Masalah kehilangan rambut memang cukup ditakuti ramai lelaki, selepas semakin lama semakin dimamah usia.
Malangnya bagi ramai lelaki yang tewas dalam 'perubahan' ini, biasanya mereka memilih untuk mencukur habis rambut sehinggakan lebih mula dikenali dengan imej kepala botak yang akhirnya sinonim dengan identiti mereka.
Begitu jugalah lima aktor ini, yang kehilangan rambut tetapi akhirnya terkenal dengan kepala licin mereka.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Jason Statham
Berbeza dengan kebanyakan lelaki yang mula mengalami masalah kehilangan rambut, aktor filem aksi Jason Statham pula memilih untuk tidak mencukur licin kepala - sebaliknya tetap membiarkan sebahagian rambutnya tumbuh walaupun dahinya sudah mula ternampak luas.
Statham mengalami masalah kehilangan rambut ketika muda, telah mula layak dikatakan botak sebelum mencecah usia 30 tahun. Bagaimanapun bekas atlet terjun Britain ini memilih untuk menerima perubahan itu, menggayakan rambutnya yang semakin menipis dengan jambang.
Gabungan kedua-dua elemen ini nyata memberikan keunikan tersendiri kepada wajah Statham, menjadikan dirinya tampak lebih lasak dan lebih terserlah sebagai seorang aktor filem aksi.
2. Bruce Willis
Aktor veteran Bruce Willis mula mengalami masalah kehilangan rambut ketika dekad 90-an, yang dapat disaksikan sendiri melalui filem-filem lakonannya. Willis ketika itu memilih untuk tidak menjalani rawatan.
Dia kekal dengan fesyen rambut yang semakin menipis tetapi kontroversi berkenaan rasa marah beliau terhadap apa yang sedang berlaku, mula dilaporkan.
Ketika fasa pasca produksi filem lakonan beliau 'Hudson Hawk' yang diterbitkan pada tahun 1991, Willis dilaporkan memohon agar mana-mana adegan yang menampakkan kepalanya yang semakin jelas ketara - diubahsuai agar ditambahkan rambut secara digital.
3. Dwayne Johnson
Aktor dan penggusti terkenal, Dwayne Johnson atau 'The Rock' bagi peminat sukan gusti kini lebih terkenal dengan kepala botak. Berbeza dengan Willis atau Statham, Johnson memilih untuk botak.
Dia mengakui dia tidak mempunyai masalah kehilangan rambut yang teruk tetapi mendakwa memilih untuk mencukur licin kepalanya, kerana bencikan rambut sendiri. Johnson mengatakan rambutnya yang semulajadi, jika dibiarkan panjang akan menjadi gabungan di antara rambut jenis afro dan bulu ari-ari kemaluan seekor llama.
Johnson dilaporkan mula mencukur kepalanya sekitar tahun 2010, yang akhirnya mengubah penampilan beliau. Tidak dapat kami nafikan, sukar untuk kami menerima kembali Dwayne Johnson yang berambut berlakon dalam filem.
4. Vin Diesel
Seperti Johnson, Vin Diesel juga merupakan salah seorang aktor yang memilih untuk membotakkan kepala. Dia dikatakan kurang menggemari rambutnya yang agak keriting serta memberikan imej jauh berbeza berbanding apa yang diharapkan dalam perjalanan kariernya.
Dalam karier lakonan beliau juga cukup sukar untuk kita dapat melihat watak yang dilakonkan beliau, mempunyai rambut yang cukup. Ini kerana menurut Diesel, kali pertama dia mencukur kepalanya - sensasi yang dirasainya ketika itu membuatkan dirinya tenang dan dia kekal dengan gaya tersebut.
Hanya ada beberapa filem lakonan beliau menampakkan beliau dengan rambut, seperti filem pertamanya di mana dia memainkan watak sampingan tiada nama dan sebuah filem berjudul 'Find Me Guilty,' sebuah filem autobiografi di mana Diesel memainkan watak seorang ketua kongsi gelap.
5. Patrick Stewart
Kini terkenal kerana memainkan banyak watak ikonik dalam siri televisyen seperti Star Trek dan siri filem X-Men, pasti ramai yang tidak pernah melihat Stewart muncul dengan rambut bukan?
Salah seorang yang sangat ikonik dengan kepala botak, Stewart mula mengalami masalah rambut seawal usia 19 tahun. Situasi ini memaksa dia menghadiri sesi uji bakat yang disertai dengan memakai rambut palsu, bagi melindungi rupa parasnya.
Selain itu Stewart juga mengamalkan pemakaian topi bagi memastikan masalah rambutnya tidak ketara.
Beliau terus kekal dalam situasi tersebut, sehinggalah pada satu hari selepas makan malam bersama sahabat karibnya yang memiliki tali pinggang hitam dalam sukan judo - rakannya itu menangkap Stewart untuk membolehkan isteri rakannya membotakkan kepala Stewart.
Semenjak hari itu, Sir Patrick Stewart tidak lagi berasa malu untuk menayangkan kepala botaknya di khalayak umum malahan terus menempa nama sebagai pelakon - yang akhirnya ikonik dengan kepala botak.