'Squid Game', sebuah siri TV 9 episod dihasilkan pengkarya Korea Selatan tiba-tiba tular di kalangan peminat media, disebabkan keunikan jalan ceritanya yang agak lain dari lain.
Berbeza dengan kebanyakan filem atau siri TV bergenre sama, 'Squid Game' meletakkan watak-watak dalam ceritanya dalam dunia nyata, bukan dunia yang telah musnah, memerlukan mereka yang hidup bertahan di dalamnya.
BESARKAN TEKS A- A+
Walaupun wujud beberapa kelemahan ketara dalam pembawaan siri tersebut, siri Korea Selatan ini nyata berjaya membawa mesej utamanya iaitu mesej kemanusiaan, dijadikan topik dan fokus utama sepanjang 9 episod itu berjalan sehinggalah penghujungnya.
Jika anda suka 'Squid Game' kami rasakan ada kemungkinan anda akan suka 5 filem dan siri di bawah, kerana membawakan konsep mirip serupa.
1. Snowpiercer
Sebuah lagi produksi Korea Selatan berasaskan kepada sebuah novel penulis Perancis, 'Snowpiercer' menceritakan tentang sekumpulan manusia yang terpaksa hidup dalam sebuah keretapi dinamakan 'Snowpiercer' - ekoran iklim dunia yang sejuk dan bersalji.
Setiap gerabak keretapi itu diasingkan mengikut kelas masyarakat, dengan golongan elit diberikan gerabak mewah dan lapang - sementara orang kebanyakan terpaksa berhimpit dalam gerabak gelap dan kosong.
Diketuai oleh Curtis (lakonan Chris Evans, Captain America) kumpulan orang kebanyakan dan susah ini bersatu, cuba mengambil alih keretapi tersebut daripada kumpulan elit lakonan dua nama besar iaitu Ed Harris dan Tilda Swinton, yang mengatur sepenuhnya rutin hidup mereka; sebelum rahsia sebenar semua percaturan keretapi itu didedahkan pada penghujung cerita.
2. As the Gods Will
Filem arahan Takashi Miike, pengarah legenda dari Jepun yang cukup terkenal dengan filem-filem anehnya adalah filem paling mirip dengan apa yang dipaparkan dalam Squid Game.
Meletakkan masalah sosial serta ketagihan permainan video di kalangan pelajar sekolah sebagai isu yang perlu diperbaiki, satu pihak misteri mula mengaturkan permainan-permainan kanak-kanak tradisional di sekolah melibatkan pelajar sekolah. Mana-mana pelajar yang gagal, akan dibunuh.
Selepas watak utama filem tersebut berjaya melepasi permainan pertama, dia akhirnya dibawa menyertai 5 lagi permainan berbeza di mana setiap pelajar perlu mempertaruhkan nyawa masing-masing, bukan untuk duit - tetapi hanya untuk mendapatkan kembali kebebasan diri.
3. Alice in Borderland
Sebuah siri TV terbitan Jepun, 'Imawa no Kuno no Alice' atau 'Alice in Borderland' adalah garapan yang diambil dari sebuah komik berjudul sama. Tiga sahabat baik bertindak melakukan kekacauan di tengah bandar Tokyo, sehingga dikejar polis.
Mereka bertindak melarikan diri sebelum bersembunyi dalam sebuah tandas. Ketika bersembunyi, bekalan elektrik terputus dan suasana Tokyo yang sebelum itu hingar bingar - bertukar menjadi sunyi.
Ketiga-tiga mereka keluar dan mendapati Tokyo menjadi lengang, sebelum salah satu paparan yang dipasangkan di bangunan di situ, mengarahkan mereka ke satu lokasi bagi membolehkan 'permainan' dimulakan. Di sana, mereka menemui dua lagi 'peserta' senasib mereka.
4. The Incite Mill
'Inshite Miru: 7-kakan no desu gemu' atau 'The Incite Mill: 7-Day Death Game', dipendekkan kepada 'The Incite Mill' untuk pasaran antarabangsa, memaparkan 10 anak muda Jepun yang ditawarkan peluang pekerjaan bergaji mewah - asalkan mereka sanggup menyertai sebuah pertandingan 7 hari di sebuah kompleks bernama Ankikan.
Setiap peserta hadir berhajatkan tawaran tersebut, yang menjanjikan pekerjaan bergaji RM5,150 sejam tanpa perlu mengambil kira kelulusan atau pengalaman kerja sebelum itu.
Apa yang mereka tahu, sepanjang 7 hari itu mereka akan dijadikan bahan ujikaji situasi psikologi dan pemenangnya adalah individu terakhir berjaya melepasi setiap tahap yang ada. Kematian salah seorang peserta pada hari pertama ujikaji tersebut mengubah pengalaman mereka.
5. Battle Royale
Tak sah untuk mana-mana peminat siri Squid Game untuk tidak mengalami sendiri filem 'Battle Royale.' Filem ini dikatakan memainkan peranan besar mewujudkan genre filem dan siri TV yang semakin popular sekarang, mengadunkan masalah sosial masyarakat dan sistem permainan yang mempertaruhkan nyawa ke dalam jalan cerita.
'Battle Royale' memaparkan salah satu daripada kumpulan pelajar yang terpilih dalam program pemulihan akhlak remaja Jepun, yang dianjurkan sendiri oleh kerajaan mereka. Ekoran kebimbangan generasi tua terhadap ketidaktentuan hala tuju dan masalah disiplin anak muda, 'Program BR' dimulakan yang membenarkan mana-mana kelas dalam sekolah terpilih untuk dihantar ke sebuah pulau.
Di pulau tersebut, setiap pelajar diberikan bekalan peribadi dan bebas melakukan apa saja yang mereka mahukan - untuk menjadi satu-satunya pelajar yang hidup pada penghujung program tersebut.
Dari segi lakonan dan jalan ceritanya, filem ini kurang realistik berbanding 'Squid Game' disebabkan watak-wataknya yang kadangkala terlalu kartun. Tetapi situasi dan konsep yang dipaparkan filem ini terus menjadi ikutan pengkarya filem sehingga kini.