Peranan dunia sains terhadap kehidupan manusia memang tidak boleh dinafikan. Contohnya, penciptaan telefon pintar, kereta dan pelbagai penemuan baru telah memudahkan kehidupan manusia.
Sebagai saintis, pastinya sesuatu yang membanggakan apabila dapat mencipta sesuatu yang baru dan dapat dimanfaatkan oleh manusia. Namun, ianya mungkin lebih bermakna sekiranya ciptaan atau penemuan mereka dapat menyelamatkan jutaan nyawa manusia.
Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi senarai 5 orang saintis yang telah berjasa besar menyelamatkan jutaan nyawa manusia. Walaupun rata-rata kebanyakan daripada kita mungkin tidak pernah mendengar kisah-kisah mengenai para saintis ini, jasa mereka terhadap manusia memang tidak dapat dinafikan.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Edward Jenner
Mendapat jolokan "Bapa Imunologi", Edward Jenner merupakan seorang saintis British dan doktor yang hidup pada abad ke 18. Namanya juga dikreditkan sebagai pencipta vaksin yang pertama untuk imunisasi terhadap penyakit smallpox, penyakit berjangkit yang ketika itu sudah membunuh jutaan nyawa manusia.
Penciptaan vaksin smallpox beliau adalah dengan konsep memberikan suntikan virus cowpox pada manusia. Virus ini kemudiannya akan membina imunisasi manusia terhadap virus smallpox yang lebih hebat dan boleh membunuh. Vaksin smallpox yang diciptanya pada tahun 1796 merupakan vaksin pertama di dunia dan memberi inspirasi kepada lebih banyak vaksin yang wujud sehingga ke hari ini.
2. Jonas Salk
Pada tahun 1950-an, penyakit Polio telah menyerang dan mengorbankan banyak nyawa manusia. Namun, wabak ini mula berkurangan apabila Jonas Salk, seorang ahli virologis dan penyelidik perubatan telah berjaya mencipta vaksin untuk melawan penyakit ini.
Bukan itu sahaja, beliau juga aktif berkempen bagi mewajibkan pengambilan vaksin untuk setiap rakyat Amerika Syarikat. Dalam satu wawancara beliau pernah ditanya mengenai pemilikan paten untuk vaksin ini, dengan tenang beliau menjawab "Tiada paten. Adakah anda boleh mempatenkan matahari? Anggap sahaja penemuan ini manfaat untuk semua manusia".
3. Sir Ronald Ross
Sir Ronald Ross merupakan seorang doktor British dan merupakan dan merupakan penerima Anugerah Nobel pertama yang berasal dari Britain. Beliau terkenal dengan penemuannya mengenai penyakit malaria yang dibawa oleh nyamuk. Beliau berjaya menemui satu bahagian pada nyamuk yang membawa parasit malaria yang kemudiannya disebarkan pula kepada manusia.
Selain itu, beliau juga telah membuat penemuan beberapa spesis nyamuk dan mengenalpasti tempat pembiakan nyamuk yang membantu lebih ramai saintis yang terkemudiannya untuk memahami lebih mendalam mengenai malaria dan cara-cara untuk membendung penyakit membunuh ini daripada tersebar.
4. Sir Alexander Fleming
Sir Alexander Fleming merupakan seorang ahli farmakologi, ahli biologi dan pakar botani dari Scotland. Beliau terkenal kerana penemuannya mengenai antibiotik benzylpenicillin (Penicillin) dari acuan Penicillium notatum dan enzim lisosom. Antibiotik penicilin ini telah membantu menyembuhkan pelbagai penyakit seperti demam, radang paru-paru, difteria dan banyak lagi.
Lebih menarik, penemuan mengenai antibiotik pertama dunia ini adalah secara tidak sengaja di makmal tempatnya bekerja. Artikel mengenai peristiwa ini pernah kami tulis satu ketika dahulu, sila rujuk artikel Kisah Penemuan Secara Tidak Sengaja Antibiotik Penicilin Yang Mengubah Dunia Perubatan.
5. Alan Turing
4 saintis di atas telah menyelamatkan jutaan nyawa manusia dalam bidang perubatan. Namun, jasa Alan Turing pula adalah peranannya adalah dalam Perang Dunia Kedua. Alan Turing merupakan seorang ahli matematik dan kriptografi yang berjaya memecahkan kod Enigma yang digunakan oleh pihak Nazi untuk menghantar arahan atau pesanan sesama mereka.
Kod Enigma adalah kod rahsia pihak Nazi untuk menghantar informasi sulit strategi ketenteraan mereka. Bagi memecahkan rahsia kod ini, beliau telah mencipta sebuah mesin khas dikenali sebagai "Bombe", sekaligus membantu pasukan Pihak Perikakatan memintas arahan pasukan Nazi dan menggagalkan strategi serangan mereka.
Dalam erti kata lain, ciptaan Alan Turin ini berjaya memendekkan tempoh Perang Dunia Kedua dan menghindarkan lebih banyak manusia daripada dibunuh dengan kejam oleh pihak Nazi.
Kredit: