Oleh pada 02 Dec 2023 kategori

Dalam sistem hidup kita, kita mempunyai hirarki atau struktur lapisan masyarakat yang membantu kita 'mentadbir' setiap perkara.

Daripada sekecil-kecil sebuah institusi iaitu keluarga sehinggalah sebesar-besar sebuah negara, hirarki ini sangat membantu kita dalam memahami tugas, peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam setiap lapisan yang ada.

Sesetengah jenis haiwan pun mengamalkan kaedah hidup berhirarki yang serupa. Bukan semua haiwan ada, tetapi ada beberapa kategori yang ada.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Serigala

serigala hidup dalam sistem keluarga

Keluarga serigala dipimpin oleh sepasang jantan dan betina dilabel sebagai pasangan alfa, mengandungi anak-anak mereka dan mungkin juga serigala lain.

Serigala alfa memegang tanggungjawab memimpin dalam berburu dan membuat keputusan, dibantu serigala beta yang berada dalam hirarki kedua. Atas kedudukannya, alfa dibenarkan makan terlebih dahulu serta mendapat pilihan pertama dalam mengawan.

Manakala serigala omega adalah pangkat terendah, berperanan dijadikan kambing hitam, mangsa buli serta bahan hiburan serigala lebih dominan. Secara amnya, keluarga serigala bekerjasama dalam berburu dan membesarkan anak-anak, berkomunikasi melalui bunyi, bahasa badan, dan penandaan bau.

Hirarki keluarga serigala tidaklah tetap, boleh berubah disebabkan faktor seperti umur atau kesihatan.

2. Singa

haiwan yang hidup secara berkeluarga

Jika keluarga serigala dalam bahasa inggeris dinamakan pack, keluarga singa pula diistilahkan sebagai pride. Tak ada kaitan dengan gerakan songsang.

Kumpulan atau keluarga singa merupakan kumpulan bersifat matriarki (condong kepada ibu) yang terdiri daripada dua hingga tiga ekor jantan dewasa, lima hingga sepuluh ekor betina dan anak-anak mereka.

Singa betina menjadi tunjang utama keluarga, kekal dalam kumpulan yang sama sepanjang hidupnya. Singa jantan pula akan mula meninggalkan kumpulan selepas kira-kira tiga tahun, meneruskan hidup secara bersendirian sehinggalah singa tersebut mengambil alih keluarga lain atau menubuhkan keluarga sendiri.

Anak singa pula biasanya lahir dalam tempoh yang hampir sama, dibesarkan secara komuniti dan diajar merburu bersama-sama. Keakraban yang terhasil daripada struktur keluarga sebegini membolehkan singa menjadi pemburu yang efisien, saling bantu membantu mempertahankan kawasan dan juga menjadi penjaga kepada anak singa yang berpengaruh besar.

3. Ayam

ayam hidup sistem komuniti

Kami yakin anda pernah mendengar istilah 'pecking order' yang diguna bagi menggambarkan hirarki dalam sesebuah organisasi kita, kan? Istilah ini datangnya daripada sistem sosial ayam.

Ayam membesar sebagai sebuah kumpulan, mengamalkan aturan yang dikategorikan sebagai pecking order dalam bahasa Inggeris yang menentukan siapa ketua. Aturan ini ditentukan oleh tahap kekuatan seekor ayam baik ayam jantan atau betina - lebih kuat ayam itu, lebih tinggi hirarkinya. Lemah? Dia akan dianggap ayam bawahan.

Aturan ayam ini menentukan semua perkara, sama ada aturan makan, minum, giliran bertelur dan berkokok.

Pernah tak anda melihat ayam betina menghalau ayam betina lain daripada duduk atau bertelur di lokasi-lokasi tertentu? Hanya ayam betina berhirarki tinggi boleh melakukan tindakan sebegitu. Ayam itu boleh memilih di mana dia hendak bertelur sesuka hatinya dan ayam betina lain haruslah menghormati arahan itu.

4. Lebah

Kami rasa antara semua makhluk, lebah merupakan contoh paling popular digunakan kita dalam menerangkan hirarki dan sistem sosial yang ada pada haiwan atau serangga.

Sarang lebah merupakan contoh sistem masyarakat yang sangat teratur. Wujud hirarki dengan seekor ratu lebah dianggap ketua tertinggi dibantu oleh lebah pekerja dan juga lebah dron.

Ratu lebah memainkan tanggungjawab penting menyelia pembiakan, dengan mengeluarkan sehingga 1,500 telur setiap hari. Lebah pekerja yang merupakan lebah betina belum matang melakukan sebahagian besar kerja dalam sarang seperti menjaga, memberi makan dan mengawal suhu.

Fungsi utama lebah dron adalah untuk membuntingkan ratu lebah. Dron adalah lebah jantan dalam sarang yang tidak mempunyai penyengat, jadi lebah dron tidak dapat melindungi sarang.

Oleh kerana tugasannya khusus, lebah dron juga tidak terlibat dalam pengumpulan nektar dan debunga. Selepas selesai tugasnya, dron akan mati.

Koloni lebah memainkan membesarkan dron pada musim bunga dan jumlah dron mencapai kemuncaknya pada musim mengawan sekitar penghujung musim bunga dan awal musim panas. Selepas itu jumlah drone akan berkurangan akibat kematian.

5. Gajah

Di antara semua keluarga haiwan berhirarki, gajah mungkin yang paling menyayat hati. Hirarki keluarga gajah seperti singa, mengamalkan sistem hirarki matriarki di mana gajah betina paling tua duduk sebagai ketua kepada keluarga itu dibantu gajah-gajah betina lain.

Berbeza dengan keluarga haiwan lain, gajah jantan selepas menjengah ke alam dewasa akan mula hidup secara terasing sendirian. Lama-kelamaan jarak gajah dewasa jantan dengan keluarganya akan mula semakin jauh, sehinggalah gajah itu mula berani meninggalkan keluarganya untuk satu tempoh jangka masa lebih panjang.

Sekitar usia gajah jantan mencecah 14 tahun, gajah jantan itu akhirnya akan perlu mengorak langkah sendiri, secara sendirian meninggalkan ibu dan keluarganya tanpa kembali lagi.

Secara am, gajah merupakan haiwan yang sangat pintar, mempunyai sistem dan hubungan kekeluargaan yang kompleks, ada memori dan daya ingatan yang baik serta mampu memaparkan ekspresi berkait emosi seperti kegembiraan, kesedihan atau girang keluarga mereka menerima ahli baru.




Hakcipta iluminasi.com (2017)