Biasanya harta pusaka akan diwasiatkan kepada mereka yang terdekat atau yang banyak membantu seseorang ketika hidup. Sebagai contoh, si mati akan mewasiatkan hartanya kepada isteri, anak-anak dan saudara terdekat.

Dalam kes-kes tertentu, ada juga harta yang diwasiatkan kepada individu luar daripada keluarga seperti rakan dan pekerja. Namun, ia agak pelik untuk anda mewasiatkan harta pusaka kepada mereka yang tidak mampu membelanjakannya apatah lagi mengendalikannya, seperti haiwan peliharaan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

iluminasi.com ingin kongsikan dengan anda 7 haiwan paling kaya di dunia disebabkan harta peninggalan tuan masing-masing.

7. Trouble - RM46.5 juta

trouble haiwan paling kaya di dunia

Seekor anjing dari baka Maltese yang berwarna putih diberi nama Trouble telah mewarisi harta peninggalan tuannya iaitu Leona Helmsley yang meninggal dunia pada tahun 2007. Walaupun Trouble tidak menerima hartanah peninggalan Leona yang mana kebanyakannya diberikan untuk tujuan amal, anjing ini mendapat lebih daripada saudara mara Leona iaitu harta sebanyak RM46.5 juta.

Adik Leona, Alvin Rosenthal menerima RM3.87 juta, dengan syarat dia menjaga Trouble. 2 daripada cucu Leona menerima RM19.4 juta setiap seorang dengan syarat mereka melawat kubur datuk mereka setiap tahun, dan lagi 2 orang cucu tidak menerima apa-apa.

Kerana tidak puas hati, saudara mara Leona membawa kes ini ke mahkamah dan pihak mahkamah bersetuju bahawa Leona mengalami masalah mental ketika menulis wasiat. Hasilnya, mahkamah hanya memberikan harta peninggalan kepada Trouble sebanyak RM7.74 juta, bukannya RM46.5 juta.

6. Samantha - RM24.5 juta

samantha haiwan paling kaya di dunia

Seekor anjing betina, Samantha yang merupakan milik Sidney Altman telah diwasiatkan harta berbentuk hartanah bernilai RM23.2 juta termasuk wang tunai sebanyak RM1.35 juta selepas kematian tuannya.

Kekasih Sidney, Marie Dana ditugaskan sebagai penjaga Samantha dan dibayar sebanyak RM19,300 sebulan, serta dibenarkan tinggal di rumah peninggalan Sidney sehinggalah anjing tersebut meninggal dunia.

Selepas itu, segala hak yang diberikan kepada Marie akan terhenti, iaitu tidak lagi mendapat wang dan tidak dibenarkan tinggal di rumah tersebut. Marie yang tinggal bersama Sidney selama 6 tahun menjangkakan dia akan menerima segala harta pusaka, sebaliknya segala harta diberikan kepada seekor anjing.

Marie mencabar wasiat tersebut dan menuntut RM10.45 juta daripada hartanah tersebut dan berkata Sidney berjanji untuk menjaganya jika dia tinggal bersama kekasihnya itu.

5. Conchita, Lucia, dan April Maria - RM43.6 juta

conchita lucia dan april maria haiwan paling kaya di dunia

3 ekor anjing menjadi jutawan sekelip mata selepas mewarisi rumah di tepi pantai bernilai RM32 juta dan dana amanah bernilai RM11.6 juta daripada tuan mereka iaitu Gail Posner. Malah, sebelum kematian Gail, ketiga-tiga haiwan bertuah ini sudah hidup dalam keadaan mewah.

Mereka mempunyai kakitangan sendiri yang membawa ketiga-tiga anjing ini ke spa, dan dipakaikan rantai mahal. Bret Carr, satu-satunya anak Gail tidak senang dengan peninggalan wasiat melihatkan dia hanya mewarisi RM3.87 juta yang mana jauh beza daripada apa yang diterima sesetengah staf bapanya yang menerima RM104.5 juta yang dibahagikan kepada semua staf.

