sheikh muszaphar shukor serta kru

Ramai orang mahu merasai pengalaman keluar dari bumi dan keluar ke angkasa, bagi melihat sendiri alam di luar sana, namun hanya golongan-golongan tertentu yang berjaya ke sana.

Yuri Gagarin mencipta sejarah menjadi manusia pertama keluar ke angkasa sebelum Neil Armstrong menjadi manusia pertama menjejakkan kaki ke bulan. Bagi orang Islam pula, diakui jumlah yang berjaya melayakkan diri diterbangkan ke luar bumi agak kecil bilangannya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah senarai 10 orang angkasawan Muslim yang mencatatkan sejarah telah keluar dari bumi dan melihat dengan mata sendiri, alam yang terbentang luas.

1. Sultan bin Salman Al Saud

sultan bin salman

Sultan bin Salman lahir pada 27 Jun 1956 adalah salah seorang ahli keluarga Saud pemerintah Arab Saudi. Berkelayakan sebagai seorang juruterbang bersama tentera udara Arab Saudi, Sultan menjadi salah seorang kru dalam misi Space Shuttle STS-51-G pada 17 Jun 1985 sehinggalah 24 Jun 1985, atas misi beliau melancarkan satelit Arab Satellite Communications Organizations atau satelit ARABSAT-1B.

Sultan menjadi orang Arab pertama dan orang Muslim pertama yang berjaya terbang ke angkasa lepas.

2. Muhammed Faris

muhammed faris

Muhammed Faris adalah warga Syria pertama yang berjaya ke angkasa lepas. Lahir pada tahun 1951 di Aleppo, Faris adalah seorang juruterbang dalam angkatan tentera udara Syria dengan pangkat kolonel. Terpilih sebagai 'angkasawan penyelidikan' dalam misi Interkosmos, Faris terbang dan menetap di Mir Space Station selama 7 hari.

Atas usaha beliau, kerajaan Soviet Union menganugerahkan pingat Hero of Soviet Union pada beliau serta anugerah tertinggi Order of Lenin pada 30 Julai 1987. Pada 4 Ogos 2012, Mohammed Faris mengumumkan akan meninggalkan kerajaan Syria di bawah pimpinan Bashar al-Assad untuk menyertai kumpulan penentang.

3. Musa Manarov

musa manarov

Musa menyertai beberapa misi dan menjadi Muslim yang memegang rekod paling lama berada di angkasa, dengan jumlah 541 hari dihabiskan di sana. Terpilih menjadi jurutera penerbangan pada misi tahun 1987, beliau menerbangkan kapal Soyuz TM4 selama 365 hari 22 jam.

Musa kemudian menjadi jurutera penerbangan sekali lagi dalam misi Soyuz TM11 selama 175 hari 1 jam serta menjalankan operasi jalan kaki di angkasa selama 20 jam. Berpangkat kolonel dalam angkatan tentera Soviet Union, kini Musa menetap di Russia selepas memilih untuk meninggalkan negara asalnya Azerbaijan.

4. Abdul Ahad Mohmand

abdul ahad mohmand

Abdul Ahad adalah individu pertama dari Afghanistan yang berjaya ke luar angkasa bumi. Seorang juruterbang bersama tentera udara Afghan, Ahad menjadi kru penerbangan Soyuz TM6 dan menghabiskan masa selama 9 hari di atas Mir Space Station. Ahad juga dikatakan individu Muslim pertama membawa al-Quran ke angkasa lepas.

Sepanjang di sana, beliau melakukan kajian dalam bidang astrofizik, perubatan dan biologi. Selepas kembali ke bumi, dia dianugerahkan pingat Hero of Soviet Union pada 7 September 1988 namun berikutan penarikan tentera Soviet dari Afghanistan, Ahad memilih untuk berhijrah ke Jerman atas faktor keselamatan dan mendapat perlindungan suakan pada tahun 1992. Ahad menjadi warganegara Jerman yang sah pada tahun 2003.

5. Sheikh Muszaphar Shukor

sheikh muszaphar

Sheikh Muszaphar terpilih untuk menjadi warga Malaysia pertama ke angkasa lepas, selepas menjadi peserta pilihan dalam program Angkasawan anjuran kerajaan Malaysia. Rasanya kita semua sudah tahu kisah beliau dan signifikasi program Angkasawan pada negara kita.

Apa yang menarik, sebelum dia berangkat ke International Space Station melalui kapal Soyuz TMA11, kerajaan Malaysia melalui Angkasa dan JAKIM menjemput 150 orang ilmuan Islam bagi membincangkan tata cara solat di angkasa lepas. Berikutan perbincangan itu, sebuah buku panduan dikeluarkan bagi membantu Sheikh Muszaphar dan mana-mana angkawasan Muslim solat, di masa akan datang.


Selain 5 yang disenaraikan di atas, ada 5 lagi angkasawan beragama Islam yang pernah merasai hidup di angkasa lepas. Seramai 3 orang dari Kazakhstan, seorang dari Kyrgyztan dan seorang wanita warganegara Amerika Syarikat, kelahiran Iran bernama Anousheh Ansari yang menjadi wanita Muslim pertama bergelar angkasawan.

Sehingga kini, terdapat 10 orang individu Muslim yang berjaya ke angkasa lepas dalam pelbagai kapasiti dan kejayaan mereka, merupakan satu dorongan yang baik untuk kita sama-sama membina impian. Mana tahu satu hari nanti, kita pula dapat melihat bumi dari jendela kita.




Hakcipta iluminasi.com (2017)