Hutan adalah khazanah negara. Satu ayat keramat yang sering disebut-sebut, namun realitinya pembalakan bermaharajalela di Malaysia dan seluruh dunia cukup membimbangkan. Bukan sahaja penebangan hutan memusnahkan flora dan fauna, tetapi juga memberi impak kepada perubahan iklim dan peningkatan suhu Bumi.
Walaupun kebanyakan negara sudah mempunyai polisi kerajaan untuk mempertahankan kawasan hutan simpan, penguatkuasaan lemah dan ketirisan orang atasan menyebabkan kawasan-kawasan hutan makin rakus digondolkan.
BESARKAN TEKS A- A+
Penebangan hutan dan degradasi hutan kini berada pada kadar yang membimbangkan, seterusnya memberi sumbangan besar kepada kehilangan biodiversiti yang berterusan. Sejak tahun 1990, dianggarkan 420 juta hektar hutan telah hilang melalui penukaran ke penggunaan tanah lain seperti perladangan, pembinaan penempatan dll.
Antara tahun 2015 dan 2020, kadar penebangan hutan di peringkat global dianggarkan 10 juta hektar per tahun, turun dari 16 juta hektar per tahun pada tahun 1990-an. Kawasan hutan primer di seluruh dunia telah menurun lebih dari 80 juta hektar sejak tahun 1990. Tahukah anda negara manakah yang mempunyai kadar pembalakan paling tinggi?
7. Honduras
Dari segi sejarah, Honduras adalah negara di mana hampir keseluruhannya diliputi oleh pokok dengan hanya separuh peratus tanahnya tidak berhutan. Namun, lanskap ini berubah pada hari ini apabila kegiatan pembalakan semakin aktif dilakukan.
Hari ini hanya kira-kira separuh daripadanya masih tinggal (52%) dengan hanya sekitar 16% yang ada di negara tersebut adalah kawasan hutan primer. Antara tahun 1990-2005, Honduras mengalami penurunan 37% di kawasan perlindungan hutannya.
6. Nigeria
Nigeria mempunyai kadar penebangan hutan primer tertinggi di dunia menurut angka yang disemak semula dari Organisasi Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO). Antara tahun 2000 dan 2005, negara ini kehilangan 55.7 peratus hutan primernya.
Pembalakan, pertanian sara hidup dan pengumpulan kayu untuk dijadikan bahan bakar disebut sebagai penyebab utama pembukaan hutan di negara Afrika Barat ini. Dari segi statistik pula, Nigeria telah menebang 36% daripada kawasan hutannya sejak dua dekad yang lalu.
5. Filipina
Filipina adalah salah satu negara yang mengalami pembalakan paling teruk di kawasan tropika dan kebanyakan kegiatan penebangan hutan berlaku dalam 40 tahun terakhir. Dianggarkan kawasan hutan di Filipina pada tahun 1990 adalah seluas 21 juta hektar, meliputi 70% dari keseluruhan kawasan tanah.
Namun, menjelang tahun 1999, kawasan hutan hanya meliputi kawasan seluas 5.5 juta hektar dimana hanya 800,000 hektar daripadanya yang merupakan hutan primer. Tetapi dengan kadar penebangan hutan selama dua puluh tahun terakhir sebanyak 26%, masa depan hutan di negara ini cukup membimbangkan.
4. Ghana
Pada satu ketika dahulu, sekitar dua pertiga Ghana dilitupi dengan hutan. Sekarang, kurang dari 10% dari jumlah hutan yang masih ada dan tidak ada yang menjadi hutan primer. Penebangan hutan di hutan primer Ghana melonjak 60 peratus antara 2017 dan 2018, jumlah lompatan terbesar di mana-mana negara tropika.
Lebih menyedihkan, sebilangan besar kegiatan pembalakan ini berlaku di kawasan terlindung negara termasuk hutan simpannya. Dengan aktiviti pembalakan haram yang begitu rakus, hutan yang masih ada nampaknya akan habis semuanya tanpa polis perlindungan hutan yang lebih baik.
3. Indonesia
Kerajaan Indonesia mengeluarkan angka penebangan hutan secara rasmi pada Mei 2018 yang menunjukkan bahawa kadar kehilangan hutan telah menurun dari tahun 2015 hingga 2018. Data tersebut melaporkan penebangan hutan seluas 440,000 hektar pada tahun 2018, sedikit lebih rendah daripada jumlah tahun 2017 seluas 480,000 hektar.
Negara ini kehilangan kawasan hutan seluas 115,459 hektar pada tahun 2020, sama besar dengan kawasan seluas Los Angeles. Ini adalah penurunan 75% dari 2019, menurut Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan. Kejayaan ini dipercayai hasil daripada penguatkuasaan undang-undang untuk mencegah kebakaran hutan dan pembukaan tanah baru untuk perladangan kelapa sawit.
2. Ecuador
Ecuador pada awalnya sebahagian besarnya berhutan, tetapi hari ini hanya terdapat kira-kira dua pertiga daripada kawasan hutan tersebut yang masih ada. Berita yang agak baiknya adalah sekitar 37% daripadanya adalah hutan primer. Walaupun penebangan hutan adalah masalah alam sekitar utama di negara ini untuk tahun 2020, Ecuador tidak secara rasmi menerbitkan data penebangan hutan secara berkala seperti negara-negara Amerika Latin yang lain.
Menurut data Kementerian Alam Sekitar, Ecuador memiliki 12.6 juta hektar hutan asli pada tahun 2016 tetapi menjelang 2018, ia telah kehilangan 116,857 hektar. Antara tahun 1990 dan 2018, lebih dari 2 juta hektar hutan hilang di Ecuador.
1. Haiti
Haiti merupakan negara pertama yang bakal kehilangan kepelbagaian biodiversiti yang kaya dimiliki berbanding hampir semua negara lain di dunia, menurut penyelidikan baru dari Blair Hedges, saintis dari Temple University. Dan kerana penebangan hutan, dianggarkan lebih daripada separuh spesies haiwan dan tumbuhan di Haiti akan pupus menjelang tahun 2035.
Haiti mengalami penurunan kawasan perlindungan hutannya sebanyak 22% dalam dalam dua puluh tahun terakhir. Berita yang lebih buruk lagi adalah bahawa Haiti telah membersihkan hampir kesemua atau lebih tepat 99.2% daripada hutan asalnya.
Kredit: