Oleh pada 21 Sep 2017 kategori

darul quran ittifaqiyah

Tragedi kebakaran maahad tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah baru-baru ini telah mengundang pelbagai kritikan yang negatif terhadap pihak pengurusan dan pengendali. Individu paling teruk dihentam adalah pengetua maahad tersebut.

Ya, sekiranya berlaku insiden seperti ini, tersangatlah mudah untuk kita menyalahkan, kerana menyalahkan itu sesuatu yang sangat ringkas. Tak perlu usul periksa untuk menyalahkan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, perkara yang paling sukar, adalah untuk memaafkan. Mengapa perlu memaafkan, jika seseorang itu bersalah bukan? 

Berat mata memandang berat lagi bahu memikul

Jika kita yang melihat ini terasa berat dan tersangat marah dengan tindakan 7 suspek itu, cuba bayangkan apa perasaan ibu bapa mangsa sendiri. Namun, tampil beberapa ibu bapa mangsa kebakaran tersebut, yang telah memaafkan suspek-suspek tersebut.

puan emmy farizah abd aziz

(Kredit foto : New Straits Times)

Antaranya adalah Puan Emmy Farizah Abd Aziz yang telah kehilangan dua puteranya, Azkar Abiedi F Zaska, 11, dan Azkar Dariemi, 8, serta anak saudaranya, Muhammad Afiq Haqimie Hairulizwan, 11. Beliau yang tersangat sedih redha dengan kehilangan anak-anaknya dan memaafkan mereka supaya tiada dendam.

nasrun mat yusuf

Nasrun Mat Yufuf dikerumuni pihak media.

(Kredit foto : New Straits Times)

Nasrun Mat Yusuf, 46, yang juga kehilangan anaknya Mohd. Nizamudin Nasrun, 13 berkata beliau memaafkan mereka dan mendoakan supaya Allah memberikan hidayah kepada mereka dan keturunan mereka. Namun beliau enggan berjumpa dengan ibu bapa suspek kerana beliau akan teringatkan arwah anaknya.

Kredit video : Harian Metro

Manakala bagi Nor Azam, 42, abang kepada Mohd Yusuf, salah seorang tenaga pengajar di maahad itu yang turut terkorban, juga memaafkan suspek-suspek. Beliau mengatakan mereka tidak berniat untuk membunuh, hanya untuk menggertak. Beliau berharap ia menjadi pengajaran kepada remaja lain, dan ingin berjumpa dengan mereka untuk menasihati, jika berpeluang.

Definisi maaf

"Maaf" itu berasal dari perkataan al-'awfu yang bermaksud mengampunkan kesalahan orang lain, tanpa rasa benci, sakit hati atau balas dendam. Bagi sesuatu kesalahan, memaafkan adalah balasan yang terbaik.

Firman Allah:

إِن تُبۡدُواْ خَيۡرًا أَوۡ تُخۡفُوهُ أَوۡ تَعۡفُواْ عَن سُوٓءٍ۬ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَفُوًّ۬ا قَدِيرًا

Ertinya: ”Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan atau menyembunyikan atau memaafkan sesuatu kesalahan orang lain, maka sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Mahakuasa.” (Q.S. An-Nisa [4]: 149).

Antara contoh terbaik mengenai kemaafan adalah daripada penghulu manusia, Nabi Muhammad S.A.W. Baginda mempunyai sifat pemaaf yang tiada tandingan, namun jika ia berkenaan dengan Allah, baginda tidak memaafkan kerana memaafkan perbuatan tersebut seperti memperlecehkan hak-hak Allah. 

Cubaan membunuh Rasulullah S.A.W

Ketika berlakunya Perang Khaibar, Zainab binti Harits iaitu isteri kepada Salam bin Misykam (pemuda yahudi) telah memberikan paha kambing yang diracun kepada Rasulullah S.A.W.. Baginda kemudiannya mengunyah namun memuntahkan kembali kerana tidak menyukainya.

Bisyr bin Barra yang juga menjamah daging tersebut telah meninggal dunia tak lama kemudian. Baginda lalu berkata, "Sesungguhnya tulang ini memberitahuku bahawa ianya telah diracun." 

Zainab kemudiannya dipanggil Rasulullah S.A.W dan telah mengakui tindakannya itu. Namun kerana kelapangan hati baginda, Zainab dimaafkan walaupun berniat jahat.

Pernah berlaku di mana malaikat menawarkan diri untuk menghempaskan sebuah gunung ke atas masyrakat jahiliah yang sering menyakiti dan mendustakan Rasulullah S.A.W.

Namun, baginda menjawab, "Aku dihantar sebagai utusan untuk berdakwah dan membawa rahmat, bukan untuk melaknati. Ya Allah, berikanlah petunjuk kepada kaumku, sesungguhnya mereka tidak tahu,".

Rasulullah S.A.W sendiri disakiti, dan cuba untuk dibunuh, tetapi masih mampu memaafkan, dan ibu bapa mangsa pun sudah memaafkan. Mengapa kita yang hanya terkesan dengan berita itu masih tidak mampu untuk memaafkan.

Penulis sedar, bukan mudah untuk memaafkan, namun, apakah dengan tidak memaafkan akan membawa kepada kebaikan? Memang benar Rasulullah S.A.W adalah seorang yang hebat dan kita hanya umat biasa, namun bukankah kita harus mencontohi peribadi baginda, dan bukan menidakkannya?

Firman Allah :

وَلَا يَأۡتَلِ أُوْلُواْ ٱلۡفَضۡلِ مِنكُمۡ وَٱلسَّعَةِ أَن يُؤۡتُوٓاْ أُوْلِى ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡمَسَـٰكِينَ وَٱلۡمُهَـٰجِرِينَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ‌ۖ وَلۡيَعۡفُواْ وَلۡيَصۡفَحُوٓاْ‌ۗ أَلَا تُحِبُّونَ أَن يَغۡفِرَ ٱللَّهُ لَكُمۡ‌ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ

Ertinya: “Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka [tidak] akan memberi [bantuan] kepada kaum kerabat [nya], orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Q.S. An Nuur [24]: 22).

Di dalam hadits disebutkan :

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ لِلَّهِ إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ

Ertinya: “Tidaklah sedekah itu akan mengurangi harta. Tidak pula ada orang yang memberi maaf kepada orang lain, melainkan Allah akan menambah kemuliaannya. Dan tidak ada orang yang merendahkan diri kerana Allah, melainkan Allah akan mengangkat derajatnya.” (H.R. Muslim dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘Anhu).

Tersangat mudah untuk tidak memaafkan dan membalas dendam. Namun, memaafkan kesalahan bukanlah bermaksud kita lemah, tetapi kerana kita kuat dan matang untuk memahami sesuatu kesalahan itu.

Ada hak untuk tidak memaafkan jika dizalimi

Walaupun ia adalah perbuatan yang sangat terpuji, namun anda mempunyai hak untuk tidak memaafkan jika dizalimi. Kuasa di tangan anda. Namun sebelum itu, baca kisah yang berlaku di zaman Rasulullah S.A.W. ini terlebih dahulu.

Pada suatu hari, Rasulullah S.A.W tertawa seorang diri dan perkara itu terlihat oleh Saidina Umar lalu ditanyakan kepada baginda mengapa.

Maka Rasulullah S.A.W menjawab, "Ada dua orang umatku yang mengira hak-haknya, dan yang seorang berkata, "Ya Allah, berikanlah hak-hak aku yang dizalimi oleh orang itu.""

Lalu Allah S.W.T berfirman, "Berikanlah haknya yang telah engkau zalimi itu!".

Lalu orang yang dituntut itu menjawab dengan sedih, "Ya Allah, sesungguhnya sudah habis padaku segala kebaikan, dan tiada apa yang dapat aku berikan kepada orang ini,".

Orang yang menuntut itu kemudian berkata, "Jika begitu engkau mesti menanggung segala dosaku sebagai ganti,".

Ketika ini, Rasulullah S.A.W tidak dapat menahan kesedihan telah mengalirkan air mata, dan berkata, "Kemudian Allah S.W.T berfirman kepada orang yang menuntut itu, "Angkatlah kepalamu ke atas dan lihatlah syurga,".

Si penuntut lalu mendongak ke langit dan melihat syurga yang penuh dengan kota berlantaikan perak dan gedung indah daripada emas bertakhtakan intan permata, dan kemudian bertanya, "Apakah ini semua untuk nabi-nabi atau untuk orang syahid?".

Lalu Allah S.W.T menjawab, "Itu untuk sesiapa sahaja yang sanggup membayarnya,".

Kerana ingin tahu, si penuntut bertanya lagi, "Ya Allah, siapakah yang memiliki harta sebanyak itu yang mampu membeli syurgaMu yang sangat hebat itu?".

Dan Allah S.W.T pun menjawab, "Engkau pun dapat membayarnya, dengan memaafkan orang yang telah menzalimimu itu,".

Maka si penuntut itu berkata, "Kalau begitu, aku sanggup mengampuni dosanya terhadapku...".

Lalu Allah S.W.T berfirman, "Pimpinlah tangan orang itu bersama-sama ke dalam syurga itu,".

Rasulullah S.A.W kemudiannya bersabda, "Maka berbuat baiklah terhadap saudaramu sesama Muslim,".

Konklusi

Memang benar, sangat sukar untuk memaafkan, namun, jika seseorang itu tahu akan ganjaran yang diberikan, nescaya tiada siapa pun yang tidak mahu memaafkan kesalahan seseorang. 

Berdasarkan kisah di atas, jika tidak memaafkan, si pesalah perlu memberikan kebaikan kepada si penuntut. Namun, yakinkah anda dengan kebaikan yang anda dapat itu mampu membawa anda ke syurga?

Atau, anda lebih yakin dengan janji Allah yang memberikan ganjaran syurga, jika memaafkan?

Maka, sama-samalah kita memaafkan kesalahan orang terhadap kita, ia tidak merugikan, malah lebih menguntungkan.

Wallahualam.




Hakcipta iluminasi.com (2017)