakan, ia bakal didahulukan dengan bacaan doa oleh Mufti Pahang, Prof. Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim bagi memohon rahmat dan keberkatan. Sejurus selepas selesai dengan acara Bersiram, Pasangan Pengantin Diraja akan diraikan dalam Majlis Jamuan Teh.

Sebagai tanda penutup segala istiadat yang berlangsung, pengantin lelaki akan melakukan upacara simbolik dengan menurunkan Bendera Istiadat Menutup Kerja. Tradisi ini akan disertai dengan 16 das tembakan meriam oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), diiringi lagi dengan bacaan doa oleh mufti sebagai penutup majlis.

Bagi memastikan semua lapisan rakyat dapat menyaksikan acara itu, Istiadat Akad Nikah, Berinai dan Persandingan akan disiarkan 'live' (siaran langsung) melalui dua layar besar yang dipasang di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), serta satu lagi layar di Dataran Pekan. Sepanjang perkahwinan berlangsung, kedua-dua lokasi akan dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik bagi mencipta suasana kegembiraan di kalangan rakyat yang turut serta dalam kemeriahan majlis bersejarah itu.

Sekilas mengenai Tengku Natasha Puteri, pengantin diraja yang menjadi tumpuan seluruh negara dalam istiadat yang penuh tradisi dan adat mulia ini menerusi artikel berikut:-

      

Biodata

Nama penuh: Tengku Natasha Puteri binti Tengku Adnan

Nama komersial: Tengku Natasha Puteri, Tengku Natasha Adnan, Natasha Adnan, Natasya Adnan

Umur: 29 tahun (2024)

Tarikh lahir: 1995

Keluarga: Enam orang adik beradik

Instagram (IG): @tasyaadn

       

Latar Belakang

1. Memiliki susuk tubuh dengan aset ketinggian dan berdarah kacukan Melayu serta Indonesia, Tengku Natasha dilahirkan dalam keluarga yang berpengaruh, anak kepada seorang tokoh negara iaitu bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Utama Dr Tengku Adnan bin Tengku Mansor – atau lebih dikenali dengan nama mesranya, Ku Nan.

2. Melihat kepada salasilah keluarganya, Tengku Adnan berasal daripada keturunan pendakwah Islam dari Acheh, Indonesia, manakala ibunya pula merupakan warganegara dari Purwakarta, Jawa Barat.

3. Tengku Adnan, ayah kepada Tengku Natasha ini adalah seorang tokoh politik berpengaruh yang namanya sering menjadi sebutan dalam arena politik Malaysia. Kehebatan beliau bukan hanya terletak pada pengalaman luasnya, malah juga kebijaksanaannya dalam memberi nasihat kepada pelbagai pihak berkaitan isu-isu penting negara.

Sebagai seorang anggota Dewan Rakyat Putrajaya sejak tahun 2004, beliau memainkan peranan penting dalam pentadbiran negara. Jawatan seperti Menteri Pelancongan Malaysia dari tahun 2006 hingga 2008 dan Menteri Wilayah Persekutuan Malaysia dari 2013 hingga kejatuhan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2018, adalah antara pencapaian cemerlang beliau.

Selain itu, Tengku Adnan juga bekas Setiausaha Agung dan Bendahari Agung BN. Kini, beliau memegang jawatan sebagai Bendahari Agung UMNO.

Tengku Adnan bukan hanya hebat dalam dunia politik, malah juga terkenal dengan kemahirannya dalam bidang perdagangan, yakni bakat yang diwarisi daripada keturunan Aceh. Pada tahun 1992, beliau pernah diangkat sebagai antara tokoh terkaya di Malaysia.

Selain itu, beliau pernah memegang jawatan dalam sektor korporat, termasuk sebagai Pengarah dan Pengerusi Far East Asset (FEA) serta Pengerusi UNZA Holdings Bhd, yang memperkukuhkan lagi reputasinya sebagai seorang ahli perniagaan yang berkaliber.

