Kami pernah kongsikan kepada anda berkenaan asal-usul nama hari dalam Bahasa Inggeris yang kita gunakan setiap hari.
Pasti ramai yang tertanya-tanya, apa pula asal-usul nama-nama bulan yang ada dan digunapakai setiap hari oleh kita. Menerusi artikel ini, kami cuba menjelaskan kepada anda dari mana datangnya nama-nama bulan yang kita jadikan sebagai satu de facto standard kepada rujukan tarikh kita.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Asal-usul nama Januari
Nama bulan 'Januari' datang daripada nama Tuhan orang Rom iaitu Janus, penjaga kepada permulaan dan pengakhiran yang mereka percaya turut sama mengawasi urusan keluar masuk orang Rom melalui pintu dan pagar. Janus adalah Tuhan orang Rom yang berkepala dua, dengan satu senantiasa memandang ke depan mewakili masa hadapan dan satu memandang ke belakang, mengingati masa lalu. Nama lama bagi bulan Januari adalah 'Ianuarius' atau 'bulan kepada Janus.'
2. Asal-usul perkataan Februari
Nama bulan Februari pula berpunca daripada nama Tuhan orang Rom bernama Februus, yang mengawal kematian dan juga kesucian jiwa. Orang Rom meraikan Februus dengan menyambut upacara yang dinamakan Februalia di mana orang Rom akan menyediakan makanan serta korban bagi menyembah Februus. Mereka percaya sekiranya Februus gembira dengan hadiah mereka, Februus akan membersihkan jiwa dan badan mereka daripada kesalahan yang telah dilakukan.
3. Asal-usul istilah Mac
Mac diambil daripada nama planet 'Mars' yang dinamakan sempena Tuhan peperangan orang Rom, iaitu Mars. Sebelum dinamakan sebagai 'March', nama lama bagi bulan Mac adalah Martius yang menandakan bermulanya musim perang bagi orang Rom.
Sebelum ditukar, Mac adalah bulan pertama dalam kalendar orang Rom dan tradisi ini terus dipegang oleh beberapa masyarakat dunia sehingga kini, yang merayakan tahun baru mereka pada bulan Mac seperti Tahun Baru orang Bali yang digelarkan Nyepi atau festival Nowruz yang disambut masyarakat Iran.
4. Asal-usul sebutan April
Asal-usul nama bulan April berbeza dengan beberapa pendapat wujud menyatakan sejarahnya. Dinamakan sebagai Aprilis pada awalnya yang membawa maksud 'permulaan pembukaan', bulan Aprilis menandakan tibanya musim bunga di mana pokok dan bunga mula mengeluarkan bunga-bunganya.
Selain itu, April juga dikatakan berasal daripada perkataan Aphrilis, yang berpunca daripada Tuhan orang Greek Aphrodite yang dikaitkan dengan kecantikan dan keindahan di bumi.
5. Asal-usul istilah Mei
Bulan Mei dinamakan sempena Maia, Tuhan orang Greek yang dipercayai ibu kepada Hermes, salah seorang tuhan orang Greek paling terkenal. Maia adalah Tuhan orang Rom yang dipercayai menjaga kesuburan masyarakat mereka. Masyarakat Rom percaya Maia berkait dengan Bona Dea, Tuhan mereka yang turut sama mempunyai sifat-sifat milik Maia. Festival untuk meraikan Bona Dea turut sama dilangsungkan oleh mereka setiap tahun pada bulan Mei.
6. Asal-usul perkataan Jun
Nama Jun datang daripada Dewi orang Rom Juno, isteri kepada Jupiter serta Tuhan yang mengawal perkahwinan dan kelahiran. Walaupun begitu, beberapa pendapat berbeza turut sama disebutkan.
Nama tersebut turut sama dikatakan datang daripada Lucius Junius Brutus, salah seorang pewaris kepada kerajaan Rom yang menamakan bulan tersebut sebagai satu penghormatan kepada keluarganya iaitu keluarga Junia, yang mempunyai pengaruh besar pada sejarah Rom lama.
7. Asal-usul nama Julai
Julai adalah nama bulan yang datang daripada tokoh yang wujud dalam sejarah iaitu Julius Caesar, pemerintah Rom terkenal yang bertanggungjawab meluaskan empayar Rom, mengubah struktur pentadbiran masyarakat Rom ketika itu menjadi pemerintahan diktator serta yang lebih penting, memperkenalkan kepada kita kalendar Julian. Kalendar Julian adalah kalendar pertama yang membawa kiraan 365 hari dalam setahun serta kiraan tahun lompat.
Asalnya nama Julai adalah Quintilis, bulan di mana Julius dilahirkan yang membawa makna 'kelima.' Ekoran kedudukannya dalam masyarakat ketika itu, Quintilis ditukar kepada Julius oleh senat Rom sempena memperingati jasa beliau membangunkan Rom.
8. Sejarah perkataan Ogos
Ogos dinamakan sedemikian sempena mengingati Augustus Caesar, pemerintah pertama Empayar Rom pewaris kepada Julius Caesar mengikut permintaan Julius sendiri yang menamakan Augustus sebagai waris takthta beliau.
Pada mulanya, bulan ini dinamakan Sextilis berikutan kedudukannya sebagai bulan ke enam dalam 10 bulan kalendar Rom, sebelum bulan Januari dan Februari ditambah pada tahun 700BC menjadikannya 12 bulan keseluruhan.
Nama 'August' mula digunakan pada tahun 8BC sempena mengingati jasa Augustus diletakkan dalam bulan ke 8 menyebabkan berlakunya perubahan kepada nama-nama bulan berikutnya.
9. Sejarah istilah September, Oktober, November dan Disember
Untuk memahami maksud nama bulan September, Oktober, November dan Disember ini, kita boleh kumpulkan kesemuanya sekali. Kesemua nama ini adalah berasal dari nombor dalam sebutan latin dengan September adalah 'Septem,' October adalah 'Octo', November adalah 'Novem' dan Disember adalah 'Decem.'
Septem bermaksud tujuh, Octo bermaksud lapan, Novem bermaksud sembilan dan Decem pula membawa makna sepuluh. Jadi mengapa bulan September, Oktober, November dan Disember mewakili bulan 9,10,11 dan 12 sedangkan maksudnya membawa makna 7,8,9 dan 10?
Ini kerana pada awalnya, orang Rom menggunakan sistem 10 bulan dengan bulan Mac menjadi bulan pertama mereka dan berakhir dengan bulan Decem iaitu bulan ke sepuluh. Selepas pengenalan bulan Januari dan Februari dilakukan dengan meletakkan dua bulan tersebut sebagai dua bulan paling awal, semua bulan yang telah wujud dianjakkan ke depan menjadikan satu tahun ada 12 bulan daripada Januari sehingga Disember.
Oleh sebab itulah walaupun September sehingga Disember membawa makna 'bulan ke 7' hingga 'bulan ke 10', ia kini mewakili bulan 9 hingga 12. Kami akui kami pun pening.