Oleh pada 15 Nov 2017 kategori

yoshimura hait kartun imuda samurai jepun

Kebanyakan daripada kita mengetahui yang perkataan 'bagero' ini berasal dari Jepun dan membawa maksud 'bodoh' hasil dari cerita-cerita yang dibawa oleh datuk dan nenek kita yang pernah melalui zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu. Perkataan ini sering kali digambarkan diucapkan oleh askar-askar Jepun yang menyiksa tahanan perang atau mendera buruh paksaan untuk melakukan kerja berat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Antara cerita yang kita sering dengar adalah tentang bagaimana tentera Jepun memaksa penduduk tempatan memanjat pokok kelapa untuk mendapatkan kelapa muda untuk diminum airnya. Sekiranya tidak pandai memanjat, benet yang dipasang di hujung senapang akan ditunjal ke punggung orang yang memanjat sebagai 'motivasi'. Serta-merta yang tak pandai memanjat pun menjadi cekap akibat terpaksa.

Mereka sangat digeruni atas sikap mereka yang bengis dan tanpa segan silu menghadiahkan 'penampar Jepun' kepada sesiapa yang tidak memberikan kerjasama kepada mereka. Tambahan lagi, sebilah pedang Samurai lengkap bersarung yang tersisip di pinggang menambahkan elemen menakutkan pada diri mereka.

asal usul dan maksud bagero jepun melayu

Kita telah diberitahu yang perkataan ini adalah sesuatu yang menjadi kebiasaan di kalangan tentera Jepun pada masa itu. Namun begitu,  tahukah anda yang perkataan 'bagero' ini sendiri sebenarnya tidak wujud di dalam perbendaharaan kata bahasa Jepun.

Peminat-peminat anime dari Jepun yang teramat ramai di negara kita ini pasti pernah tertanya-tanya mengapakah tiada perkataan 'bagero' dituturkan di dalam anime-anime 'kasar' seperti Naruto, One Piece, Bleach dan sebagainya. Perkataan 'baka' sangat kerap digunakan dan diterjemahkan maksudnya kepada 'bodoh' namun perkataan 'bagero' tidak pernah muncul.

Ini pastinya menimbulkan keraguan kerana perkataan ini boleh dikatakan antara perkataan Jepun pertama yang kita pelajari sewaktu di alam persekolahan dahulu selain dari perkataan popular lain seperti 'banzai' atau 'kamikaze'.

Ini kerana perkataan 'bagero' yang sering kedengaran di dalam filem-filem arahan Tan Sri P. Ramlee yang menampilkan watak askar Jepun bukanlah 'bagero' tetapi...

Bakayaro!

'Bakayaro' adalah perkataan yang memang wujud di dalam bahasa Jepun dan digunakan sebagai cacian ke atas seseorang yang dianggap bodoh, tak berguna dan tak boleh diharap.

inilah bagero yang sebenarnya

Sebutan 'bakayaro' secara pantas dan keras menghasilkan bunyi seakan-akan 'bagero' yang didengari oleh generasi zaman penjajahan Jepun dulu. Atas sebab bunyinya yang seakan-akan sama, perkataan ini berasimilasi dengan lidah masyarakat tempatan dan mengalami perubahan.

Anda boleh cuba sendiri menyebutnya dan pasti terjumpa kesinambungannya. 'Bagero' itu sendiri adalah perkataan Jepun 'bakayaro' yang telah diMelayukan.

Kesimpulan

Baka ( ばか ) : bodoh

Bakayarou ( ばかやろう ) : si bodoh / lelaki bodoh atau lebih mudah difahami dengan perkataan "asshole"

Bagero : Perkataan Bakayarou yang telah dimelayukan.

Rujukan:

Japanese Language Stack Exchange




Hakcipta iluminasi.com (2017)