Sekiranya anda menetap di Malaysia tanpa bersenam, kebarangkalian anda untuk menjadi obes adalah sangat tinggi. Manakan tidak, lihat saja menu sarapan pagi seperti nasi lemak, mi goreng, roti canai dan kuih-muih tempatan semuanya berkalori tinggi dan mempunyai kandungan lemak yang tinggi.
Bila tiba waktu makan tengah hari, anda disajikan pula dengan nasi berlauk, mi kari, nasi ayam, nasi tomato atau nasi briyani. Ditambah pula dengan air sejuk manis-manis yang mampu menghilangkan dahaga ketika cuaca sedang panas terik. Fuh, terangkat!
BESARKAN TEKS A- A+
Selepas pulang dari pejabat, anda singgah dahulu di gerai untuk membeli makan malam. Ada pilihan nasi lemak ayam goreng berempah, char koay teow special atau burger bakar bertingkat-tingkat yang dihidangkan bersama kentang goreng panas-panas. Sampai sahaja di rumah, anda bancuh air Milo 3-in-1 sambil membuka bungkusan makanan.
Setiap hari hidup anda terikat dengan kerja di pejabat. Jadi, masa bila nak bersenam?
Kami kongsikan beberapa aktiviti fizikal yang boleh anda lakukan sendiri di rumah untuk membakar kalori. Anggaran ini adalah bagi orang dewasa yang mempunyai berat badan sekitar 68kg ya.
#1 Menyapu lantai
Jika anda telah meminum satu tin air minuman bergas, anda boleh menyapu lantai selama 1 jam untuk membakar 138 kalori daripada minuman itu.
#2 Memasak dan menyediakan makanan
Aktiviti memasak boleh membakar lebih kurang 170 kcal jika anda sibuk di dapur sekurang-kurangnya satu jam. Ini bersamaan dengan sarapan dua biji telur dadar yang dimasak bersama tomato dan keju. Kalau anda makan roti canai, anda perlu berada di dapur selama 2 jam.
#3 Menggosok baju
Menggosok baju selama 1 jam boleh membakar sehingga 156 kalori. Jumlah ini bersamaan dengan 13 minit sesi berenang secara kuat-kuat. Maka, kumpulkan baju kerja anda dan gosok lama-lama pada hujung minggu ya.
#4 Menyental lantai menggunakan tangan
Mungkin inilah salah satu sebab orang Jepun kurus-kurus belaka. Menyental lantai dengan posisi "zoukin gake" selama 1 jam boleh membakar sehingga 380 kalori! Apa lagi, sentallah satu rumah sekarang.
#5 Membersihkan cermin tingkap
Sekiranya anda meluangkan 30 minit untuk mengelap tingkap, anda akan membakar sebanyak 167 kcal. Namun, jika anda makan semangkuk bijirin sarapan sejurus selepas mencuci tingkap, anda kembali ke asal.
#6 Mengemop lantai
Kalau anda merasakan menyental lantai menggunakan tangan adalah tidak begitu menarik, anda boleh juga mengemop lantai selama sejam. Walau bagaimanapun, kalori yang dibakar hanyalah sekitar 153 kcal sahaja,
#7 Mencuci kereta
Sama seperti mengemop lantai, mencuci sebuah kereta akan membakar lebih kurang 153 kalori. Namun, jika anda memandu sebuah lori atau van, anda mampu untuk membakar lebih banyak kalori.
#8 Vakum permaidani atau lantai
Anda perlu memvakum lantai selama sejam untuk membakar 173 kalori daripada seketul pulut panggang.
Buat aktiviti fizikal teruk-teruk tapi bakar sikit saja kalori kan? Jadi, faham-fahamkanlah bahawa anda tidak boleh makan mengikut nafsu sewenang-wenangnya. Sentiasa kawal pemakanan dan kurangkan pengambilan makanan berlemak serta berkalori tinggi.
Sepotong kuih seri muka sahaja sudah mempunyai 192 kalori. Persoalannya, anda nak sapu lantai berapa lama?