Oleh pada 29 Oct 2019 kategori

Iqbal Masih dilahirkan di Muridke, sebuah kampung kecil di luar Lahore, Pakistan. Tidak lama selepas dilahirkan, bapa Iqbal iaitu Saif Masih meninggalkan keluarganya. Ibunya, Inayat, bekerja sebagai pembantu rumah tetapi pendapatannya tidak cukup untuk menyara semua anak-anaknya yang masih kecil.

Iqbal yang masih kecil tidak memahami masalah keluarganya. Ketika ibunya keluar bekerja, kakak-kakanya yang menjaga Iqbal. Namun, kehidupan Iqbal berubah secara drastik apabila dia mencecah usia empat tahun.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pada tahun 1984, salah seorang abang Iqbal ingin mendirikan rumah tangga dan memerlukan wang untuk membiayai majlis perkahwinannya. Salah satu cara biasa keluarga miskin di Pakistan memperolehi wang adalah dengan meminjam daripada majikan. Mereka biasanya akan membuat pertukaran pinjaman dengan bersetuju memberikan kanak-kanak sebagai buruh.

Keluarga Iqbal meminjam 600 rupee (kira-kira RM 40) daripada seorang peniaga permaidani. Sebagai balasan, Iqbal terpaksa bekerja dengannya sehingga hutang itu selesai. Secara paksa, Iqbal telah dijual sebagai buruh kasar oleh keluarganya.

Berjuang untuk hidup

buruh kanak kanak

Sistem yang dikenali sebagai peshgi (pinjaman) ini sememangnya tidak adil. Majikan mempunyai kuasa penuh ke atas pekerjanya. Iqbal terpaksa bekerja selama setahun tanpa gaji hanya untuk mempelajari kemahiran menenun permaidani.

Semasa pembelajarannya itu, semua kos makan dan alat yang digunakan akan ditambah ke dalam pinjaman asal. Sekiranya dia melakukan sebarang kesilapan, dia akan didenda dan kerugian juga ditambah dalam pinjaman.

Selain itu, kos pinjaman juga akan meningkat kerana biasanya majikan akan menambah bunga pinjaman. Selama bertahun-tahun lamanya, hutang keluarga Iqbal semakin bertambah dan Iqbal terpaksa bekerja bagi membayarnya. Majikannya ada membuat rekod tentang hutang keluarga Iqbal. Ketika Iqbal berusia 10 tahun, pinjaman itu telah meningkat kepada 13,000 rupee (kira-kira RM 770).

buruh kanak kanak menghasilkan permaidani

Keadaan Iqbal bekerja sangat menyedihkan. Iqbal dan kanak-kanak lain terpaksa bercangkung di atas meja kayu dan menenun berjuta-juta simpulan menjadi permaidani. Mereka dikehendaki mengikut pola tertentu, memilih setiap benang dan mengikat simpulan dengan berhati-hati.

Buruh-buruh bawah umur ini juga tidak dibenarkan bercakap. Jika tidak, pengawal akan memukul mereka atau mungkin mereka cedera akibat tercucuk alat pemotong benang yang tajam. 

iqbal masih 2

Iqbal bekerja selama 14 jam sehari, enam hari seminggu. Bilik tempat Iqbal bekerja sangat panas kerana tingkapnya tidak boleh dibuka bagi menjaga kualiti bulu. Hanya dua lampu mentol sahaja yang digantung di atas anak-anak kecil ini.

Jika mereka melawan, melarikan diri atau sakit, mereka akan dihukum. Mereka biasanya akan dipukul, dirantai pada alat penenun, dikurung dalam almari atau digantung terbalik. Iqbal sering menerima hukuman seperti ini. Untuk semua kesengsaraan ini, Iqbal hanya dibayar sekitar 60 rupee (RM 1.60) sehari.

Barisan Pembebasan Buruh Berikat

bllf

Setelah enam tahun bekerja sebagai buruh tenun permaidani, Iqbal terdengar tentang perjumpaan Bonded Labor Liberation Front (BLLF) yang membantu kanak-kanak sepertinya. Selepas bekerja, Iqbal menghadiri perjumpaan itu.

Ketika itu barulah Iqbal mengetahui bahawa kerajaan Pakistan telah mengharamkan peshgi pada tahun 1992. Kerajaan Pakistan juga telah membatalkan semua pinjaman terkumpul kepada majikan-majikan yang terlibat.

