Kita sudah biasa mendengar istilah 'crowdfunding' atau pembiayaan beramai-ramai, yang kerap kali dilakukan apabila sesuatu individu, badan atau organisasi memerlukan bantuan atau dana segera.

Kewujudan laman-laman seperti Kickstarter atau Indiegogo mempopularkan sistem 'crowdfunding' kerana model tersebut mampu menyediakan dana dalam masa yang cepat untuk disalurkan, tanpa perlu melalui sistem birokrasi yang berjela-jela.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Adakah anda peminat sistem crowdfunding? Tahukah anda berkenaan kisah seorang remaja bernama Mike Hayes yang menggunakan sistem serupa bagi mendapatkan dana bagi beliau mampu menyambung pengajian beliau...pada tahun 1987?

Membiayai sendiri yuran kolejnya

bagaimana crowdfunding dilakukan pada tahun 1987

Mike Hayes hanyalah orang kebanyakan yang dapat kita jumpa setiap hari. Dia datang dari keluarga kelas pertengahan, ayahnya seorang ahli farmasi sementara ibunya pula guru sekolah di Illionis, Amerika Syarikat.

Sebagai anak bongsu dalam keluarga, empat orang abang dan kakaknya sudah meneruskan pengajian mereka di peringkat tertiari, menyebabkan beban kewangan yang besar perlu ditanggung ibu bapanya. Walaupun begitu, ibu bapa Mike tetap mahu melakukan pinjaman bagi menampung perbelanjaan pengajian Mike.

Menyedari tanggungjawab berat ibu bapanya, Mike tahu dia perlu membantu namun wang tersimpan sebanyak $2500 hasil dia bekerja sebagai pembantu kedai runcit nyatalah tidak mencukupi, bagi menampung yuran sebanyak $28,000 untuk pengajian selama empat tahun.

Memohon sumbangan orang ramai

bob greene penulis akhbar

Mike mendapat satu idea yang bunyinya kelihatan sangat mudah. Dia menghubungi seorang kolumnis terkenal akhbar Chicago Tribune, bernama Bob Greene (gambar di atas) dan memohon bantuan Bob menjayakan rancangannya. Bob ketika itu adalah seorang penulis terkenal yang kolumnya disiarkan lebih 200 surat khabar di seluruh Amerika Syarikat.

Membaca surat Mike, Bob teruja.

Mike merayu kepada Bob untuk meminta pembaca-pembacanya yang Mike anggarkan jutaan orang, agar setiap orang daripada mereka mendermakan 1 sen melalui surat yang dialamatkan terus kepada Mike.

Dalam artikel yang disiarkan pada 6 September 1987, Bob meminta pembacanya mengorbankan sedikit wang, lebih kurang 23 sen. 1 sen untuk Mike dan 22 sen lagi untuk membeli setem serta sampul yang diperlukan.

Tidak sampai sebulan artikel itu ditulis, peti surat Mike penuh dengan 70,000 ribu pucuk surat dengan derma sebanyak $23,000 dalam bentuk 1 sen, 5 sen, 10 sen dan 25 sen dihantar. Tiga penderma mendermakan cek bernilai $100.

Susulan kisah crowdfunding yang berjaya

gambar duit satu sen

Akhirnya setelah keadaan reda, Mike dan keluarganya mempunyai lebih $29,000 untuk mereka gunakan dalam menampung yuran dan perbelanjaan pendidikan Mike di universiti. Amaun ini melebihi $1000 sasaran awal mereka yang hanya berhasrat mendapatkan $28,000 sahaja. Semua 90,000 keping surat yang diterima disimpan keluarga Mike.

Mike memulakan pengajiannya dalam bidang sains makanan dan berjaya menamatkan pengajian pada tahun 1991 tanpa mempunyai hutang pinjaman pendidikan. Orang ramai mula bertanya dengan Bob, apa berlaku dengan Mike selepas beberapa tahun berlalu. Bob menghubungi Mike semula untuk mendapatkan status terbaru beliau.

Mike menceritakan tentang pengalaman menjadi selebriti kecil pada mulanya, setelah namanya dikenali kerana tindakan luar biasanya. Dia ditemuramah oleh televisyen, ramai gadis menghantar gambar kepadanya dan apabila di luar, Mike kerap ditegur mereka yang mengenali beliau. Lama-kelamaan Mike meneruskan kembali kehidupan seperti biasa dan selamat menamatkan pengajiannya.

Namun dia tidak dapat mengelak daripada menyedari wujud individu-individu yang mempersoalkan kaedah yang dilakukannya. Mike mengakui ada pihak menganggap dia tidak layak mendapat bantuan itu, sehingga tidak perlu bersusah payah seperti orang lain yang berhutang selepas tamat belajar. Dia juga, bagi mereka yang menyangkalnya - bukannya datang dari keluarga susah dan memerlukan.

Walaupun demikian, Mike menganggapnya sebagai satu perkara biasa dan menganggap apa yang berlaku, baik atau buruk merupakan satu pengalaman berharga bagi dirinya. Nasibnya baik orang ramai mahu menghulurkan sumbangan.

Penamat gembira untuk semua

balang duit satu sen

$1000 lebihan derma yang diterima didermakan kembali kepada mana-mana penderma yang memerlukan wang tersebut. Mike memilih secara rawak mana-mana surat yang dia terima dan cuba menghubungi individu tersebut, bertanya sama ada mereka memerlukan atau tidak wang tersebut untuk kegunaan pendidikan mana-mana individu dalam keluarga mereka.

Begitulah bagaimana kisah crowdfunding berjaya dilakukan pada tahun 1987, hanya dengan menggunakan kolum dalam akhbar dan permintaan 1 sen daripada mereka yang sudi menghulurkan bantuan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)