Pasti ada di kalangan kita yang memiliki cita-cita untuk menjadi angkasawan ketika kecil. Namun, tak semua bernasib baik dan berpeluang untuk merealisasikan impian ini.
Hanya sekitar 550 orang manusia sahaja yang pernah pergi ke angkasa lepas setakat ini.
Selain daripada perlu melepasi halangan dalam membuat permohonan, apa yang membuatkannya sangat sukar adalah latihan-latihan yang sangat mencabar.
BESARKAN TEKS A- A+
Tak semua yang diterima untuk menjalani latihan dapat menamatkan kursus dengan lancar. iluminasi.com kongsikan 7 fakta menarik mengenai latihan menjadi seorang angkasawan.
1. Tiada had umur untuk calon NASA
Walaupun NASA tidak mempunyai had bagi umur angkasawannya, namun ia masih memastikan calonnya memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang berkaitan STEM seperti biologi, kejuruteraan atau sains komputer.
NASA juga menghendaki semua pelatih angkasawan menjadi warga A.S. dengan penglihatan yang sangat baik, walaupun penggunaan cermin mata masih boleh diterima.
Dan akhirnya, calon yang berjaya mestilah mempunyai pengalaman juruterbang selama 1,000 jam dalam pesawat jet atau tiga tahun pengalaman kerja yang relevan.
Apa yang pasti adalah tiada had umur. Pada masa lalu, NASA telah memilih calon termuda yang berusia 26 tahun dan tertua berusia 46 tahun. Dan bekas angkasawan John Glenn kembali ke angkasa lepas pada tahun 1998 pada usia 77 tahun
Namun kebarangkalian untuk dipilih adalah agak tipis. Pada tahun 2016, NASA mengumumkan bahawa segelintir orang baru akan dibenarkan memasuki program latihan angkasawannya.
Lebih daripada 18,300 permohonan telah diterima dan hanya 12 permohonan sahaja dipilih. Ini menjadikan kadar penerimaan hanya 0.065 peratus!
2. Angkasawan berlatih padang kawah Arizona
Anda tidak perlukan teleskop untuk mengetahui bahawa bulan dipenuhi dengan kawah. Beberapa kawah yang paling besar kadang-kala dapat dilihat dengan mata kasar dari Bumi [sumber: Raja].
Satelit semulajadi planet kita mempunyai beribu-ribu lekukan ini dan oleh itu, selepas program Apollo ditubuhkan pada tahun 1961, NASA mengambil keputusan untuk membiasakan diri angkasawannya terhadap bentuk bulan.
Tetapi bagaimana? Walaupun kawah hentaman meteorit di bulan ini adalah perkara biasa, namun ia sangat sukar untuk ditemui di Bumi.
Nasib baik, agensi itu mempunyai kawah yang agak luas di "belakang rumah sendiri". Sekitar 50,000 tahun yang lalu, sebuah meteorit menghentam ke lokasi yang kini dikenali sebagai Arizona utara.
Hasilnya adalah satu lubang raksasa di bawah tanah dengan kedalaman 173.7 meter dan 1.25 kilometer lebar. Dikenali sebagai "Meteor Crater," lekukan tersebut sangat berguna untuk NASA.
Semasa era Apollo, bakal angkasawan menjalankan latihan pemetaan dan pengukuran di dalam dan sekitar kawah ini. Ia masih menjadi destinasi bagi pelatih NASA pada hari ini.
Bagi bakal angkasawan yang ingin ke bulan, kawah terpencil adalah tempat yang sangat sesuai untuk menjalankan beberapa latihan. Namun, jika terdapat kawasan yang dipenuhi dengan kawah seperti ini, ia adalah lebih baik.
Untuk itu, pada tahun 1963, NASA dan Penyiasatan Geologi A.S. memetakan satu bahagian permukaan bulan. Kemudian mereka menggunakan jumlah dinamit yang sangat banyak untuk menghasilkan beratus-ratus kawah replika di Flagstaff, Arizona.
Apabila tapak yang dikenali sebagai "Cinder Lake" ini siap, angkasawan Apollo mendapat peluang untuk memandu uji kenderaan di situ.
Latihan pensampelan tanah juga dijalankan di sana.
3. Angkasawan ISS perlu mahir bahasa Rusia
Ketika ini, satu-satunya cara untuk pergi ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) adalah dengan menumpang kapal Rusia. Kapal angkasa Soyuz dicipta untuk program bulan Soviet pada awal tahun 1960-an.