4. Ibu Tengku Natasha, Datin Seri Utama Enny Beatrice Ferlat Kusumo Anggraini binti Sentiyaki, atau lebih mesra dikenali sebagai Enny Beatrice, dilahirkan pada 23 Mei 1966. Nama beliau cukup gemilang sebagai pelakon dalam industri perfileman Indonesia pada era 1980-an, yang mana beliau bergelar bintang besar di layar perak. Kecantikan dan bakat lakonannya menjadikan Enny ikon penting di tanah kelahirannya.

Kini, selepas meninggalkan dunia hiburan, Enny Beatrice beralih kepada peranan yang lebih mulia, berkhidmat sebagai Pengerusi Badan Amal Ibu Putrajaya, Malaysia. Dedikasi beliau terhadap kebajikan menunjukkan sisi lain dari seorang wanita yang dahulunya menghiasi skrin dengan penuh glamor.

Pertemuan dengan Tengku Adnan Tengku Mansor pada tahun 1988 menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya. Pada ketika itu, Tengku Adnan menyumbangkan dana bagi salah sebuah filem lakonan Enny lantas hubungan mereka semakin erat. Setahun kemudian, pada 13 Jun 1989, mereka disatukan dalam perkahwinan di Yogyakarta, mengikut adat suku Jawa yang kaya dengan tradisi. Selepas itu, Enny membuat keputusan besar – meninggalkan dunia hiburan yang telah membesarkan namanya dan memilih untuk menetap di Malaysia bagi membina kehidupan baru di samping suami tercinta.

5. Perkahwinan antara Tengku Adnan dan Enny Beatrice dikurniakan dengan kehadiran enam orang anak, iaitu Dr Tengku Iqbal Munawwir, Tengku Natasha Puteri, Dr Tengku Muhammed Hafiz, Dr Tengku Nadira Munawarah, Tengku Najwa Munawarah dan Tengku Nabila Putri.

Namun, selain daripada keenam-enam adik-beradik hasil perkahwinan ini, Tengku Adnan turut mempunyai anak dari perkahwinan terdahulunya, iaitu Tengku Daud, Tengku Balqish, Tengku Yazir dan Tengku Nadiah.

6. Tengku Natasha juga adalah kakak kepada seorang selebriti muda yang berbakat, penyanyi Tengku Nadira Munawarah. Adik perempuannya itu pernah mencuri tumpuan ramai apabila berduet dengan Al Ghazali, anak kepada komposer terkenal, Ahmad Dhani.

Tengku Nadira dilahirkan di London, England pada 7 September 1997 dan menjalani persekolahan hingga peringkat menengah di Kuala Lumpur sebelum meneruskan impian sebagai graduan perubatan di Jakarta.

        

Baca: Biodata Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Suami Tengku Natasha (Natasya) Puteri Tengku Adnan

       

Foto

tengku natasya adnan wikipedia

tengku natasha adnan biodata

tengku natasha adnan wikipedia who is natasya adnan age kerabat mana asal pendidikan siapa ayah tarikh lahir negeri usul campuran pernikahan sebenar

tengku natasya adnan

tengku natasha adnan

tengku adnan

tengku natasya puteri tengku adnan

tengku adnan tengku mansor

tengku natasya

tengku natasha

tengku natasha puteri tengku adnan

tengku muhammad iskandar ri ayatuddin shah 66254

tengku arif bendahara 65144

tengku muhammad kahwin 55114

tengku muhammad 11155

Kredit foto: Instagram Nadira Adnan , Facebook Kesultanan Pahang , Instagram Kesultanan Pahang , Instagram @fazz700_

         

Kredit video: Tengku Muhammad Iskandar, Tengku Natasya Puteri selamat diijabkabulkan

       

Sumber:

1. Tengku Natasya pilihan hati Tengku Muhammad Iskandar

2. Istiadat perkahwinan Tengku Muhammad Iskandar, Tengku Natasha bermula esok

3. Kenali Tengku Natasya Adnan & Ahli Keluarga

4. Anak Bekas Menteri & Selebriti Indonesia, Aura Kecantikan Tengku Natasya Tawan Hati Putera Raja!

       




Hakcipta iluminasi.com (2017)