Kredit foto: BH Online & cinema.com.my
Malang menimpa filem Abang Long Fadil 2 apabila sekali lagi menjadi mangsa individu tidak bertanggungjawab yang memuat naik rakaman filem tersebut di laman Youtube.
Dirakamkan secara sembunyi di sebuah pawagan, rompakan kali ini lebih dahsyat kerana filem itu dimuatnaik dalam versi penuh di Youtube bermula jam 8.55 malam.
Bagaimanapun ia hanya bertahan sehingga disedari oleh penerbit Datuk Yusof Haslam, sebelum dihapuskan pada jam 9.45 malam.
Sehubungan dengan itu, satu laporan polis dibuat oleh Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar pagi semalam di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur.
Kami memandang serius perkara ini dan laporan polis ini dibuat untuk menyiasat perbuatan tidak bertanggungjawab ini sebelum tindakan undang-undang diambil. Namun, video itu sempat ditonton lebih 100 pengguna.
Sumber: Astro Gempak
Kenyataan tersebut dibuat Najwa mengulas laporan polis yang dilakukannya mewakili produksi filem berkenaan.
Jika disabitkan kesalahan mengikut Akta Hakcipta 1987, individu itu boleh didenda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 bagi setiap salinan atau dipenjarakan bagi suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan yang berikutnya tertuduh akan didenda tidak kurang daripada RM4,000 dan tidak lebih daripada RM40,000 bagi setiap salinan atau dipenjarakan bagi suatu tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.