Sekolah sepatutnya menjadi kawasan paling selamat, berikutan kedudukannya sebagai satu simbol kepentingan pendidikan dalam masyarakat.
Bagaimanapun, sekolah semakin kerap menjadi sasaran kumpulan atau individu pengganas berikutan agak mudah untuk seseorang menyelinap masuk ke dalam kawasan sekolah. Dengan kawalan keselamatan yang agak longgar serta jumlah populasi dalam sekolah yang agak tinggi dalam sesuatu kawasan, sekolah atau institusi pendidikan dilihat menjadi pilihan aktiviti keganasan.
Berikut adalah empat tragedi keganasan paling banyak mengorbankan nyawa manusia yang berlaku di institusi pendidikan sehingga mengakibatkan terlalu ramai generasi akan datang, terkorban menjadi mangsa.
4. Tragedi Universiti Kolej Garissa
Insiden paling dahsyat melibatkan pelajar yang berlaku di Nairobi, Kenya ini melibatkan kumpulan pengganas Islam Somali bernama Al-Shahaab, salah satu kumpulan kecil di bawah Al-Qaeda.
Dianggarkan seramai 4 orang pengganas telah menyerbu masuk ke kawasan sekolah tersebut dan menjadikan 700 orang pelajar sebagai tebusan. Kejadian itu bermula seawal jam 5.30 pagi apabila semua pelajar diarahkan bangun daripada katil lalu membaringkan diri dengan muka ke lantai. Pelajar akan ditanyakan oleh pengganas tentang agama mereka dengan pelajar Kristian akan ditembak, tanpa ragu.
Pasukan keselamatan yang sudah mengepung kawasan tersebut terpaksa mengambil masa hampir 15 jam bagi menewaskan 4 orang pengganas tersebut, yang bersenjatakan AK-47 dengan badan dililit letupan.
Dalam insiden tersebut, seramai 142 orang pelajar mati, dengan selebihnya berjaya melarikan diri sebelum dibunuh. Majoriti yang mati ditembak dari belakang di kepala atau dipenggal kepalanya dengan parang.
3. Tragedi Sekolah Tentera Peshawar
Insiden ini berlaku tidak lama dahulu. Pada 16 Disember 2014, enam orang pengganas yang dipercayai berkait dengan tentera Taliban memecah masuk dan menyerang Sekolah Tentera Peshawar di Pakistan.
Modus operandinya pula mudah sahaja kerana pengganas yang masuk tidak mahu mengambil tebusan - kesemua enam orang masuk lalu melepaskan tembakan secara rambang kepada mana-mana saja individu yang berada di hadapan mereka. Pengganas tersebut juga meletupkan beberapa bom di kawasan sekolah tersebut. Seramai 141 orang meninggal dunia dalam kejadian tersebut dengan 132 orang remaja dan 9 orang guru menjadi mangsa.
Dalam operasi lebih 8 jam, tentera Pakistan berjaya menewaskan keenam pengganas. Keenam-enamnya didapati bukan warganegara Pakistan dengan seorang rakyat Chechen, 3 warga Arab dan 2 lagi daripada Afghanistan.
Apa yang menyedihkan, pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan itu dengan sengaja mendakwa, mereka memang mensasarkan golongan pelajar yang ada di dalam sekolah itu kerana kebanyakan daripada mereka, adalah anak kepada anggota tentera Pakistan. Semua itu dilakukan ekoran dendam terhadap operasi tentera Pakistan di bahagian Waziristan, yang melemahkan gerakan militan mereka.
2. Tragedi Sekolah Pesantren Wali Songo
Bermula daripada ketegangan yang tercetus di antara masyarakat Islam dan Kristian di bandar Sulawesi, Indonesia pada tahun 2000, dengan beberapa insiden kecil pergaduhan serta pertempuran akhirnya meletus pada 28 Mac 2000. Satu kumpulan penganut Kristian yang bersenjata lengkap menyerang masjid dan sekolah pesantren Wali Songo, dengan beberapa kampung di sekitar kampung tersebut yang majoritinya Muslim diserang.
Pada hari kejadian, selepas bekalan elektrik ke kawasan kampung, masjid dan sekolah disabotaj oleh pengganas - pengganas Kristian pun mengepung kawasan tersebut lalu menangkap wanita dan kanak-kanak yang ada. Kaum lelaki yang terselamat berlindung di sekolah pesantren tersebut namun diserang dengan menggunakan senjata api dan parang.
Tebusan-tebusan yang berjaya ditangkap dibariskan di tepi tak kira jantina atau usia, lalu ditembak mati seorang demi seorang oleh pengganas. Kebanyakan rumah penduduk kampung dibakar meninggalkan mereka yang terselamat tinggal sehelai sepinggang. Dianggarkan, seramai lebih 165 orang meninggal dalam serangan tersebut dengan majoritinya, adalah penduduk Islam di pekan Poso.
Individu yang merancang serangan tersebut, Gabenor Advent L.Lateka terbunuh dalam satu pertempuran pada 2 Jun 2000 sementara beberapa individu lain yang bertanggungjawab, dihukum mati dengan tembakan.
1. Tragedi Pembunuhan Beslan
Insiden terburuk melibatkan nyawa terkorban berlaku di School No.1 di Beslan, Russia. Beslan hanyalah sebuah pekan kecil yang mempunyai populasi seramai 35 ribu orang dengan sekolahnya mempunyai hampir 60 orang guru serta 800 orang murid.
Apa yang menyedihkan, kejadian ini berlaku pada hari pertama persekolahan bermula di Russia pada 1 September 2004. Pelajar hadir ke sekolah bersama ibu bapa untuk menyertai acara yang dinamakan Knowledge Day. Acara mereka terhenti selepas dua kumpulan pejuang kebebasan Chechen memecah masuk sambil melepaskan tembakan rambang ke udara.
Seramai 1128 orang dijadikan tebusan dalam kejadian itu dengan ramai ibu bapa yang cuba menenangkan anak-anak mereka yang ketakutan, ditembak tanpa belas kasihan. Kesemua tebusan ditempatkan di dalam dewan dengan bahan letupan dipasang dibeberapa bahagian strategik. Kerajaan Russia diminta untuk mengeluarkan tentera mereka daripada Chechnya, yang sedang bergolak ketika itu oleh kumpulan pengganas Muslim.
Pada hari ketiga, pasukan khas Russia menyerbu masuk ke dalam kawasan sekolah dan menggempur pengganas. Bagi saksi kejadian, taktik yang digunakan tentera Russia ketika itu kurang berpatutan sehingga mengakibatkan kematian lebih ramai nyawa. Ekoran tembak menembak yang berlaku di antara tentera dengan kumpulan pengganas, ramai kanak-kanak tidak berdosa terkorban dengan 186 orang pelajar sekolah tersebut meninggal dunia.
Jumlah keseluruhan mereka yang terkorban dalam kejadian itu adalah 334 orang, Sehingga kini, tragedi tebusan di School No.1 Beslan menjadi insiden paling teruk berlaku di kawasan sekolah, yang mengorbankan nyawa manusia. (rujukan)