han solo beraksi

Harrison Ford merupakan satu nama yang pasti sinonim dengan industri perfileman, selepas beliau bertanggungjawab memegang pelbagai watak yang menjadi ikonik dan diingati sehingga kini.

Dikenali sebagai individu yang memegang dua watak paling besar dalam dunia perfileman, sebagai Han Solo dan Indiana Jones serta pelbagai watak lain, kerjaya Harrison sebagai pelakon tidak bermula mudah. Kerjaya Harrison Ford mula menemui kejayaan hanya secara kebetulan yang tidak disengajakan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

AWAL PERMULAAN KERJAYA

bob falfa dalam american graffiti

Dalam tahun 1964, Harrison berusia 22 tahun dan isterinya (ketika itu) Mary Marquardt, berpindah ke Hollywood, sebagai memenuhi tawaran program pencarian bakat bersama Columbia Pictures yang menawarkan gaji $150 seminggu pada Harrison.

Bagaimanapun, kerjayanya tidak ke mana-mana bersama Columbia jadi Harrison menamatkan kontraknya, berpindah ke Universal Studios. Karier sebagai pelakon Harrison pada waktu itu dipenuhi dengan tawaran pelakon pembantu.

Risau memikirkan label pelakon pembantu akan terus melekat pada dirinya, Harrison memilih untuk mencari jalan keluar andai kariernya sebagai pelakon gagal.

Pada tahun 1970, Harrison bersama keluarganya yang ketika itu sudah beranak dua membeli sebuah rumah di Hollywood yang berkeadaan agak usang. Harrison memilih untuk membaiki sendiri rumahnya, mempelajari ilmu pertukangan kayu dari buku dan panduan rakan-rakan.

Namanya mula terkenal sebagai tukang kayu berkebolehan, sehinggakan Harrison mula menjadi pilihan ramai produser Hollywood untuk membina studio pengambaran mereka. Tugas sebagai tukang kayu memberikan alasan untuk Harrison menolak tawaran pembantu pelakon yang kerap ditawarkan kepadanya dan menjadi punca pendapatan utama beliau ketika itu. Namun, impiannya tetap untuk menjadi pelakon filem.

PENGARUH FRED ROOS

fred roos individu berpengaruh hollywood

Fred Roos adalah salah seorang eksekutif di Universal yang mengikuti kerjaya Harrison dengan rapat. Fred menawarkan Harrison salah satu watak filem paling awal, ketika Harrison masih lagi lebih banyak terlibat dengan siri televisyen.

Kerjaya Fred Roos meletup selepas menjadi produser kepada filem The Godfather (1972) yang membolehkan dia bekerjasama dengan George Lucas, sebagai pengarah pemilihan pelakon bagi filem sedang diusahakan ketika itu, 'American Graffiti.'

Mengetahui kedudukan kewangan Harrison yang  memerlukan kerja tambahan dan impian Harrison menjadi bintang filem, Fred menggunakan kedudukannya dan mengambil Harrison memegang watak 'Bob Falfa' dalam filem tersebut.

Beberapa tahun kemudian, ketika sedang mengusahakan skrip sebuah filem bertemakan opera angkasa, George meminta pandangan Fred dalam usaha beliau mencari bakat bagi membintangi filem tersebut.

Membaca skrip filem tersebut, Fred tahu Harrison Ford adalah orang paling layak membawa salah satu watak dalam filem tersebut, namun keengganan George untuk melantik semula pelakon yang pernah bekerja dengannya dalam filem 'American Graffiti' menyukarkan niat Fred.

UJI BAKAT STAR WARS

markhamill starwars uji bakat dengan harrison ford

Bagi mencipta peluang pada Harrison Ford mendapat peluang untuk uji bakat, Fred Roos menyarankan kepada pengarah besar dan mentor kepada George Lucas, Francis Ford Coppola supaya melantik Harrison untuk memasang pintu di set pengambaran dalam studio bernama American Zoetrope, tempat di mana sesi uji bakat Star Wars sedang dijalankan.

Rancangannya, agar Harrison dan George Lucas bertemu kerana Fred cukup yakin Harrison memang dilahirkan untuk memegang watak Han Solo.

