Oleh pada 16 Aug 2018 kategori

Negara kita dikejutkan dengan beberapa kenyataan, baik daripada pihak Menteri ataupun daripada golongan aktivis yang cenderung menyokong LGBT secara terbuka. Kenyataan-kenyataan yang dibuat membuka perbincangan pada skala besar bukan saja pada peringkat orang biasa, malahan mampu melibatkan juga individu-individu yang berkuasa dalam membentuk dasar negara kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Suara daripada belah aktivis kerap kali menyebut yang perjuangan aktivis LGBT di Malaysia berbeza, berbanding apa yang diminta di luar negara. Buat masa sekarang, kami mengambil sikap tunggu dan lihat dalam menilai kebenaran kata-kata itu namun kenyataan itu membuatkan penulis berminat untuk mengetahui serba sedikit, apa sebenarnya permintaan golongan LGBT di luar negara.

Berikut adalah tujuh permintaan paling penting yang kerap kali disuarakan golongan LGBT di luar negara dapat penulis simpulkan, agar dapat kita memahami dengan lebih jelas apa sebenarnya bentuk-bentuk permintaan yang kerap kali disuarakan golongan LGBT di luar negara.

1. Tiada diskriminasi di tempat kerja

lgbt menuntut hak pekerjaan

Golongan LGBT percaya perlunya diwujudkan satu undang-undang yang melindungi mereka daripada diskriminasi di tempat kerja, hanya disebabkan kecenderungan seksual mereka yang berada di luar norma masyarakat. Sebagai contoh - mereka mahukan perlindungan daripada dipecat daripada pekerjaan seandainya kecenderungan seksual mereka diketahui orang ramai. Selain itu, mereka juga percaya kerajaan sepatutnya bertindak lebih tegas terhadap majikan yang tidak mahu mengambil mereka bekerja, hanya kerana mereka tergolong dalam kelompok LGBT.

2. Ketiadaan 'tandas awam terbuka' di tempat awam

tandas uniseks diperkenalkan

Kami tidak pasti mengapa isu ini boleh menjadi besar di negara kita, sedangkan jawapannya jelas kita sepatutnya menggunakan tandas awam mengikut jantina kelahiran kita, tak kiralah sama ada seseorang itu sudah pun melakukan pembedahan tukar jantina atau tidak. Ini adalah untuk melindungi kepentingan semua pihak khasnya wanita.

Walaupun demikian di negara-negara barat, golongan LGBT kini mula lebih lantang memperjuangkan supaya diwujudkan ruangan tandas dan bilik air yang bersifat neutral jantina, kerana mereka rasakan ini lebih adil untuk semua. Beberapa negara sudahpun memperkenalkan tandas berbentuk uniseks, kerana mereka percaya tidak perlu wujud sekatan jantina dalam isu penggunaan tandas. Selain itu, tandas uniseks juga memerlukan ruangan yang sedikit berbanding tandas mengikut jantina.

3. LGBT tidak perlu dipulihkan

gerakan lgbt di malaysia 73r76

Pasti anda pernah dengar tentang rungutan aktivis LGBT setiap kali pihak Jabatan Agama melakukan tangkapan dan mewajibkan mereka yang ditangkap, menjalani kursus pemulihan agar dapat kembali ke jalan yang lurus. Golongan LGBT percaya tindakan sedemikian adalah tidak adil kerana tidak ada pihak berhak untuk membetulkan atau 'meluruskan' seseorang, apatah lagi orientasi seksual individu tersebut secara paksa.

Mereka percaya sesi kaunseling atau terapi yang diadakan bagi tujuan mengubah atau membuang keinginan seksual seseorang terhadap individu sejantina adalah satu bentuk pelanggaran hak kemanusiaan. Pada pandangan mereka, semua individu berhak memilih dengan siapa saja dia nak bersama, tanpa ada gangguan atau campur tangan pihak berkuasa, masyarakat lain, pemerintah malahan ahli keluarga.

4. Kemudahan perumahan

tunjuk perasaan lgbt di mauritius

Kita belum lagi mendengar kes serupa ditimbulkan di negara kita tetapi di negara di mana golongan LGBT diiktiraf, golongan LGBT tetap menghadapi masalah diskriminasi dalam usaha mendapatkan kemudahan perumahan yang selesa. Pihak bank kebiasaannya enggan menawarkan perkhidmatan pinjaman secara perkongsian bagi pasangan sama jantina.

