Kredit foto: Instagram.com/aarondwiaziz
Pemilik nama sebenar Dato' Aaron Mustapha bin Aziz, DIMP atau Aaron Aziz (42 tahun) dilahirkan pada 23 Februari 1976 di Tampines, Singapura dan dibesarkan di Pasir Ris, Singapura. Beliau memiliki darah kacukan Melayu-Bugis-Jawa. Beliau memulakan kerjayanya sebagai seorang aktor di Singapura menerusi watak Shahril dalam drama Cinta Bollywood (2001-2002), watak Bob dalam Jeritan Sepi (2001-2002), watak Koperal Jamal Saleh dalam Heartlanders (2002-2005), Zack Ahmad dalam sitkom Phua Chu Kang (musim 6) dan Iqmal dalam siri Cinta Q.
Pada tahun 2004, beliau berhijrah ke Malaysia bagi bergelar pelakon menerusi watak pembantu dalam drama Haryati (2004). Selain itu, antara drama lain beliau ialah Emil Emilda, Sadiq & Co, Nora Elena, Evolusi KL Drift: The Series dan Kusinero Cinta. Antara filem yang dijayakannya pula ialah Evolusi KL Drift (2008), Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam (2009), Pisau Cukur (2010), KL Gangster (2011), Ngorat (2012) dan Lari (2013). Aaron juga menjadi duta bagi produk-produk terkemuka seperti Drive M7, Maggi, dan L'oreal.
Beliau mendirikan rumahtangga dengan pasangannya, Diyana Halik pada 3 Ogos 2003 dan dikurniakan tiga cahaya mata bernama Danish Anaqi, Dwi Ariana dan Dahlia Arissa. Beliau kini adalah penduduk tetap Malaysia. Selain pelakon, beliau turut bergelar pengarah, pengacara, penyanyi dan model.
Pada April 2012, Aaron mendedahkan rasa hampanya di media kerana sebuah portal hiburan menunjukkan kad pengenalan Singapura yang dituduh kepunyaannya. Nama yang dipaparkan ialah Mat Haron Mustapha Mat Aziz Mustaphaa yang kononnya adalah nama penuh beliau. Menerusi wawancara bersama Kosmo!, beliau memberitahu dimaklumkan tentang perkara itu melalui isterinya. Mengakui foto yang dipakai adalah wajahnya, tetapi beliau menafikan itu merupakan namanya.
Pada tahun 2013, Aaron mengalami sakit sendi tengkuk setelah terlibat dalam sebuah kemalangan sewaktu menjalani penggambaran Fear Factor Malaysia. Malah, beliau turut pernah beberapa kali dikejarkan ke hospital disebabkan cedera di lokasi. Pada Februari 2017, beliau mengalami sakit sendi tengkuk hingga terpaksa memakai penyokong leher.
Pada 16 Disember 2017, beliau berserta Farid Kamil dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang yang membawa gelaran Dato' sempena memuliakan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang.
Sumber berita: Wikipedia Aaron Aziz
Sumber foto dengan keizinan: myartis.com