sara zarul azham animator malaysia di new york

Bandar New York adalah rumah kepada Sara Zarul Azham, seorang gadis dari Malaysia yang mula mencipta nama dalam industri animasi di Amerika Syarikat.

Semenjak Mei 2016, Sara yang kini berusia 29 tahun telah pun memegang posisi sebagai seorang artis susun atur dan pembantu animasi di Brooklyn. Walaupun begitu cabarannya tetap besar bagi Sara yang terpaksa berulang alik dari rumahnya di Manhattan ke Brooklyn, yang mengambil masa 40 minit.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sara mula menceburi bidang ini selepas memasuki Limkokwing University College di Cyberjaya dan menamatkan pengajian dalam bidang diploma jurusan rekaan. Mula tinggal di Amerika Syarikat sejak 2011, Sara menyambung pengajiannya dalam bidang animasi di Art Institute, Washington DC.

Dia kemudian menyambung pengajian di School of Visual Arts (SVA) di New York dalam bidang filem dan animasi selama 3 tahun, sambil menjadi pembantu pensyarah. Sara memperolehi Ijazah Seni Halus dari SVA pada 2015 dan kemudian terus bekerja sebagai pelatih industri di Brooklyn selama 5 bulan sebelum diserap masuk secara tetap dengan sebuah studio bernama Cartuna TV.

Nasib Sara berubah baik apabila projek filem pendek tahun akhir beliau yang bertajuk Casette dan Ups and Downs membuatkan dirinya menjadi perhatian. SVA menawarkan bantuan wang tunai untuk dia menyiapkan projeknya yang dilihat berpotensi, sebelum Ups and Downs dicalonkan dalam kategori animasi watak terbaik bagi Festival Filem dan Animasi Dusty kelolaan SVA.

Semenjak kecil, Sara berminat dengan bidang animasi hasil dorongan neneknya. Dia yang meminati kartun El Dorado, Mulan, Wallace and Gromit serta Animaniacs mengakui sejak kecil keluarganya gemar membawa dia melancong ke DIsney World, yang banyak mempengaruhi minatnya.

tumblr produk sara zarul azham

Selain dari bidang professional, Sara juga mempunyai pengikut di Tumblr dan Twitter yang digunakan sebagai paparan karya seni peribadi beliau. Sara juga menghasilkan produk-produk kecil dihiasi lakaran asli beliau seperti butang baju dan rantai kunci yang dijual secara kecil-kecilan.

Sara mengakui, mengelola kerja dan penjualan karya secara atas talian bukan sesuatu yang mudah namun baginya, semua itu alah bisa tegal biasa. Impiannya hanya satu, untuk kembali ke Malaysia satu hari nanti berbekalkan pengalaman yang telah dikumpul, untuk meningkatkan lagi industri animasi Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

Rujukan

The Star

Profil Sara

Tumblr




Hakcipta iluminasi.com (2017)