Sejak itu, kapal Soyuz telah melakukan lebih daripada 1,500 pelancaran. Kenderaan ini termasuk kapsul di mana angkasawan duduk di atas satu set penggalak roket yang boleh dipisahkan.
Kapal angkasa Soyuz moden dilancarkan dari kosmodrom yang terletak di Kazakhstan.
ISS menggunakan kapal Soyuz untuk mengangkut bekalan dan mengangkut angkasawannya ke dan dari Bumi. Tiada kenderaan lain yang sedang digunakan untuk melakukan urusan seperti ini.
Dalam erti kata lain, sesiapa yang ingin melawat ISS perlu mahir dalam bahasa Rusia.
Semua angkasawan ISS, tanpa mengira asal negara dikehendaki mempelajari bahasa Rusia. Dan ia bukanlah hanya mempelajari bahasa Rusia asas.
Angkasawan perlu memahami banyak ungkapan khas dan teknikal dalam bahasa Rusia. Bagi sesetengah daripada mereka, ia adalah cabaran yang sangat menakutkan.
Angkasawan Agensi Angkasa Eropah dan anggota kru ISS, Tim Peake memberitahu bahawa pembelajaran bahasa Rusia adalah aspek paling sukar dalam latihannya
Pada hari ini, NASA memasukkan pengembara angkasa lepas dalam kelas bahasa yang intensif. Dalam setiap jadual angkasawan Amerika, sejumlah besar masa diperuntukkan dengan guru bahasa Rusia.
Dan seperti pelajar pertukaran asing, beberapa pelatih NASA dihantar untuk tinggal bersama keluarga Rusia di Moscow selama beberapa minggu.
4. Pelatih habiskan banyak masa dalam air
Berhampiran Pusat Angkasa Johnson di Houston, Texas, terdapat sebuah kolam renang dalaman yang sangat luas. Kolam ini berukuran 12.1 meter dalam, 61.5 meter panjang dan 31 meter lebar.
Saiz ini adalah lebih besar daripada kolam renang Olimpik. Air kolam ini ditetapkan pada suhu di antara 27 hingga 30 darjah Celcius dan ditukar setiap hari.
Di sini, para angkasawan boleh membiasakan diri dengan rasa tanpa berat yang mereka akan alami di angkasa lepas. Kolam ini secara rasmi dikenali sebagai Makmal Keapungan Neutral (NBL).
Pada hari latihan, angkasawan yang telah lulus dalam latihan menyelam akan dipakaikan dengan sut angkasa lepas dan dimasukkan ke dalam kolam.
Di bawah permukaan air, setiap pelatih dikawal oleh 2 pegawai penyelam dan dibawa ke pelbagai penjuru kolam.
NASA mempunyai replika kapal angkasa Soyuz bersaiz sebenar, sebahagian daripada ISS, dan peralatan lain. Semua peralatan ini boleh dimasukkan ke dalam kolam renang untuk tujuan latihan.
Angkasawan yang ditenggelamkan akan melalui latihan dok, latihan membaiki kapal dan aktiviti lain yang mensimulasikan pekerjaan yang perlu dilakukan semasa berjalan di ruang angkasa.
Adalah menjadi perkara biasa bagi seorang angkasawan untuk menghabiskan masa enam hingga lapan jam di NBL untuk setiap satu jam yang bakal dia habiskan di ruang angkasa [sumber: Terdiman].
Dan sekiranya anda tertanya-tanya, NBL bukan satu-satunya kolam latihan seperti ini. Kemudahan yang sama terdapat di program angkasa Cina, Jepun, Rusia dan Eropah. Terdapat juga kolam renang apungan neutral di University of Maryland.
5. Calon angkasawan melalui latihan tandas
Antara salah satu soalan paling popular yang ditanya kepada bekas anggota krew Angkatan Angkasa Antarabangsa, Tim Peake ialah, "Bagaimana anda pergi ke bilik mandi di angkasa lepas?".
Jawapan pendek adalah "berhati-hati." Dan adalah idea yang bagus untuk melatih cara anda pergi ke tandas.
Disebabkan ketiadaan graviti, paip luar angkasa bergantung pada sedutan vakum. Tiada siapa yang mahu najis berada dalam keadaan terapung-apung, jadi 2 tandas di atas kapal ISS direka untuk menyedut air kencing dan najis secara aktif.
Tandas-tandas ini mempunyai paip panjang yang diletakkan di sebelah tempat duduk di mana angkasan membuang air kecil (2 corong boleh ubah yang boleh digunakan untuk angkasawan lelaki dan wanita).
Selepas memilih corong yang sesuai, mereka akan memasangkannya pada hos dan kemudian menekan sui untuk mengaktifkan kipas dalaman yang menarik air kencing ke dalam bekas simpanan.
