Perasan tak selalunya apabila model terbaru sesebuah jenama telefon pintar itu dikeluarkan, sudah terdapat banyak casing telefon pintar tersebut yang dijual di pasaran?

Ini bermakna syarikat pengeluar seakan-akan sudah tahu rekabentuk fizikal sesuatu model telefon pintar terbaru beberapa minggu sebelum ianya dilancarkan secara rasmi di pasaran. Soalannya, bagaimanakah perkara ini boleh terjadi?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kita secara umumnya tahu syarikat besar seperti Apple amat menjaga kerahsiaan rekabentuk dan spesifikasi sebenar telefon pintar terbaru keluaran mereka untuk memberikan kejutan kepada pengguna mereka.

Namun, bagaimanakah syarikat pengeluar casing boleh menghasilkan casing telefon terlebih dahulu sebelum telefon tersebut dilancarkan?

1. Sumber dalaman

foxconn

Apple menjual jutaan unit iPhone dan bagi menampung permintaan yang tinggi, mereka menghasilkannya daripada beberapa buah kilang seluruh dunia terutamanya di China.

Dalam keadaan begitu, amatlah sukar untuk menutup mulut pekerja di kilang tersebut daripada menyebarkan mana-mana spesifikasi iPhone kepada orang luar. Malah, perkara ini pernah didedahkan sendiri oleh beberapa individu yang bekerja dengan syarikat pengeluar casing telefon pintar bagaimana mereka mendapat informasi dari sumber dalaman.

Bagi pengeluar casing pula, mereka biasanya akan mendapatkan informasi daripada beberapa sumber dalaman yang dipercayai. Mengeluarkan casing dalam kuantiti yang banyak untuk model telefon pintar terbaru sebelum ianya dikeluarkan secara rasmi merupakan sebuah risiko yang besar.

Tempat pertama untuk bermula ialah Shenzhen, bandar di selatan China di seberang Hong Kong. Ia adalah salah satu pusat pengeluaran telefon mudah alih untuk banyak syarikat, bukan hanya iPhone. Di sana, kira-kira 3,000 kilang menghasilkan telefon, tiruan telefon dan aksesori.

Malah, syarikat pengeluar casing ada kalanya tidak boleh benar-benar membezakan antara prototaip iPhone yang dicuri atau iPhone palsu yang seakan-akan original. Bob O'Donnell, Presiden TECHnalysis berada di Shenzhen beberapa tahun yang lalu sejurus sebelum pengumuman iPhone 6 dan ditunjukkan oleh penjual peranti baru yang belum pernah dilihatnya sebelum itu.

Tiga minggu kemudian, apabila iPhone 6 diperkenalkan di California, O'Donnell terkejut kerana ia benar-benar sama dengan telefon yang dilihatnya di Shenzen sebelum itu. Mengimbas kembali telefon di Shenzhen, O'Donnell berkata, "sama ada ia adalah iPhone yang diseludup keluar atau hanya iPhone palsu yang bagus, saya tidak tahu pada masa itu".

2. Kerjasama dengan Apple

casing iphone original

Ada syarikat yang melakukan kerjasama secara rasmi dengan Apple untuk mengeluarkan casing bagi telefon pintar terbaru keluaran mereka. Kebiasaannya nama-nama besar seperti Belkin, OtterBox dan T21 antara syarikat yang menggunakan pendekatan ini.

Namun, tidak semua syarikat berpeluang untuk mendapatkan kerjasama seperti ini. Ada beberapa pihak mendedahkan Apple amat teliti untuk membuat kerjasama sebegini dan hanya memilih syarikat yang menjual casing pada harga premium dan mempunyai jenama dipercayai.

Kerana kerjasama rasmi ini juga, tidak hairanlah harganya juga agak premium. Selain itu, rekabentuk yang dikeluarkan oleh jenama-jenama ini selalunya terlalu kebiasaan, tidak cukup menarik di mata kebanyakan pembeli.

Maka, tidak hairanlah banyak syarikat lain mengambil peluang ini untuk menghasilkan casing mereka pada harga lebih murah dan sudah tentulah rekabentuk yang lebih pelbagai.

RIsiko besar dan faktor nasib baik

casing iphone salah

Bagi syarikat yang menggunakan sumber dalaman yang dibocorkan, mereka tetap perlu bergantung kepada faktor nasib kerena tidak semua maklumat yang diberikan bensar. Sekiranya rekabentuk sesuatu iPhone baru itu tidak tepat misalnya, mereka akan mengalami kerugian yang besar.

Mark Gurman, editor kanan 9to5Mac.com, mengimbas kembali iPhone 4S berbentuk titisan air mata yang terkenal yang tidak pernah wujud. Ramai orang menjangkakan butang "Home" iPhone akan berubah namun sebenarnya tidak. Pada musim luruh 2011, banyak pengeluar casing sedang membina reka bentuk iPhone 5 'titisan air mata' apabila Apple hanya merancang iPhone 4S berdasarkan reka bentuk model dari tahun sebelumnya.

Khabar angin itu yang dilaporkan secara meluas dalam talian, menyebabkan Hard Candy, syarikat pembuat casing menghasilkan 50,000 casing yang sama sekali tidak sesuai untuk rekaan iPhone terbaru. Menurut laman AppleInsider, perjudian ini nampaknya turut perlu mengambil kira faktor nasib baik.

Hard Candy sebelum itu telah menggunakan pendekatan sama untuk membuat pengeluaran berdasarkan skema lukisan iPod touch yang bocor dan mengalahkan pembuat casing lain untuk dipasarkan. Pada 2011, Bloomberg meramalkan bahawa pendapatan syarikat Hard Candy akan melepasi $50 juta menjelang 2013.

Beberapa tahun selepas ia menghasilkan 50,000 kes iPhone 4S yang tidak berguna, Hard Candy akhirnya terpaksa gulung tikar kerana mengalami kerugian yang sangat besar.

Permintaan tinggi, untung besar

aksesori telefon pintar

Mengeluarkan casing model iPhone terbaru sebelum ianya dilancarkan secara rasmi sememangnya satu perjudian yang sangat besar. Jika rekabentuknya tidak sama, maka syarikat pengeluar akan kerugian besar dan tidak mustahil akan gulung tikar seperti syarikat Hard Candy.

Namun, banyak syarikat yang sanggup mengambil risiko besar ini kerana permintaan yang sangat tinggi dan keuntungan yang bakal mereka perolehi. Pasaran untuk aksesori telefon semakin berkembang: Selepas keluaran iPhone 6, jualan aksesori melonjak sebanyak 43%, yang lebih besar daripada lonjakan 17% dalam jualan selepas keluaran iPhone 5.

Syarikat pengeluar akan memperoleh jualan yang luar biasa sekiranya casing mereka sudah tersedia untuk dijual dalam beberapa minggu terawal selepas model telefon pintar baru itu dilancarkan.

Mengikut statistik, rakyat Amerika membelanjakan $1.9 bilion untuk 64 juta kes iPhone pada 2015 sahaja dan margin keuntungan adalah tinggi untuk casing plastik ringkas. Maka tidak hairanlah banyak syarikat berlumba-lumba menghasilkan casing telefon model baru walaupun sedar akan risiko bear dihadapi mereka sekiranya rekabentuk yang dihasilkan sama sekali berlainan daripada maklumat ura-ura yang mereka perolehi.

Kredit;




Hakcipta iluminasi.com (2017)