Kredit foto: ibtimes.co.in

Seo Minwoo, ketua kumpulan K-pop ‘100%’ meninggal dunia kerana serangan jantung sewaktu berada di kediamannya di Gangnam, Seoul, Korea Selatan.

Dalam kejadian yang berlaku malam semalam itu, kenyataan agensi T.O.P Media menyatakan Minwoo menghembuskan nafas terakhirnya sebelum pasukan penyelamat tiba di rumah beliau.

ahli kumpulan 100 seo minwoo meninggal dunia 2

Kredit foto: entertainment.mb.com.ph

“Dengan berat hati kami mengumumkan berita sedih ini bahawa Seo Minwoo telah meninggal dunia," kata agensinya menerusi laporan portal Allkpop.

Minwoo diperakui seorang selebriti yang komited menjayakan tugasan, selain mempunyai hubungan baik dengan anggota kumpulannya yang lain serta peminat.

Menurut laporan, upacara pengembumian akan diaturkan untuk anggota keluarga terdekat. 

"Sebagai ketua kumpulan 100%, Minwoo telah menggalas tanggungjawabnya dengan baik.

“Beliau merupakan seorang rakan yang menyayangi ahli kumpulan dan peminatnya dengan ikhlas.

“Kami pasti ramai yang tahu tentang sifatnya yang baik dan dedikasi terhadap kerjayanya. Majlis pengebumian akan diadakan buat ahli keluarga terdekat,” katanya lagi.

Dilahirkan pada 6 Februari 1985, hayat bintang itu berakhir di usia 33 tahun.

Kumpulan 100% dikenali menerusi lagu ‘Beat’, ‘Want U Back’ dan ‘U Beauty’. Video muzik mereka sehingga kini meraih lebih sejuta tontonan di laman YouTube.

Muzik video single terbaharu mereka berjudul ‘Song For You’ dikongsi di YouTube pada bulan lalu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)