Kredit foto asal: Instagram.com/ezzatyabdullah
Aktres Ezzaty Abdullah yang memegang peranan heroin dalam filem 'Kau Takdirku' dilihat menghadiri malam gala filem tersebut tanpa kehadiran suaminya, Azwan Kombos.
Perkara tersebut menjadi bualan ramai memandangkan Ezzaty pertama kali memegang watak utama menerusi filem itu selain kandungannya yang sudah masuk 6 bulan.
Terdapat desas-desus mengatakan kononnya Ezzaty sendiri tidak mahu suaminya itu hadir pada majlis tayangan berkenaan yang diadakan di Mutiara Damansara baru-baru ini.
Ini dikatakan berpunca daripada sebuah adegan intim yang dilakonkan Ezzaty bersama aktor Bront Palarae. Dia bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.
Jika diikutkan, saya memang mahu dia ada bersama untuk memberikan sokongan. Apatah lagi inilah kali pertama saya ditampilkan sebagai teraju utama.
Namun apakan daya, pada malam gala berlangsung, suami masih dalam penerbangan dari Sabah ke ibu kota selepas menjalani penggambaran di sana.
Dia tiba di Kuala Lumpur kira-kira jam 11.30 malam, ketika majlis sudah hampir tamat. Justeru, dia ambil keputusan untuk pulang saja ke rumah.
Menurutnya lagi, Azwan sudah pun sedia maklum akan wujudnya babak berkenaan dalam filem arahan Jason Chong itu.
Dia ada berseloroh dengan saya, dirinya gembira tidak dapat hadir ke malam gala berkenaan kerana takut cemburu menonton babak intim saya dengan pelakon lain.
Bagaimanapun, jika diikutkan, babak intim dalam filem ini tidaklah keterlaluan. Penggambaran filem ini juga dilakukan ketika saya belum berkahwin dengannya. Kau Takdirku agak lambat ditayangkan, iaitu selepas tiga tahun ia dirakam.
Ezzaty turut menegaskan bahawa suaminya pasti akan menonton filem berkenaan setelah ia ditayangkan bermula 7 September depan. Malah, dia tidak sabar dan teruja dengan reaksi yang bakal diberikan terhadap filem terbitan Grand Brilliance itu.
Secara peribadi, walaupun filem ini sudah tiga tahun siap, saya rasa ia masih relevan untuk tontonan sekarang. Jason selaku pengarah juga wajar dipuji. Kerja arahan dan sinematografinya sangat menarik.
Di kalangan pelakon pula, tidak dinafikan ada perubahan pada fizikal mereka. Remy Ishak contohnya kini sudah mengenakan imej berjambang dan kurus. Sedangkan ketika penggambaran, dia tampil kemas tanpa jambang.
Bront sendiri kini berambut pendek, sedangkan ketika menjalani penggambaran filem ini, rambutnya panjang. Seorang lagi pelakon, Aisya Hasnaa, pula sekarang sudah bertudung.
Ezzaty juga berkata bahawa filem itu menampilkan kelainan daripada filem atau drama percintaan kebiasaan yang sedia ada.
Jalan ceritanya memang tak boleh diagak. Walaupun filem ini serius, ada juga babak lawak ditonjolkan. Malah, ketika malam gala berlangsung, ada lakonan saya yang dirasakan tidak lawak pun, tetapi tetap mengundang gelak tawa penonton.
Sumber berita: BH Online