Oleh pada 02 Jul 2022 kategori

Rutin harian kita memerlukan kita buat sesuatu secara berulang-ulang. Kesemua individu akan mandi, makan, minum, buang air, gosok gigi, kumur, pakai baju dan bermacam lagi perbuatan yang kita kongsi - kerana kita semua manusia.

Walaupun begitu, banyak sebenarnya perbuatan harian ini sebenarnya kita lakukan dengan kaedah kurang tepat tanpa kita sedari - meskipun kita melakukannya hari-hari. Jangan rasa malu untuk mengetahui tentang perkara-perkara sebegini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima rutin harian yang sebenarnya kita setiap hari salah cara dan kaedahnya.

1. Anda tegakkan kaki papan kekunci anda

kaki keyboard tak ergonomik

Ramai orang menggunakan papan kekunci komputer dalam urusan harian mereka, khasnya bagi mereka yang berkhidmat di pejabat.

Jika anda lihat bahagian bawah papan kekunci anda, biasanya akan dipasang kaki penyokong yang boleh dikuakkan untuk meninggikan serta menukarkan sudut kunci yang terpasang agar lebih berhadapan dengan anda.

Ini membantu anda melihat huruf pada papan kekunci anda dengan lebih baik.

Bagaimanapun, dalam masa yang sama perubahan sudut papan kekunci anda sebenarnya mengakibatkan kedudukan tangan anda dengan sudut capaian setiap papan kekunci berubah.

Apabila kaki papan kekunci anda dinaikkan, tangan anda sudah tidak lagi mengikut ergonomik asal rekaan papan kekunci itu; mengakibatkan tangan anda lebih mudah sakit atau lenguh.

Solusinya - bagi yang baru nak belajar menaip, mungkin ketinggian tambahan itu akan membantu anda. Guna hanya sehingga anda mahir. Seandainya anda sudah boleh menaip tanpa melihat papan kekunci, tutup kakinya. Kami yakin anda akan terus merasa keselesaan lebih semasa menaip.

2. Anda tunduk ketika guna telefon pintar

postur penggunaa telefon pintar

Ramai di antara kita di masa hadapan akan berhadapan dengan masalah pada bahagian tengkuk, disebabkan oleh rutin harian kita yang kini banyak didominasi oleh penggunaan telefon pintar.

Majoriti pengguna telefon pintar yang dilihat penulis, termasuklah penulis sendiri gemar menggunakan telefon yang dipegang tangan disokong oleh riba kita. Ini memerlukan mata kita memandang ke bawah, menyebabkan tengkuk kita perlu tunduk bagi melihat skrin.

Apa yang akan berlaku dalam ilmu kajian postur, dinamakan sebagai forward head posture (FHP) atau 'sindrom postur kepala ke depan' di mana bahagian tulang belakang kita akan mula condong ke arah depan, mengakibatkan otot di bahagian tersebut memendek seterusnya mengakibatkan perubahan kekal pada bahagian tulang dan otot yang menyokong kepala kita.

forward head posture

Dalam jangka masa pendek, individu yang baru bermula tahap FHP-nya akan berdepan masalah pening kepala dan kurang selesa di dada. Lebih teruk, dia akan mula mengalami kesakitan pada bahagian dada serta rasa kurang selesa pada bahagian lengan dan tangan.

Kaedah untuk membetulkan masalah ini boleh bermula dengan anda. Mula gunakan telefon pintar anda agar ia selari dengan tahap pandangan mata anda.

3. Anda pegang stereng ikut kaedah lama

cara pegang stereng salah

Cuba tanya di manakah lokasi paling optimum bagi memegang stereng semasa memandu? Kebanyakan pemandu akan menjawab di lokasi jam 10 dan jam 2 pada stereng. Satu masa dahulu, petua ini benar.

Tetapi dalam era kenderaan telah dipasangkan teknologi lebih moden, penggunaan petua jam 10 dan 2 ini sebenarnya sudah dianggap satu ancaman kepada keselamatan pengguna kerana kedudukan tangan tersebut boleh mengakibatkan kecederaan sekiranya beg udara dalam stereng perlu diletupkan.