Bret memfailkan tuntutan mahkamah mencabar wasiat itu mengatakan ibunya diberikan dadah oleh kakitangan Gail dan dihasut untuk mewasiatkan segala hartanah kepada anjing-anjing ini supaya mereka boleh mengawalnya.

4. Blackie - RM48.4 juta

blackie haiwan paling kaya di dunia

Sehingga kini, Blackie kekal sebagai pemegang Guinness World Record sebagai kucing paling kaya di dunia, bukan kerana ia seorang ahli perniagaan tetapi melalui harta wasiat. Blackie menerima RM48.4 juta selepas kematian tuannya, Ben Rea pada May 1988.

Ben berkongsikan wang tersebut di antara 3 badan amal yang menjaga Blackie, dan tiada sedikit pun harta Ben diwasiatkan kepada ahli keluarganya. Namun, tukang kebun, mekanik dan tukang paip Ben menerima sejumlah wang.

Blackie bukanlah satu-satunya kucing milik Ben, dan merupakan antara 1 daripada 15 kucing lain, namun 14 yang lainnya telah mati.

3. Tommaso - RM50.3 juta

tommaso haiwan paling kaya di dunia

Kisah Tommaso adalah satu kisah sempurna mengenai perubahan ketara dalam hidup. Satu ketika dulu, Tommaso hanyalah seekor kucing jalanan. Seorang janda kesunyian tanpa cahaya mata kemudiannya menjumpai Tommaso dan membawa pulang kucing ini.

Sejak itu Tommaso menjadi anak kesayangan Maria, sehinggakan harta peninggalannya bernilai RM50.3 juta diwariskan kepada kucing hitam ini. Menurut undang-undang Itali, haiwan tidak dibenarkan mewarisi hartanah.

Namun, haiwan tersebut boleh disenaraikan sebagai penerima manfaat sebaik sahaja seorang pemegang amanah dinamakan. Sebelum kematian Maria, dia telah bertanyakan kepada peguamnya agar mencari kumpulan kebajikan haiwan supaya dia boleh mewasiatkan hartanahnya dengan syarat mereka menjaga Tommaso, namun tidak dijumpai.

Pemegang amanah akhirnya diberkan kepada Stefania iaitu jururawat yang menjaga Maria sebelum kematiannya.

2. Gigoo - RM58 juta

gigoo haiwan paling kaya di dunia

Jika anda berasa sangat kecewa anda tidak menerima apa-apa harta peninggalan, jangan risau, anda pasti akan berasa lebih malang. Kerana seekor ayam pun menerima harta yang begitu banyak selepas kematian tuannya.

Seekor ayam, Gigoo telah menerima RM58 juta selepas kematian tuannya, Miles Blackwell pada tahun 2002. 3 minggu sebelum itu, isteri Miles telah meninggal dunia. Disebabkan pasangan ini tidak mempunyai anak, segala harta jatuh kepada Gigoo.

Gigoo kini dianggap sebagai ayam yang paling kaya di dunia. Ironi kan?

1. Gunther III And Gunther IV - RM251.6 juta

gunter iii haiwan paling kaya di dunia

Sebelum meninggal dunia, Karlotta Liebenstein telah meletakkan namaa anjing German sheperd nya iaitu Gunter III sebagai pewaris harta. Gunter menerima wang tunai dan aset selepas kematian tuannya itu pada 1992 yang bernilai RM251.6 juta. Gunter III hidup dengan mewah sekali, sehinggalah kematiannya yang menyebabkan harta pusaka tersebut diwarisi anaknya, Gunter IV yang nilainya mencanak menjadi RM774 juta.

Gunter IV mempunyai mahligai di Itali dan Bahamas, dan telah membeli rumah mewah 8 bilik di Miami daripada penyanyi pop sensasi Maddona dengan harga RM29 juta. Malah, Gunter IV tidur di bilik utama tempat yang sama menjadi tempat tidur Madonna.

Kini, kekayaan Gunter IV bernilai RM1.55 bilion.

Rujukan:

1. Shepped

2. PRI

3. Lstve

4. Wide Open Country




Hakcipta iluminasi.com (2017)