Iqbal yang terkejut dengan berita mahu menjadi bebas. Dia telah bercakap dengan Eshan Ullah Khan yang merupakan Presiden BLLF. Eshan telah membantu Iqbal mendapatkan dokumen yang diperlukan supaya majikannya membebaskan Iqbal. Tidak hanya untuk dirinya sahaja, Iqbal juga berusaha agar semua rakan-rakannya dibebaskan juga.

iqbal masih 3

Setelah bebas, Iqbal dihantar ke sekolah BLLF di Lahore. Di sana, dia belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga menghabiskan tempoh pembelajaran empat tahun dalam masa dua tahun sahaja. Di sekolah, kemahiran kepimpinan semula jadi Iqbal menyerlah. Dia sering terlibat dalam demonstrasi dan pertemuan yang menentang peshgi.

Iqbal juga pernah menyabar menjadi pekerja kilang supaya dia boleh menyiasat buruh kanak-kanak lain mengenai keadaan mereka. Walaupun ia berbahaya tetapi maklumat yang diperolehi Iqbal membantu banyak buruh kanak-kanak dibebaskan dan penutupan kilang yang ingkar.

Iqbal juga mula berucap di perjumpaan BLLF dan diwawancara aktivis serta wartawan antarabangsa. Dia menceritakan pengalamannya sendiri sebagai buruh kanak-kanak paksa. Dia tidak takut untuk bercakap mengenai penghambaan domestik ini.

iqbal masih 4

Pekerjaannya sebagai buruh paksa selama enam tahun mempengaruhi Iqbal secara fizikal dan mental. Iqbal kelihatan sangat kecil, kira-kira separuh saiz kanak-kanak yang seusia dengannya. Pada usia 10 tahun, ketinggiannya tidak melebihi empat kaki dan mempunyai berat badan sekitar 27 kg sahaja.

Tubuhnya berhenti berkembang dan doktor menggambarkan Iqbal mungkin mengalami "Kekerdilan Psikologi". Selain itu, Iqbal juga mengalami masalah buah pinggang, tulang belakang melengkung, jangkitan asma dan arthritis. Ramai yang mengatakan dia berjalan dengan pelik kerana kesakitan.

Selain itu, Iqbal kelihatan sangat matang walaupun dia sebenarnya berusia 10 tahun kerana kehilangan zaman kanak-kanaknya. Apabila dia melawat Amerika Syarikat untuk menerima Anugerah Hak Asasi Manusia Reebok, Iqbal gemar menonton kartun terutamanya Bugs Bunny. Di sana, Iqbal juga berpeluang bermain permainan komputer.

Kehidupan yang pendek

iqbal masih 5

Populariti dan pengaruh yang diperolehi Iqbal menyebabkan dia menerima banyak ancaman bunuh terutamanya dari pemilik-pemilik industri yang mengamalkan penggunakan buruh kanak-kanak. Demi membantu kanak-kanak malang lain, Iqbal tidak mengendahkan ancaman yang diterimanya.

Pada hari 16 April 1995, Iqbal telah menghabiskan masa seharian untuk melawat keluarganya. Kemudian, dia bersama dua lagi sepupunya telah menaiki basikal untuk ke rumah bapa saudaranya untuk makan malam. Ketika dalam perjalanan, seorang lelaki tidak dikenali menembak Iqbal dari jarak dekat dan membunuhnya serta-merta. Seorang lagi sepupunya cedera di lengan.

Siapa dan mengapa Iqbal terbunuh masih lagi menjadi misteri. Menurut sesetengah cerita, ketiga-tiga kanak-kanak itu ternampak seorang petani tempatan melakukan hubungan seksual luar tabii dengan seekor keldai milik jirannya. Disebabkan takut dan mungkin dipengaruhi dadah, dia menembak ke arah kanak-kanak itu.

ehsan ullah khan di plaza iqbal masih

Ehsan Ullah Khan di Plaza Iqbal Masih

Namun, ramai yang tidak percaya dengan cerita itu. Kematian Iqbal dipercayai disebabkan pemimpin-pemimpin industri permaidani yang tidak suka pengaruh Iqbal dan telah mengarahkan agar kanak-kanak itu dibunuh. Sehingga hari ini, kes kematiannya masih lagi belum selesai.

Jenazah Iqbal dikebumikan pada keesokan harinya. Kira-kira seramai 800 orang hadir untuk menyaksikan pengebumian pejuang nasib buruh kanak-kanak di Pakistan itu. 

* Masalah buruh kanak-kanak masih lagi berterusan sehingga hari ini. Berjuta-juta kanak-kanak terutamanya di Pakistan dan India terpaksa bekerja dalam industri permaidani, batu-bata, pembuatan rokok, barang kemas dan pakaian. Mereka bekerja dalam keadaan yang menyedihkan seperti yang dialami Iqbal.

Rujukan:

1. Kisah kehidupan pejuang buruh kanak-kanak - Iqbal Masih

2. Iqbal Masih - Pembebas penghambaan kanak-kanak

3. Kisah aktivis penghambaan kanak-kanak yang terkorban kerana perjuangannya




Hakcipta iluminasi.com (2017)