Bagaimanapun, menurut George Lucas sendiri, apabila melihat Harrison Ford sedang bekerja memasang pintu ketika itu, dia mengandaikan yang Harrison sengaja buat-buat bekerja tetapi sebenarnya mahu menghadiri sesi uji bakat dengan beliau.

Harrison Ford pula ketika itu memang hadir untuk memasang pintu sahaja tanpa menyedari rancangan Fred. Dia hanya mahu melakukannya pada waktu malam kerana tidak mahu gangguan orang lalu lalang menghalangnya bekerja. Menyedari Harrison sedang sibuk bekerja, George serta pengarah Richard Dreyfuss menegur Harrison yang mereka kenali semasa penggambaran 'American Graffiti', berbual seketika sebelum membiarkan Harrison meneruskan pemasangan pintu.

Fred Roos meneruskan usaha beliau yang dilihat gagal, menyarankan kepada George Lucas sendiri untuk menjadikan Harrison sebagai pembaca skrip dalam sesi uji bakat untuk filem yang dinamakan 'Star Wars' itu. Hampir 100 pelakon menjalani sesi uji bakat dengan Harrison menjadi tukang membaca skrip, berinteraksi dengan kesemua pelakon yang datang.

Jika kita lihat video sesi uji bakat Mark Hamill dan Carrie Fisher, kedua-duanya berlakon sebagai Luke dan Leia sementara suara Harrison kedengaran memegang apa saja watak yang berinteraksi dengan mereka dalam adegan tersebut. 

KARISMA HARRISON FORD TERSERLAH

han solo dalam filem

Beberapa nama besar seperti Tom Selleck, Kurt Russell dan Christoper Walken menjalani uji bakat untuk watak Han Solo.

Bagaimanapun Harrison Ford yang hanya bertugas sebagai pembaca skrip dilihat lebih baik pada mata George Lucas berbanding mereka yang betul-betul datang untuk menghadiri sesi uji bakat tersebut.

Namun George menyimpan keraguan ke atas Harrison walaupun orang-orang lain disekelilingnya, termasuklah rakan baik dan pengarah terkenal Steven Spielberg sendiri meyakini - Harrison adalah individu paling sesuai memegang watak tersebut.

Atas nasihat mereka semua, George Lucas menawarkan Harrison watak Han Solo.

Terkejut atas tawaran tersebut kerana dia sendiri tahu Christopher Walken, nama yang lebih besar adalah calon utama yang menjadi pilihan George Lucas, Harrison Ford menerima tawaran tersebut dengan terbuka.

LEGASI HAN SOLO

harrison georgle lucas dan steven spielberg

Nama Harrison Ford sebagai bintang filem meningkat selepas dunia diperkenalkan dengan 'Star Wars' bersama Mark Hamill dan Carrie Fisher.

Antara ketiga-tiga mereka, Harrison menjadi aktor paling berjaya, memegang banyak peranan yang popular seperti siri filem Indiana Jones serta filem sains fiksyen berpengaruh besar iaitu 'Blade Runner.'

Karier Harrison Ford yang ketika ini sudah pun berusia 75 tahun berlangsung selama hampir 6 dekad dengan 7 filem lakonan beliau iaitu American Graffiti, The Conversation, Star Wars, Apocalypse Now, The Empire Strikes Back, Raiders of the Lost Ark dan Blade Runner layak diletakkan dalam senarai National Film Registry Amerika Syarikat, sebagai filem yang akan terus dipulihara dalam melindungi warisan industri filem mereka.

Menurut senarai terbaru, Harrison Ford kini adalah aktor nombor 2 dalam senarai pelakon paling tinggi jumlah kutipan filem dengan jumlah $4.7 billion dalam pasaran domestik dan $6 billion bagi pasaran antarabangsa.

Menjadi salah seorang aktor paling berjaya dalam generasinya, kisah Harrison Ford dalam siri Star Wars sudah berakhir ekoran kematian watak Han Solo - namun bagi jutaan peminat setia watak tersebut, watak tersebut tetap akan terus sinonim dengan beliau.




Hakcipta iluminasi.com (2017)