Penyewa rumah juga secara statistiknya kurang gemar menyewakan rumah kepada golongan LGBT. Sebagai contoh, agak mengejutkan di Amerika Syarikat, negeri yang melindungi hak LGBT didapati berlaku kes diskriminasi terhadap bakal penyewa kelompok LGBT yang lebih tinggi dalam isu penyewaan rumah berbanding negeri-negeri yang tidak mengiktiraf LGBT.

5. Diskriminasi dalam bidang sukan

atlit transgender mahu bersaing dengan wanita

Sukar untuk kami mengerti di mana logiknya seorang transgender mampu dibenarkan bertanding dalam sukan kategori wanita, sedangkan realitinya seorang transgender mempunyai kelebihan berbanding wanita dalam sukan yang sama. Sebagai contoh, kes melibatkan atlit MMA Fallon Fox yang dilahirkan lelaki tetapi kini bertanding dalam kategori wanita.

Dalam satu pertarungan dengan seorang atlit MMA bernama Tamikka Brents, Fox berjaya menewaskan Brents dengan mudah, menyebabkan beberapa kecederaan teruk dan kepala Brents retak. Selepas perlawanan itu, Brents memohon agar keputusan untuk membenarkan transgender bertanding disemak semula kerana dia percaya kedudukannya sebagai antara atlit perempuan terkuat MMA pun, langsung tidak berupaya melawan Fox yang dianggapnya terlalu kuat.

Pihak Majlis Olimpik Dunia juga mengumumkan pada bulan April 2018 beberapa syarat lebih ketat dalam menyeimbangkan pertandingan di antara atlit transgender wanita dengan atlit wanita. Peraturan baru ini akan mula diperkenalkan pada Olimpik Tokyo 2020. Kita tunggu dan lihatlah apa yang akan berlaku kelak.

6. Kemudahan mengambil anak angkat

pasangan gay ambil anak angkat

Perjuangan LGBT dalam memastikan mereka dibenarkan memohon hak mendapatkan anak angkat bukanlah sesuatu yang baru bagi negara-negara barat. Kebanyakan pasangan LGBT sudah pastilah tidak mampu mempunyai anak sendiri, jadi satu-satunya jalan untuk mereka mempunyai anak adalah dengan mengambil anak angkat.

Sehingga kini, hanya 26 buah negara di seluruh dunia membenarkan pasangan sama jantina mengambil anak angkat. Namun begitu, prosesnya tetap mencabar berikutan perbezaan syarat kelulusan mengikut agensi yang dilantik kerana kebanyakan agensi hanya membenarkan pasangan yang sudah berkahwin saja mengambil anak angkat untuk dijaga.

7. Mendaftarkan perkahwinan

perkahwinan pasangan sama jantina

Setakat ini, ada 29 buah negara di seluruh dunia yang mengiktiraf perkahwinan sejenis dengan majoritinya terletak di Eropah. Walaupun mendapat bantahan daripada pihak gereja, kebanyakan negara ini memilih untuk membenarkan pendaftaran perkahwinan sama jenis sebagai satu bentuk ikatan yang sah.

Selain itu, wujud juga beberapa negara yang mengiktiraf hubungan sama jenis tetapi tidak mengiktiraf perkahwinan mereka, seperti Itali dan Switzerland yang membenarkan pendaftaran berbentuk 'civil union.'

Bagi membezakan perkahwinan jantina berlawanan dengan perkahwinan sama jantina, kebanyakan negara yang sudah mengiktiraf perkahwinan sama jenis ini mengkategorikan perkahwinan kepada dua jenis - tradisional dan sama jantina bagi memudahkan urusan pendaftaran.


Kami berharap dengan penerangan ringkas ini, anda dapat lebih memahami apa yang diperjuangkan oleh golongan LGBT. Kami biarkan kepada anda untuk membuat keputusan sendiri sama ada anda rasakan baik untuk negara kita memperkenalkan langkah-langkah serupa atau terus menutup pintu, mengelakkan perkara sama dapat dilaksanakan di negara kita.Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi, harapan kami tentulah untuk melihat agar masyarakat kita terus meletakkan agama sebagai asas kepada tunjang masyarakat.




Hakcipta iluminasi.com (2017)