Panduan terbaru yang seharusnya menjadi ikutan semua pemandu adalah kedudukan tangan haruslah berada dalam kedudukan selari, yakni pada kedudukan jam 3 dan 9.

Dengan meletakkan tangan pada kedudukan lebih rendah, diharapkan agar tangan kita tidak akan bertembung dengan beg udara yang diletup pada kelajuan sangat tinggi dalam insiden kecemasan. Lagipun majoriti kereta kini sudah ada fungsi stereng berkuasa, yang mudah dan ringan dipusing.

Petua jam 10 dan 2 ini sebenarnya tercipta ketika kenderaan belum mempunyai stereng berkuasa dan pemandu perlu memulas dengan kuat stereng, bagi membolehkan kenderaan membelok.

4. Anda bernafas tanpa guna seluruh kemampuan

bernafas menggunakan perut

Biar benar cara dan kaedah kita bernafas salah selama ni? Itulah yang bermain difikiran penulis bila membaca topik ini - tetapi dalam sesetengah situasi, memang diakui cara kita bernafas tidaklah salah, tetapi lebih kepada kurang berkesan.

Ada dua kaedah pernafasan yang kita lakukan tanpa henti. Biasanya kita menggunakan kaedah yang dikenali sebagai 'pernafasan dada' atau chest breathing di mana udara yang kita sedut masuk secara pendek dan minimum.

Kaedah kedua pula adalah kaedah yang dinamakan sebagai diaphragmatic breathing atau pernafasan diafragma, juga dikenali sebagai pernafasan perut. Oleh kerana badan kita sudah terbiasa dengan pernafasan dada mungkin disebabkan gaya hidup kita yang kelam-kabut, kita jarang mampu mengamalkan pernafasan diafragma secara automatik.

Jadi teknik ini perlu dilatih, agar kita mampu melakukannya. Cuba lakukan latihan mudah ini; baring di atas permukaan rata. Letakkan tangan kanan di dada, tangan kiri di perut. Tarik nafas dalam-dalam sehingga anda merasakan tangan kira di perut anda naik dan tangan kanan di dada menurun.

Ada rasa pergerakan otot pada perut anda tak bila udara mula memasuki bahagian tersebut? Itu yang kita mahukan berlaku.

Kemudian hembuskan nafas perlahan-lahan, menurunkan tangan kiri seterusnya menaikkan tangan kanan. Ulangi selama beberapa minit sehingga anda mampu melakukannya secara automatik dalam posisi lain, seperti duduk dan berdiri.

5. Anda letak deodoran selepas mandi pagi

pakai deodoran waktu malam

Bagi individu yang menggunakan deodoran, biasanya anda sudah pastilah akan mengenakan deodoran tersebut selepas mandi kan? Iklan promosi deodoran biasanya memaparkan modelnya menggunakannya ketika bertuala.

Tahukah anda secara saintifiknya - kaedah ini salah?

Untuk berfungsi pada tahap optimum, bahan yang akan menghalang tubuh anda daripada berpeluh dalam deodoran memerlukan masa bagi membentuk lapisan penghalangnya. Mengenakannya pada ketiak selepas mandi kurang efektif kerana masa yang diberikan tidak mencukupi untuk deodoran benar-benar aktif.

Berdasarkan kajian yang dilaporkan oleh British Journal of Dermatology, waktu paling baik untuk anda mengenakan deodoran adalah pada malam hari sebelum anda tidur.

Dalam kajian yang dijalankan, peserta kajian yang mengenakan deodoran sebelum tidur didapati mempunyai tahap perpeluhan lebih rendah, berbanding mereka yang mengenakannya pada waktu siang.

Lebih penting, sebelum anda mengenakan deodoran pastikan kulit anda telah benar-benar kering bagi memastikan 'plag' yang akan mengawal perpeluhan dapat dibentuk dengan sempurna.




Hakcipta iluminasi.com (2017)