Dengan peredaran zaman dan kecanggihan teknologi, nampaknya masyarakat semakin berat tulang. Walaupun huruf dan papan kekunci hanya berada di hujung jari, namun kita gemar menggunakan singkatan dan akronim.

Jika pada zaman mIRC dan messenger sekitar hujung 90-an hingga awal milenium dulu, para pengguna sistem sembang itu sering bertanyakan "a/s/l?" yang merupakan singkatan bagi umur/jantina/lokasi kepada sesiapa yang baru dikenali dan ingin chat bersama. Apabila mereka perlu meninggalkan chatroom pula, mereka akan menulis singkatan seperti "gtg", "brb" ataupun "ttyl".

BESARKAN TEKS     A-  A+

mirc

Makin lama, makin banyak perkataan yang disingkatkan dan terma yang digunakan pula semakin panjang dan meluas kegunaannya. Sebagai contoh, orang zaman kini gemar menggunakan singkatan OMG (Oh, my God!), YOLO (you only live once), OOTD (outfit of the day), TMI (too much information) dan IDC (I don't care).

yolo

Jika anda fikir singkatan-singkatan ini merupakan suatu fenomena zaman moden, sebenarnya anda salah. "Kemalasan" ini telahpun bermula sejak ratusan tahun lamanya.

Perkataan "OK", misalnya, merupakan singkatan yang paling banyak digunakan di seluruh dunia. Sama ada anda mempunyai bahasa pertuturan Inggeris atau tidak, semua orang tahu dan faham maksud OK. Tapi sejak bilakah singkatan ini mula digunakan dan apakah sebenarnya makna di sebalik perkataan itu?

sejarah perkataan ok

Sejarah singkatan OK

Pada tahun awal 1800, masyarakat memang sering menggunakan ejaan alternatif sebagai salah satu bahan gelak ketawa. Sebagai contoh, mereka mengeja "No go" sebagai k.g, "all right" sebagai o.w dan "with one of our first citizens" sebagai WOOOFC. Walau bagaimanapun, jenaka-jenaka yang agak hambar ini tidak berkekalan atau berpanjangan. Singkatan-singkatan itu kebiasaannya mudah dilupakan. Sehinggalah kemunculan perkataan OK pada 23 March 1839 pada halaman kedua akhbar Boston Morning Post.

Editor akhbar itu pada mulanya memasukkan ayat “o.k. – all correct -" dalam salah satu perenggan artikel dengan niat untuk membuat lawak sahaja. Namun, lawak OK ini diingati semua orang kerana ia bersangkut-paut dengan salah seorang calon pilihanraya presiden Amerika ketika itu. 

Calon bernama Martin van Buren yang berasal dari Kinderhook, New York itu mempunyai nama julukan "Old Kinderhook." Lantaran itu, penyokong tegar beliau telah menubuhkan satu kelab yang dinamakan O.K. Club.

martin van buren a k a ok

Selain itu, timbul juga satu gosip di mana masyarakat mengatakan calon presiden itu tidak tahu mengeja dengan betul kerana semua dokumen yang disahkan hanya ditulis OK. Mereka menyangka van Buren menulis OK yang bermakna 'all correct' walhal beliau hanya menulis parap nama julukannya.

Kedua-dua kegunaan OK bagi 'all correct' dan 'Old Kinderhood' itu sering menjadi bualan masyarakat walaupun makna asalnya tidak diketahui umum.

Daripada buah mulut sehingga ke telegraf

Apabila Samuel Morse mencipta mesin telegraf sekitar tahun yang sama, perkataan OK ini juga sering digunakan sebagai jawapan ringkas untuk menyatakan 'all correct' bagi sebarang mesej yang diterima. Ini disebabkan penghantaran sepotong ayat dengan bilangan karakter yang panjang akan memakan masa untuk dihantar dan dikenakan kos yang tinggi.

simbol tangan menandakan ok

Sejak itu, penggunaan OK digunakan sebagai bahasa biasa bagi semua operator telegraf di seluruh Amerika dan seterusnya merebak ke seluruh dunia.

Walau bagaimanapun, makna OK pada hari ini bukan hanya untuk memberi tanda mengiakan, bahkan ia digunakan untuk meluahkan rasa keghairahan yang acuh tak acuh dan kadangkala bertujuan menyindir. Perkataan OK telah dijadikan satu perkataan yang paling serba boleh dan fleksibel di seluruh dunia.

Contoh kegunaan OK pada hari ini

#1 Untuk menggambarkan keterujaan : "OK! Jom jalan-jalan!"

#2 Untuk menggambar keberkecualian : "Okey la makanan di restoran ni. Tak la teruk sangat."

#3 Digunakan apabila mulut berat untuk berkata-kata : "Ok.... saya sedar kesilapan saya."

#4 Untuk memberikan persetujuan : "Ha, baju ni ok sangat!"

#5 Digunakan dalam situasi mengalah walaupun hati berasa enggan : "Ok, fine. Kau menang." 

kalau nak tanya pun kita selalu tanya kau ok ke tak

Walaupun kita banyak menggunakan perkataan OK ini, namun ia tidak dianggap satu perkataan yang boleh digunapakai untuk kegunaan formal seperti dalam teks ucapan atau laporan bertulis. Jadi, kalau anda sedang buat kertas kerja pejabat ataupun FYP, janganlah tulis OK pula di situ ya!

Update 21 march 2018 : perubahan pada tajuk kepada asal usul, maksud, dan makna sebenar perkataan "ok".

Sumber rujukan:

1. Etymology Online

2. BBC

3. Oxford Dictionaries

4. Duke University




Hakcipta iluminasi.com (2017)