Jadi, apa masalahnya dengan membuang air besar menggunakan tandas ini? Masalahnya adalah angkasan terpaksa menggunakan ruang pembukaan vakum yang sangat kecil, kira-kira 10.16 sentimeter untuk menyelesaikan "urusan" mereka.
Kebanyakan daripada kita di Bumi sudah biasa dengan mangkuk tandas yang sekurang-kurangnya 3 kali ganda lebih besar. Dan untuk membuang air besar melalui lubang yang sempit ini memerlukan kemahiran yang sangat tinggi.
Buat masa ini, dua replika daripada tandas ISS lama ini berada di lokasi di Johnson Space Center. Yang pertama dipanggil pelatih posisi.
Ia tidak berfungsi, tetapi ia mempunyai dimensi yang tepat dengan tandas ISS sebenar. Di dalam mangkuk tandas ini, terdapat kamera yang disambungkan ke monitor TV yang menghadap ke tempat duduk.
Angkasawan menggunakannya untuk memastikan sasaran mereka selaras dengan punggung mereka. Sebaik sahaja seorang pelatih sudah mahir dengan tugasan ini, dia akan beralih untuk melatih menggunakan tandas replika ISS yang lebih baru dan boleh berfungsi.
Walaupun tandas ini tidak lagi digunakan dalam perkhidmatan ISS, namun tandas yang lebih baru adalah sebahagian daripada sistem air kumbahan yang mengitar semula air kencing angkasawan kepada air yang boleh diminum.
Jadi para angkawasan masih perlu berlatih cara untuk menggunakan tandas.
6. Kemahiran survival diuji
Di angkasa lepas, situasi berbahaya tidak mustahil untuk berlaku. Dari mikrometeorit hinggalah ke peralatan, angkasawan mesti bersedia untuk menangani semua jenis ancaman di orbit Bumi dan juga dalam perjalanan kembali ke Bumi.
Agensi-agensi angkasa lepas mengambil langkah serius untuk memastikan krew mereka dapat kembali dengan selamat.
Namun kebarangkalian untuk berlaku sesuatu yang tidak diingini masih tetap ada. Namun, selalu ada peluang sesuatu yang boleh menjadi salah.
Apa yang berlaku sekiranya kapal yang dalam perjalanan pulang ke bumi tersasar dari lokasi dan berada di kawasan berbahaya? Maka sebab inilah agensi angkasa lepas melatih angkasawan mereka melalui latihan hidup di hutan belantara.
Kembali ke era Apollo, calon program NASA sentiasa diuji di hutan di Panama. Para angkasawan akan menghadiri kuliah dan kemudian diuji kemahiran baru mereka di beberapa lokasi terpencil.
Angkasawan NASA generasi baru telah menghabiskan fasa proses latihan ini di luar bandar Maine, Amerika Syarikat.
Dikendalikan oleh pakar survival dari angkatan bersenjata A.S., calon angkasawan pada hari ini menjalani latihan kemalangan pesawat terbang, pertolongan cemas dan memahami alat bekalan kecemasan yang mereka ada di angkasa lepas.
7. Perlu menunggu beberapa tahun untuk ke angkasa lepas
Dengan kombinasi nasib, kemahiran dan kerja keras, pelatih yang lulus program yang sangat ketat ini terpilih sebagai calon angkasawan NASA dan kemudian menamatkan pelajaran dari proses latihan asas.
Jadi, apa langkah seterusnya? Kebanyakan di antara mereka tidak akan layak untuk naik ke angkasa lepas sehinggalah pentadbiran memberikan misi pertama mereka.
Kemudian, mereka perlu melengkapkan latihan yang lebih khusus untuk mempersiapkan diri mereka untuk perjalanan ke angkasa. Seorang pengembara angkasa lepas akan secara amnya memulakan pelayaran sulungnya bersama beberapa angkasawan veteran yang bertindak sebagai sebagai penasihatnya
Graduan yang baru sahaja menamatkan proses latihan asas tidak boleh menerima tugasan misi pertama mereka selama beberapa tahun.
Semasa fasa yang dikenali sebagai pra-tugasan ini, kebanyakan angkasawan melakukan pekerjaan yang terikat di bumi seperti bekerjasama dengan jurutera program angkasa lepas atau berkhidmat sebagai pengantara asing.
Dottie Metcalf-Lindenburger menamatkan latihan NASA pada tahun 2006 tetapi tidak menjejaki orbit Bumi sehingga tahun 2010.
Rujukan:
1. NASA
2. Wagener