Bagi peminat muzik grunge atau alternative, kumpulan Nirvana dianggap sebagai kugiran terbaik genre itu. Malah, penyanyi dan pengasas Nirvana itu iaitu mendiang Kurt Cobain diberi julukan sebagai "Godfather of Grunge".

Album "Nevermind" yang diterbitkan pada 1991 dianggap sebagai album terbaik Nirvana dan menjadi fenomena besar dalam dunia muzik. Kulit album "Nevermind" merupakan salah satu kulit album yang paling dikenali sepanjang zaman.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kulit album Nevermind

Namun, timbul isu panas selepas 30 tahun album itu diterbitkan. Spencer Elden, lelaki yang gambarnya digunakan sebagai kulit album "Nevermind" telah memfailkan saman terhadap kumpulan Nirvana atas dakwaan pornografi kanak-kanak.

Kulit album itu menunjukkan Elden sedang menyelam di sebuah kolam renang sewaktu bayi dengan alat kelaminnya terdedah. Secara umumnya, gambaran itu difahami sebagai pernyataan mengenai kapitalisme di mana seorang bayi yang baru lahir mengejar wang yang dipasang pada mata kail.

Gambar bayi berbogel yang tidak diseksualkan biasanya tidak dianggap sebagai pornografi kanak-kanak di bawah undang-undang di Amerika. Namun, peguam Elden iaitu Robert Y. Lewis mempunyai tafsiran berbeza dan berpendapat gambar itu melampaui batas.

elden nevermind

Spencer Elden

Lewis mendakwa gambar bayi berbogel yang sedang mengejar wang itu membuatkan bayi itu kelihatan seperti "seorang pekerja seks".

Tuntutan saman yang difailkan di Mahkamah Daerah California itu juga menyebut, "Defendan dengan sengaja memasarkan pornografi kanak-kanak Elden untuk mempromosikan diri serta muzik mereka, melonjakkan jualan album dan mendapatkan perhatian media."

Saman semua yang terlibat

Spencer Elden yang kini seusia dengan kulit album "Nevermind" itu meminta ganti rugi sekurang-kurangnya USD 150,000 (RM 629,000) kepada setiap tertuduh termasuklah anggota kumpulan yang masih hidup iaitu Dave Grohl dan Krist Novoselic.

Saman juga turut difailkan terhadap Courtney Love yang mewarisi harta Kurt Cobain, Guy Oseary dan Heather Parry selaku pengurus harta Cobain, jurugambar Kirk Weddle, pengarah seni Robert Fisher dan beberapa syarikat rakaman yang pernah mengeluarkan dan mengedarkan album itu dalam tempoh tiga dekad terakhir.

Malah, pemain drum asal Nirvana iaitu Chad Channing juga dimanakan sebagai defendan walaupun dia telah digantikan oleh Dave Ghrol pada tahun 1990 sebelum album itu direkodkan dan gambar Elden diambil.

when being on the cover of nirvanas album traumatized you so much as a child that you recreated the scene multiple times before deciding to finally sue the band

elden ulang tahun 25 nevermind

Gambar Elden sempena ulang tahun Nevermind ke-25

Apa yang peliknya, Elden sebenarnya berulang kali pernah membuat penggambaran semula (kali ini menutup kemaluan) sempena ulang tahun album "Nevermind" yang ke-10, ke-17, ke-20 dan ke-25.

Namun, Elden meluahkan perasaan bercampur baur kerana terkenal dengan kulit album itu atau adakah dia sebenarnya dieksploitasi. Walaupun memfailkan saman tetapi sehingga kini Elden tidak pernah menggambarkan kulit album itu sebagai pornografi.

Ingin pampasan setimpal

Bagi Elden, apa yang berlaku sudah tidak boleh diubah. Namun, dia memfailkan saman kerana tidak pernah mendapat pampasan sewajarnya daripada fotonya yang digunakan sebagai kulit album itu.

Pada tahun 1991, jurugambar Kirk Weddle meminta kebenaran ibu bapa Elden untuk menangkap gambar bayi mereka dengan bayaran sebanyak USD 200 bagi dijadikan kulit album "kumpulan yang tidak begitu dikenali".

kurt cobain 142

Apabila populariti Nirvana melonjak naik dan album "Nevermind" terjual melebihi 30 juta unit, dia dan keluarganya tidak mendapat sebarang pampasan. Elden juga mengatakan bahawa dia pernah cuba menghubungi Ghrol dan Novoselic tetapi tidak dilayan.

Dalam saman ini, peguam turut mendakwa bahawa ibu bapa Elden tidak pernah menandatangani apa-apa kebenaran untuk gambar anak mereka digunakan bagi kulit album Nirvana.

Sesi penggambaran Nevermind

Pada 2008, bapa kepada Elden iaitu Rick menceritakan semula sesi penggambaran yang berlaku pada tahun 1991. Dia mendakwa rakannya Kirk Weddle yang merupakan jurugambar kulit album itu telah menawarkan USD 200 untuk menangkap gambar anaknya.

Rick mendakwa bukan sahaja Elden malah ramai lagi yang menjadi model untuk sesi penggambaran Weddle. Keadaan di kolam renang itu seperti pesta dan tiada siapa pasti apakah yang sedang berlaku sebenarnya.

Rick hampir melupakan sesi penggambaran itu sehinggalah gambar anaknya, Elden, muncul di papan iklan Tower Records tiga bulan kemudian. Kurt Cobain telah memilih gambar Elden yang diedit dengan wang dicucuk pada mata kail sebagai kulit album "Nevermind".

album platinum nevermind

Dua bulan selepas itu, Geffen Records menghadiahkan sebuah album platinum dan patung teddy bear kepada Elden yang berusia setahun. Tuntuan saman itu juga memetik kata-kata penulis Michael Azerrad yang menulis biografi "Come as You Are: The Story of Nirvana".

Menurut biografi itu, Geffen Records memilih gambar lain tetapi Cobain berkeras mahukan gambar Elden. Cobain hanya bersetuju untuk menutup kemaluan bayi itu jika menggunakan stiker yang bertulis "Jika anda tersinggung, anda pasti seorang pedofil". 

Sudah tentu Geffen Records tidak mahu menambahkan lagi kontroversi pada kulit album itu dan terpaksa bersetuju dengan pilihan Kurt Cobain. Sama ada saman Elden berjaya atau tidak, segala-galanya bergantung kepada keputusan mahkamah.




Hakcipta iluminasi.com (2017)